Dr. Maszlee Malik
Mantan Menteri Pendidikan Malaysia | Ahli Parlimen Simpang Renggam

Author: Dr. Maszlee

Reformasi TVET Negara; Rombakan Sistem Secara Besar-besaran

Sasterawan Negara Keris Mas di dalam karya besarnya Rimba Harapan pernah berpesan:

“Apa yang menjadikan manusia ini maju ialah pemahamannya terhadap keadaan yang sentiasa berubah di sekelilingnya.”

Apa yang akan kita hadapi pada hari ini, berbeza dengan apa yang akan anak-anak kita akan hadapi esok hari. Masa depan anak muda misalnya, menjadi suatu relung yang sangat sukar diduga. Revolusi digital, gelombang artificial intelligence, dominasi automasi dan teknologi-teknologi lain yang pesat berkembang telah memaksa kita untuk tidak berdiam diri.

26 September baru-baru ini, kita telah anjurkan satu pertemuan bersejarah dengan pemain-pemain utama industri negara kita untuk sama-sama duduk, berbincang, dan seterusnya membentangkan masa hadapan yang lebih terjamin buat anak-anak kita.

Kita akui, untuk melonjakkan TVET negara, kita tidak boleh bergerak secara silo. TVET harus relevan, future-driven, harus padan dengan kehendak industri.

Industri pembuatan dan perkhidmatan global juga telah memasuki era Revolusi Industri Keempat. Revolusi ini akan menghubungkan dunia ‘sebenar’ dan ‘maya’ yang kemudiannya dikenali sebagai sistem fizikal siber.

Teknologi seperti (AI), big data, cloud computing dan high speed Internet telah merombak landskap kehidupan manusia. Tidak lupa juga perubahan geo-politik dunia yang juga memberi kesan kepada kehidupan kita sama ada secara langsung atau tidak langsung. Idea dan inovasi yang dipacu oleh algoritma dan sistem pintar akan menjadi asas kepada gelombang baharu pertumbuhan ekonomi.

World Economic Forum telah menggariskan beberapa cabaran besar dunia di antaranya ialah keselamatan makanan, pertumbuhan yang inklusif, pengangguran, perubahan cuaca, dan krisis kewangan dunia. Cabaran dan perubahan-perubahan ini memberi implikasi yang besar kepada dunia pekerjaan.

Di sana tentunya wujud kemahiran yang baharu yang diperlukan oleh pekerja pada masa akan datang. Pada saya, pelajar-pelajar sekarang ini perlu dipersiapkan dengan sikap yang betul dalam menghadapi perubahan ini. Sikap daya ketangkasan (agility) dalam menerima teknologi baru dan cepat belajar dalam persekitaran yang cepat berubah antara yang sangat diperlukan.

Yang pasti, visi kita jelas, kita mahu menjadikan bidang TVET sebagai pilihan utama bukan lagi pilihan alternatif. Kita juga mahu TVET negara dilihat sebagi suatu entiti tunggal yang besar dan seragam, tidak terpecah-pecah dan sekali gus berkongsi suatu sistem yang kuat dan menyeluruh.

Atas dasar itulah, sebagai merealisasikan visi besar ini, kita telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Pemerkasaan TVET (JKKPTVET) pada 14 Ogos 2019 yang lalu. Secara asasnya, Jawatankuasa ini berperanan penting sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam hal-hal berkaitan pembangunan aliran TVET negara.

Sehingga kini, kita telah menyenaraikan masalah-masalah yang kita hadapi dalam TVET. Dari masalah itu pula, kita bergerak ke depan dengan merencana strategi yang terbaik untuk menyelesaikannya, termasuklah meletakkan sasaran besar yang ingin kita capainya bersama.

Lima Tonggak Reformasi TVET

Secara ringkasnya, reformasi TVET negara akan berpaksikan kepada lima tonggak iaitu;

Penubuhan Badan Penyelaras TVET Negara yang sekali gus menyatukan TVET di bawah satu bumbung dan sistem tunggal yang lebih berdaya saing. Hal ini merupakan juzuk terbesar dalam usaha memastikan kecekapan pengurusan Governan TVET Negara.

Kita juga akan memberi tumpuan kepada kecukupan Model Pembiayaan, kita bangunkan juga Model Pemilikan Bersama, kita perkasakan Persijilan TVET (Industri), dan kita akan bergerak dengan Jenama TVET Kebangsaan Tunggal.

Lima tonggak ini ialah jalan ke depan yang sekali gus menyelesaikan semua masalah berkaitan TVET seperti masalah akreditasi, kekurangan fasiliti, kelompongan sistem dan lain-lain lagi. Yang pasti, semua masalah ini sebahagian besarnya telah kita tangani.

Justeru, apa yang kita perlukan sekarang ialah perubahan dari segi pemikiran dan persepsi cara bekerja. Kita perlu libatkan lebih banyak industri untuk memperkuatkan dual training programme, dan seterusnya bergerak dari industry participation kepada industri partnership sebelum menuju kepada industry-led TVET.

Tujuh Teras Strategik Reformasi TVET

Kita telah meletakkan tujuh strategi yang akan kita guna untuk menjayakan sasaran kita untuk TVET negara. Pertama, kita akan mengubah konsep pendidikan tradisional dari ‘train and place kepada ‘place and train;

Kedua, kita perkenalkan Co-Ownership Model antara kerajaan dan industri untuk peralatan, teknologi, kepakaran dan inovasi;

Ketiga, kita wujudkan Industry-based Centre of Excellence (CoE) agar berlakunya penyelarasan antara semua institusi TVET untuk mengoptimumkan sumber dan dana kerajaan;

Keempat, kita perkenalkan TVET Valued Industry Partners (TVET VIP) untuk menggalakkan industri menerajui sistem TVET;

Kelima, juga kita gerakkan flat mobility of expertise iaitu untuk memastikan wujudnya penyelarasan di antara industri dan pusat pendidikan TVET;

Keenam, kita usahakan Employment Opportunities and Wage Level untuk memastikan graduan TVET kita mendapat gaji lumayan dan memperolehi career pathway yang jelas dan terjamin untuk mereka;

Ketujuh, kita bergerak dengan Industry Led Competency Certification Bodies (Model German Dual Vocational Training). Pengiktirafan ini akan diterajui oleh industri untuk mengelakkan pertindihan atau mismatch.

Saya amat sarankan setiap institusi pendidikan dan latihan TVET untuk bekerjasama dengan universiti-universiti dan agensi inovasi untuk memperkenalkan teknologi baharu yang boleh memanfaatkan industri.

Di sinilah kita akan meningkatkan permintaan industri untuk graduan TVET. Di sinilah juga kita boleh re-map our institution according to industry demand dan bukan sebaliknya. Kita mesti sejajarkan hala tuju institusi TVET dengan keperluan dan hala tuju industri terutamanya dalam menuju Revolusi Industri 4.0.

Kerjasama strategik dengan rakan-rakan industri dilihat sebagai penyumbang penting kepada keberkesanan serta kemajuan institusi TVET. Industri merupakan enjin penggerak utama kepada pembangunan ekonomi negara. Jalinan kerjasama yang lebih berstruktur akan terus kita perkukuhkan.

Di ruang ini, saya ingin berterima kasih kepada pemain industri yang telah menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan lebih erat. Kita sangat memerlukan kolaborasi yang sebegini agar kita boleh sama-sama memperkasa TVET, sekali gus membangunkan negara.

Penubuhan Badan Penyelaras TVET Negara Sebagai Langkah Pertama Reformasi TVET Secara Besar-besaran

Apa yang akan kita hadapi pada hari ini, berbeza dengan apa yang akan anak-anak kita akan hadapi esok hari. Masa depan anak muda misalnya, menjadi suatu relung yang sangat sukar diduga.

Revolusi digital, gelombang artificial intelligence, dominasi automasi dan teknologi-teknologi lain yang pesat berkembang telah memaksa kita untuk tidak berdiam diri.

Kita akui, untuk melonjakkan TVET negara, kita tidak boleh bergerak secara silo. TVET harus relevan, future-driven, harus padan dengan kehendak industri.

Visi kita jelas, kita mahu menjadikan bidang TVET sebagai pilihan utama bukan lagi pilihan alternatif.

Kita juga mahu TVET negara dilihat sebagi suatu entiti tunggal yang besar dan seragam, tidak terpecah-pecah dan sekali gus berkongsi suatu sistem yang kuat dan menyeluruh.

Sebagai merealisasikan visi besar kita ini, kita telah menubuhkan Badan Penyelaras TVET Negara yang sekali gus menyatukan TVET di bawah satu bumbung dan sistem tunggal yang lebih berdaya saing.

Badan ini akan menyelaras semua sistem TVET dan memperbaikinya secara menyeluruh. Apa yang perlu diperbaiki dan apa yang perlu ditambah semuanya akan diteliti secara serius.

Saya percaya, Badan Penyelaras TVET Negara akan menjadi entiti tunggal yang membolehkan kita bergerak ke depan dengan lebih strategik dan teratur.

Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi

“Jika tindakan anda memberi inspirasi kepada orang lain untuk bermimpi lebih banyak, belajar lebih banyak, berbuat lebih banyak dan menjadi lebih banyak, anda adalah seorang pemimpin.”  – Simon Sinek, Leaders Eat Last

Dalam kepimpinan, terdapat tiga aspek yang sangat penting:

Pertama, pentingnya tindakan kerana manusia belajar dengan lebih baik melalui tindakan seorang pemimpin.

Kedua, pentingnya belajar kerana pemimpin-pemimpin besar sentiasa belajar dari orang lain dan berusaha untuk melakukan sesuatu yang lebih besar.Iklan

Ketiga, pentingnya bermimpi kerana semua pemimpin besar perlu memiliki mimpi; visi dan misi yang membawa mereka melampaui diri sendiri. Impian kita mesti memberikan kehidupan kita dan kerja yang betul-betul bermakna.

Di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kita telah memulakan tiga teras utama pembaharuan yang sangat diperlukan dalam Pendidikan Pengajian Tinggi.

Pertama, kita sedang mengembalikan semula semangat universiti melalui pemerkasaan (empowerment), autonomi dan integriti. Kedua, kita melonjakkan sistem Pengajian Tinggi Malaysia ke arah Global Prominence.

Ketiga, kita sedang membangunkan bakal graduan yang mempunyai nilai-nilai kemanusiaan.

Pemerkasaan universiti

Apa yang dimaksudkan dengan pemerkasaan universiti? Ini bermakna kita mahu universiti menjadi tempat pembelajaran, tempat di mana pengetahuan diterokai, diketengahkan dan disampaikan.

Universiti adalah tempat untuk membangunkan masyarakat, baik melalui nilai, idea, atau penyelesaian kepada masalah-masalah dunia. 

Inilah sebabnya kita komited untuk membawa kembali autonomi universiti sekali gus memastikan terpasaknya integriti dalam dunia akademik. Saya secara peribadi percaya kepada kuasa setiap individu – dalam kreativiti dan keupayaan mereka untuk terus berkembang maju dan mempunyai sikap tanggungjawab yang tinggi.

Salah satu perkara pertama yang dilakukan KPM dalam membuat kenyataan ini adalah memansuhkan seksyen Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (UUCA). Mahasiswa dibenarkan menguruskan pilihanraya kampus mereka sendiri, sekali gus akan membantu mereka membentuk kesatuan pelajar.

Hal ini akan melatih mahasiswa untuk menjadi pemimpin yang sebenar – dengan membawa idea, cita-cita baru dan gambaran semula bagaimana masyarakat dapat terus berkembang maju.

Kerajaan juga bekerja keras untuk memastikan tahap integriti tertinggi dalam ahli akademik kita, termasuk penambahbaikan tadbir urus korporat, melantik tokoh penting sebagai ahli Jawatankuasa Pemilihan Naib Canselor bagi memilih hanya yang terbaik untuk menjadi Naib Canselor universiti awam dan dalam masa yang sama juga telah membentuk Jawatankuasa Integriti Pendidikan Tinggi.

Kepada ahli akademik yang dikagumi, kita sedang berusaha untuk meminda Akta 605 (Akta Badan-badan Berkanun) untuk memberikan kebebasan akademik kepada para pensyarah kita.

Pindaan-pindaan ini akan memberi ruang kepada para pensyarah untuk bebas menerbitkan artikel dan membuat kenyataan media termasuklah berkaitan topik-topik yang sensitif.

Apabila bercakap tentang kebebasan akademik, kita tidak boleh mengetepikan isu integriti, sikap kebertanggungjawaban serta kelakuan etika yang tinggi.

Sehubungan itu, ahli akademik bebas menikmati hasil kerja mereka dan juga bertanggungjawab terhadap tingkah laku mereka. Saya secara peribadi telah bertemu dengan Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir mengenai perkara ini dan kami sedang berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk mengecualikan ahli akademik daripada sekatan yang diberikan kepada perkhidmatan awam serta menambah panduan tertentu kepada mereka untuk memperkasakan tahap akademik mereka.

Kita juga berusaha keras untuk memberikan autonomi dan pemerkasaan universiti secara sistematik dari sudut pandangan undang-undang dan dasar. Tahun lepas kita telah membentuk satu kumpulan pakar pendidikan, perundangan dan kewangan untuk melihat perlunya keharmonian bagi UUCA dan Akta 555 (Akta Pengajian Tinggi Peribadi).

Ini bermakna kita akan memansuhkan kedua-dua akta tersebut, terutamanya UUCA dan menggantikannya dengan yang baru. Menjelang akhir tahun ini kita berharap untuk mencadangkan kertas putih di parlimen yang sekali gus akan melihat keupayaan universiti di semua peringkat.

Perubahan itu akan meliputi semua aspek, dari pembiayaan kepada pelantikan anggota Lembaga, kepada kebebasan bagi institusi untuk memutuskan kakitangan mereka sendiri. 

Tujuan besar kita di sini adalah untuk melakukan peralihan asas berkaitan peranan kita di Kementerian, dari pengawalan yang ketat kepada pengawal selia, pembuat dasar dan pembiaya.

Yang paling penting, kita akan bertindak sebagai fasilitator untuk membantu untuk memperbaiki universiti – kita tidak harus mengawal universiti kita daripada melakukan perkara yang baik dan kita harus mempercayai bahawa universiti kita mempunyai inisiatif tersendiri yang lebih strategik dan tepat apabila diberikan mandat untuk melakukannya.   

Selaras dengan semangat ini, tidak seperti amalan terdahulu, sekarang kerajaan sedang bekerjasama rapat dengan universiti dan kolej swasta. Sebaliknya untuk dilayan sebagai pelanggan, sektor swasta kini secara kolektif bekerjasama dalam pengawalseliaan dan tadbir urus untuk memastikan kualiti pendidikan tinggi swasta.

Prestasi global

Bercakap tentang kebebasan dan kejayaan, universiti kita juga perlu berusaha untuk menempa nama di peringkat global. Universiti-universiti tempatan, baik awam mahupun swasta, tidak lagi boleh memandang mudah tentang kedudukan kita di mata dunia.

Kita perlu bersaing dan berkongsi pengetahuan kita dengan dunia sambil . Masa sudah berakhir bagi ahli akademik Malaysia yang dikenali sebagai jaguh kampung. Kerajaan kini sedang berusaha untuk merumuskan terbaik untuk ahli akademik kita menjadi pakar dan rujukan bagi bidang masing-masing.

Di sini saya merujuk kepada beberapa tokoh teladan seperti Profesor Dr Ng Kwan Hoong dari Universiti Malaya, saintis pertama dari Malaysia untuk menerima Anugerah Marie Curie. Kita juga mempunyai beberapa tokoh lain antaranya yang terbaru Dr Abdul Rahman Mohmad dari UKM yang telah menerbitkan jurnal dalam Nature Materials Journal.

Ini membuktikan kepada saya bahawa kita mempunyai bakat dan keupayaan untuk berjaya di peringkat antarabangsa. Kementerian bersama-sama dengan universiti juga sedang membangunkan cara untuk mendorong lebih banyak penyelidik dan profesor berpotensi ke peringkat global melalui data raya (Big Data) dan kepintaran buatan (Artificial Intelligence).

Oleh itu, kita mesti mewujudkan persekitaran untuk institusi dan bakat kita untuk berdiri di kalangan negara maju. Kementerian sedang memperbaharui regulasi, dan beberapa contoh yang telah kita lakukan termasuk meningkatkan kerjasama antara universiti di Malaysia dan di luar negera.

Salah satu yang saya ingin sentuh dalam lawatan terakhir saya ke UK, Perancis, China dan Jepun adalah ini. Bagi universiti kita untuk berkembang maju, kita mesti bekerjasama dengan rakan kongsi yang terbaik dalam bidang masing-masing.

Kerajaan akan sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana institusi di luar negara, sama ada melalui kampus cawangan, kampus mikro atau kerjasama penyelidikan.

Kita menggalakkan lebih banyak inisiatif seperti kerjasama antara Advanced Manufacturing Research Centre (AMRC) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), UiTM dan Dyson, UKM dengan Peking dan Universiti Tsinghua, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dengan Durham University dan banyak lagi.

Kita juga menggalakkan pergerakan yang lebih baik dan pegerakan pelajar dan akademik antara institusi dan negara. Ia akan bermula dengan universiti awam iaitu di antara mereka sendiri, kemudian antara orang awam dan swasta di peringkat kebangsaan, dan kemudian menuju tahap yang lebih serantau.

Sebagai Pengerusi Southeast Asian Ministers of Education Organisation, saya secara peribadi melihat ke arah pembangunan mekanisme yang lebih kuat untuk pemindahan kredit serta mobiliti akademik dan pelajar untuk seluruh rantau ASEAN. Kita juga mengkaji kerjasama antara ASEAN dan negara-negara seperti Jepun, Korea dan Kesatuan Eropah untuk meningkatkan tahap mobiliti kami.

Bagi universiti dan institut penyelidikan, ini juga bermakna peningkatan peluang modal, bakat dan penyelidikan untuk meningkatkan kualiti penyelidikan kita. Industri dan sektor swasta sedang terlibat dengan cara ini untuk melahirkan penyelidik yang lebih berdaya saing dan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara universiti dengan sektor swasta.

Selain pergerakan, penting bagi kita melihat kepada pemeliharaan, generasi dan eksport pengetahuan kita. Dalam bidang kemanusiaan, terutamanya dalam Pengajian Asia Tenggara, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) baru-baru ini memperolehi manuskrip digital Malcolm MacDonald dari University of Durham.

Di Durham, kita telah menandatangani MoU yang akan membawa kepada repositori digital terbesar naskah di Asia Tenggara (terutamanya manuskrip dari korpus pengetahuan Melayu). Ini adalah untuk melengkapkan Perpustakaan British dan Persatuan Diraja Asia.

Saya gembira untuk mengatakan bahawa UniSZA juga berkerjasama dengan kerajaan Maghribi untuk mendigitalkan manuskrip Islam yang dipelihara oleh beberapa badan penjaga. Lawatan saya ke Beijing International Publishing Forum 2019 juga membuka jalan bagi kesusasteraan terbaik kita untuk ditawarkan kepada China dan dunia.

Melihat semua usaha ketika ini, kita tidak boleh melupakan akar dan bahasa kita. Penghargaan kesusasteraan amat diperlukan kerana nilainya dalam membantu kita mengenali diri dengan lebih baik.

Di sinilah kita telah memperkenalkan Sasterawan @ Universiti untuk memupuk rasa cinta kepada kesusasteraan dan warisan negara kita; dan terus mengembangkan industri penerbitan kita, tabiat membaca dan budaya pembelajaran.

Kita juga bekerjasama dengan penerbit-penerbit dan universiti-universiti di luar negara untuk memastikan kesusasteraan dan penerbitan akademik kita sendiri akan dilihat di rak dan di direktori perpustakaan terkemuka dari seluruh pelusuk dunia.

Adalah menjadi harapan saya bahawa usaha ini akan menjadikan akademik kita sebagai rujukan dunia dalam tujahan masing-masing.

Akhir sekali, kita berusaha dengan lebih tekun untuk mendorong jenama antarabangsa kita dalam pendidikan. Kita sudah menjadi destinasi menarik untuk belajar Bahasa Inggeris, menjadi negara ketiga paling mahir di Asia; dan mempunyai asas yang kuat dalam perhotelan, kajian Asia Tenggara, kejuruteraan dan kajian Islam termasuk perbankan kewangan islam serta pensijilan halal.

Di samping itu, kita juga mempunyai institusi yang dihormati di peringkat global seperti Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB).

Tetapi untuk meneruskan aspirasi global ini, kita perlu mempunyai persekitaran yang lebih teguh. Oleh itu, kita akan melonggarkan peraturan-peraturan yang ada untuk menjadikannya lebih menarik bagi badan-badan dan institusi antarabangsa untuk masuk dan bagi institusi tempatan kita untuk bergerak ke peringkat antarabangsa.

Kita mahu menawarkan yang terbaik kepada dunia dan mendapat manfaat yang terbaik daripada mereka. 

Graduan masa depan

Matlamat terakhir dan utama kita di Kementerian adalah untuk membangunkan graduan yang serba boleh dalam abad ke-21. Kita pernah mendengar frasa menarik seperti Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), tetapi aspek yang paling asas dalam perubahan dalam teknologi ini adalah untuk memberikan kepada pelajar kemahiran yang tepat, kebolehan dan nilai.

Ini bukan lagi era sekeping ijazah dan kelayakan semata-mata. Ini adalah era pendidikan fleksibel dan tadbir urus. Ia adalah era penyelidikan dan inovasi serta perancangan bakat yang menyeluruh. 

Untuk merealisasikan ini, kita telah memanfaatkan dan mengembangkan serta mencipta inovasi kritikal dalam bidang pendidikan. Ianya termasuk:

a. Data raya dan machine learning – untuk memperbaiki dan meramal peluang pekerjaan dan kemahiran siswazah; dan untuk pensyarah dan penyelidik untuk meningkatkan kualiti penerbitan mereka.

b. Micro-credentials – di mana Agensi Kelayakan Malaysia memperluaskan sistem akreditasi mereka untuk membolehkan kelayakan dan pensijilan profesional.

c. Sistem pembelajaran dalam talian MOOC kita juga diperluas untuk membolehkan platform lancar antara pelajar Malaysia dan akademik dengan kalangan akademik global yang lebih besar.

d. Kita juga berinovasi dalam kerja rentas disiplin yang serupa dengan liberal arts system seperti UiTM dalam eco-technology  mereka.

e. Universiti juga membentuk kelompok dan tujahan khusus ke arah mengukuhkan jenama dan kepakaran mereka. Contohnya MTUN akan memimpin di bidang pendidikan tinggi TVET.

f. Paling penting, kita bekerjasama dengan industri untuk membentuk model pemilikan bersama yang membolehkan mereka membina bersama kurikulum, melabur dalam kemudahan dan latihan untuk memastikan pelajar industri lebih bersedia.

Untuk mengintegrasikan nilai dalam pendidikan, kita telah mencipta program baru untuk memperkenalkan falsafah dan etika di universiti. Falsafah adalah sangat penting untuk membuka minda pelajar kita kepada setiap bidang pengetahuan – mengenai epistemologi, ontologi, dan saling berhubung antara satu disiplin dan disiplin yang lain.

Etika akan memperluas ufuk pelajar untuk menghargai perbezaan dan akhirnya, untuk memahami dan mendalami nilai saling menghormati dalam kehidupan seseorang.

Kita juga telah memperluaskan program Perkhidmatan Pembelajaran Malaysia – Universiti untuk Masyarakat (SULAM) untuk menanam khidmat masyarakat sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran.

Tambahan pula, kita sedang berusaha untuk meningkatkan skim geran Jaringan Penyelidikan Awam Swasta kami untuk memberi lebih banyak peluang kepada universiti untuk menyumbang kepada perusahaan kecil dan sederhana.

SULAM dan contoh lain yang disebut adalah beberapa cara di mana universiti boleh membawa pembelajaran dan nilai pendidikan ke tahap yang baru.

Pembuktian masa depan dalam pendidikan juga bermakna keterangkuman. Institusi Pengajian Tinggi mencairkan kepelbagaian, dengan pelajar dan pensyarah dari pelbagai latar belakang kewangan dan pendidikan.

Sama ada pelajar B40 mencari pendidikan untuk mobiliti sosial, atau golongan profesional yang bekerja separuh masa, atau pesara yang suka belajar – setiap individu dialu-alukan untuk memperkayakan kehidupan mereka melalui pembelajaran sepanjang hayat dan kelayakan formal.

Kita juga mesti memastikan ruang yang berbeza dan kita akan melancarkan Garis Panduan Golongan OKU pada bulan September. Ini adalah kali pertama di Malaysia kita mempunyai dasar sedemikian. Harapan saya bahawa ini akan menjadi lakaran baru dalam sejarah pendidikan inklusif kita.

Langkah ke hadapan

Saya sudah lama bercakap mengenai pelbagai inisiatif yang telah kita jalankan. Tetapi saya akan menjadi yang pertama mengakui bahawa kita perlu berbuat lebih banyak untuk merealisasikan cita-cita besar dalam sistem pendidikan yang boleh menjadi kebanggaan negara kita.

Eleanor Roosevelt pernah berkata, “Masa depan adalah milik mereka yang percaya kepada keindahan mimpi mereka.” Oleh itu, izinkan saya menamatkan ucapan ini dengan impian saya. 

Impian saya adalah untuk melihat universiti-universiti di Malaysia menjadi rujukan pengetahuan antarabangsa dan untuk Malaysia menjadi destinasi pilihan untuk kualiti, pendidikan berasaskan nilai, pendidikan inklusif dan pendidikan antarabangsa. Saya ​​percaya bahawa kita mempunyai apa yang diperlukan untuk mencapai semua ini.

Jadi kepada semua, saya katakan bermimpilah. Percayalah dengan keindahan mimpi dan aspirasi kita, pelajari dari orang lain tentang cara melakukan sesuatu dan terus melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk menjadikan semua yang kita impikan, satu kenyataan.


Merdeka, Perpaduan Dan Pendidikan

Awal bulan lepas, saya telah membentang rumusan dapatan daripada Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara tentang syor mereka untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Banyak kali mesyuarat dan bengkel saya adakan bersama mereka. Kami melihat secara menyeluruh sistem yang ada, dari bangku pra-sekolah sehinggalah ke Institut Pendidikan Tinggi. Baik perkara-perkara kecil sehinggalah perkara-perkara besar.

Mereka telah membentang dapatan mereka. Siri-siri indikasi, bengkel, sedang dijalankan lagi dan lagi di peringkat Kementerian Pendidikan untuk memastikan perlaksanaannya berjalan lancar.

Perubahan memerlukan masa dan ruang. Saya sendiri memang ingin benar melihat perubahan berlaku dalam sekelip mata. Jika boleh, esok saya mahu bangun dan lihat anak-anak ke sekolah dengan ceria, guru-guru seronok mengajar dan tidak terbeban, malah sekolah menjadi tempat yang paling menyeronokkan.

Tetapi semua itu tidak mudah berlaku. Rom tidak dibina dalam satu malam. Semuanya tertakluk dengan sains perubahan. Sumber manusia perlu lengkap, kepakaran perlu kukuh, implementasi perlu mendarat dengan selamat dan sempurna, agar tidak berlaku yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Sementara hal itu berlaku, banyaklah liku-liku perjalanan yang terpaksa saya dan pasukan harung. Semak belukarnya sangat mencabar.

Dalam masa yang sama, saya menerima segala kritikan dari semua. Semasa kita sedang mengumpul pandangan pun, terdapat lebih 50 ribu pandangan yang kita terima dan tapis lalu kelompokkan ikut kesesuaian. Kita indikasikan, prioritikan, dan jalankan kajian awal sehinggalah ia membentuk sebuah dasar yang perlu diubah agar jangka hayatnya panjang dan berkesan.

Merdeka dan Perpaduan

Apakah itu Merdeka? Soalan ini sentiasa terngiang-giang di ranah ingatan saya. Setiap orang ada jawapannya yang tersendiri. Jawapan yang terkambus dalam pengalaman peribadi. Ia bukan hanya sekadar 7 kali laungan Merdeka dari Tunku Abdul Rahman. Ia lebih dari turunnya bendera Union Jack dan naikknya Jalur Gemilang malam 31 Ogos 1957.

Pada saya, Merdeka ialah soal perjuangan. Soal hak, soal keadilan, dan paling penting, soal perpaduan dan cintakan negara. Jika ditanya apa itu Merdeka, apa itu Hari Kebangsaan, inilah intinya. Merdeka harus menumbuhkan rasa cintakan negara, dan dari situlah kita boleh mengetepikan segala perbezaan dan bersatu demi membangunkan negara tercinta.

Kerana saya percaya, Merdeka ialah sejarah yang sangat bermakna. Merdeka menjadi bukti bahawa perpaduan itu telah wujud dan hasilnya, kita telah membina Malaysia yang kita kenali pada hari ini.

Perpaduan Sebagai Tema Utama

Terdapat enam tema utama yang menjadi tonggak dalam sistem pendidikan yang sedang digubal. Pendidikan Awal, Kurikulum, Profesionalisme Keguruan, Kualiti IPT, Perpaduan dan Model Baharu Pendidikan.

Di ruang ini, sempena dengan bulan Kemerdekaan tahun ini, saya ingin kongsikan tentang tema kelima, iaitu tema perpaduan.

Saya yakin, semua orang percaya bahawa perpaduan ialah tonggak pembangunan negara. Malah untuk memastikan negara kita terus membangun, perpaduan akan menjadi satu elemen yang sangat ditekankan dalam sistem pendidikan baru yang sedang digubal.

Pihak Kementerian bercadang mewujudkan Suruhanjaya Bebas (Royal Commission of Inquiry) untuk mengkaji dan memberi cadangan dalam menyelesaikan isu polarisasi di dalam sistem pendidikan di negara ini.

Kita mahu memastikan sekolah bukan tempat toksik yang menyemarakkan isu perkauman. Kita tidak boleh membiarkan daki-daki pengkhianatan bermaharajalela di sekolah. Sebaliknya, sekolah perlu menjadi tempat kanak-kanak mengenali satu sama lain. Mereka hormat segala jenis perbezaan, dan cuba berkawan dengan rakan dari pelbagai bangsa dan budaya.

Elemen perpaduan ini kita akan tekankan terutama sekali dalam subjek Sejarah, subjek-subjek bahasa, termasuklah dalam subjek Pendidikan Islam dan dalam manual-manual pendidikan sivik yang kita laksanakan.

Anak-anak kita harus tahu bahawa rukun penubuhan negara ini ialah perpaduan. Anak-anak kita harus belajar bahawa kita wujud sebagai manusia yang berbilang bangsa, dan menjadi tanggungjawab kita untuk mengasihi dan menghormati setiap orang walaupun mereka berbeza.

Dan anak-anak kita harus sedar bahawa paling-paling kurang, ada satu persamaan antara kita dan mereka, iaitu kita sama-sama cintakan negara. Dan apabila Hari Kebangsaan menjelma lagi, kita sama-sama rasai maknanya.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan buat semua, khususnya warga pendidik, warga KPM dan semua rakyat Malaysia yang saya cintai.

Prosedur Operasi Standard Penutupan Sekolah Berikutan Kejadian Jerebu

Berikutan dari keadaan jerebu yang makin kritikal yang melanda negara ketika ini, beberapa penambaikan telah dilaksanakan oleh KPM

  1. Pengumuman penutupan sekolah-sekolah akan disiarkan pada setiap hari selewat-lewatnya jam 6 petang.
  • Pengetua dan Guru Besar boleh mengumumkan penutupan sekolah sekiranya pada pandangan beliau keadaan jerebu semakin teruk berdasarkan trend bacaan IPU pada hari tersebut dan keputusan tersebut hendaklah dimaklumkan kepada PPD dan Jabatan.
  • Bagi sekolah diumumkan tutup dan setelah murid-murid berada di sekolah, murid- murid masih boleh berada di sekolah dan PdP akan berjalan seperti biasa sehingga habis waktu persekolahan bagi sesi tersebut kecuali ada permintaan waris untuk membawa anak mereka pulang.
  • Guru-guru adalah diberi pilihan untuk berkerja dari rumah sekiranya sekolah terlibat dengan pengumuman penutupan. Pengetua dan Guru Besar hendaklah memastikan perkara ini dibuat mengambilkira kebajikan semua.
  • Semua sekolah di Selangor, Pulau Pinang, WP Putrajaya dan WP Kuala Lumpur, semua sekolah termasuk tadika akan ditutup selama 2 hari bermula esok, 19 September 2019.
  • Semua sekolah yang terlibat tidak perlu diganti kerana dikategorikan sebagai cuti bencana.
  • Murid-murid dan para guru adalah diingatkan untuk sentiasa mengutamakan kesihatan, minum air secukupnya dan kurangkan aktiviti di luar.
  • Para pentadbir sekolah pula haruslah mengikut SOP sedia ada pada setiap masa.
  • Bagi IPT, keputusan untuk menutup adalah terletak kepada keputusan pengurusan IPT masing-masing.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA 18 SEPTEMBER 2019

Hari Akademia Tingkat Martabat Ahli Akademik Negara

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 September 2019 telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengiktiraf tarikh 5 Oktober pada setiap tahun sebagai Hari Akademia.

Ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPM dalam menghargai jasa dan sumbangan seluruh kakitangan akademik di pelbagai peringkat pengajian lepasan sekolah merangkumi Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG), Politeknik, Kolej Komuniti, Kolej Matrikulasi serta Institut Latihan dan Kemahiran (ILK) dalam bidang Technical and Vocational Education and Training (TVET).

Secara umumnya, tarikh 5 Oktober ini dipilih berasaskan kepada sambutan Hari Guru Sedunia.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan ini, KPM telah memutuskan untuk bulan Oktober diperkenalkan sebagai Bulan Akademia dengan pelbagai program wacana dan intelektual bakal diperhebatkan sepanjang bulan berkenaan.

Kemuncak kepada sambutan Hari Akademia ini ialah penganjuran Anugerah Akademik Negara (AAN) yang merupakan anugerah tertinggi dalam menghargai peranan dan sumbangan penting kakitangan akademik di negara kita.

KPM komited dalam mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi yang berkualiti hebat dan sentiasa berusaha gigih ke arah melahirkan ahli akademik bertaraf dunia.

YB Dr. Maszlee bin Malik
Menteri Pendidikan Malaysia

Mengembalikan Cinta Dalam Pendidikan

“Kita mencintai kehidupan, bukan kerana kita sudah terbiasa untuk meneruskan kehidupan, tetapi kerana kita sudah terbiasa untuk terus mencintai.” – Friedrich Nietzsche

Saya sentiasa percaya bahawa guru-guru ialah adiwira yang paling agung di seluruh cakerawala. Kerja mereka mereka bukan hanya pergi sekolah dan pulang petangnya, tetapi kerja mereka ialah memanusiakan manusia. Bertanyalah kepada sesiapapun; kita mungkin tidak menjadi siapa yang kita jadi pada hari ini tanpa kehadiran walau cuma seorang guru dalam hidup kita.

Baik dari perkara-perkara yang besar sehinggalah perkara-perkara yang kecil, pendidikan mesti tidak lari dari nadinya yang asli dan murni, iaitu cinta. Pendidikan ialah soal membangunkan insan dengan cinta. Tanpa cinta, tiada pendidikan. Tanpa cinta, tiada kemanusiaan. Eleanor Roosevelt pernah berkata: perihal memberi cinta itu sendiri ialah pendidikan.

Kita harus bersama-sama bekerja keras untuk menjadikan sekolah dan universiti ialah tempat menanam cinta, bukan kebencian. Saban hari kita menerima pelbagai laporan berkaitan kes buli di sekolah. Di peringkat kementerian, kita akan tanganinya secara serius. Justeru, saya menyeru kepada semua pihak usah segan dan takut untuk tampil ke hadapan dan laporkan kes buli ini agar ia tidak berulang lagi.

Kesannya sangat bahaya. Kita tidak mahu anak-anak merasa takut ke sekolah. Kita tidak mahu mereka melihat sekolah sebagai musuh. Di samping pelbagai kempen kesedaran dari pelbagai pihak untuk sama-sama menangani isu buli ini, saya juga menyeru ibu bapa untuk sama-sama membantu. Perkara sebegini perlu ditangani secara kolektif dan bersama.

Pedagogi Cinta

Sekali lagi, saya ingin menekankan hala tuju utama pendidikan kita, iaitu pendidikan berteraskan nilai. Di antara banyak nilai, kita mahu menjadikan tiga nilai sebagai fokus utama; cinta atau kasih-sayang, kegembiraan atau kebahagiaan, dan saling menghormati antara satu sama lain.

Kerana itulah misalnya kita kurangkan beban guru sedikit demi sedikit agar masa bersemuka (facetime) guru dan murid lebih banyak. Dan di situlah kita mahu wujudnya interaksi yang baik, yang berorientasikan murid dan pembangunan karakter mereka. Di situlah wujudnya cinta.

Saya tahu, mendidik bukanlah kerja yang mudah, tetapi hakikat kerja ini sangat murni. Ada tuaian akhirat yang sedang tumbuh sekiranya kita ikhlas dan jujur. Resepinya sudah tentu, kesabaran dan usaha yang berterusan.

Saya juga percaya, cinta harus mendorong ilmu dan kebenaran. Ianya mesti diterjemahkan ke dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran seharian. Dengan cintalah kita memahami bahawa setiap insan mempunyai citra potensinya yang tersendiri, dan tugas seorang pendidik ialah menggilapnya, mendorongnya, dan membimbingnya dengan telus dan murni.

“Anak anak kita bakal datang

tangkas dan berilmu

dan kita dalam sejarah

bakal syahdu dan bangga

kerana awan yang indah

lapis pelangi lebih mesra

wajah diri dan inti peribadi kita

tunjang bagi kehidupan

dan kemerdekaan bangsa

yang sentiasa sedia belajar mengerti dan tekun

hidup bersama.”

– A. Samad Said, Hidup Bersama

Pendidikan Sebagai Penyelesai Masalah Masyarakat

Para sarjana dari rentas abad telah lama bertanya, “Pendidikan ini hakikatnya untuk siapa? Sekolah ini untuk siapa? Universiti ini untuk siapa?”

Saya ingat, ada satu buku yang saya kira sangat baik untuk dibaca oleh para pendidik dan oleh semua orang umumnya. Buku ini berjudul The New Meaning of Educational Change, Makna Baharu Perubahan Pendidikan, dikarang oleh seorang sarjana bernama Michael Fullan.

Buku ini berjaya meneroka semula idea-idea pendidikan dan memberikan formula bagaimana idea-idea itu mampu dipugar dari masa ke masa. Dan diantara idea-idea besar yang perlu dibangunkan semula ialah mengembalikan semula institusi pendidikan kepada masyarakat.

Maknanya, hala tuju, framework, kiblat pendidikan mestilah ke arah menyelesaikan masalah masyarakat setempat. Masyarakat mesti menjadi nukleus kepada makna kewujudan sesebuah universiti.

Hanya dengan cara ini sahajalah, pendidikan boleh menjadi cause of the social change. Dan di dalam masyarakat pascamoden ini, seperti kata seorang sarjana bernama Hargreaves, tidak sempurna pendidikan tanpa bergabung bersama masyarakat.

Sebab itu di era ini, kita mahu gerakkan idea ini secara agresif. Kita mahu segera bergerak ke arah indigenization (pemperibumian) pendidikan. Kita mahu akrabkan pendidikan dengan masyarakat. Segala jenis penyelidikan, program, konvensyen, kongres, semuanya mestilah bersifat menyelesaikan masalah masyarakat.

Budaya Ilmu Sebagai ‘Geist’ Kewujudan Universiti

Selain mengembalikan fungsi universiti kepada menyelesaikan masalah masyarakat, kita juga harus sama-sama mengembalikan ‘geist’ kewujudan sesebuah universiti, iaitu budaya ilmu.

Di dalam mana-mana kelompok bertamadun, orang-orang berilmu akan diangkat dan dijadikan rujukan. Hatta di dalam masyarakat primitif sekalipun, tukang tilik juga akan dirujuk. Apatah lagi di zaman moden, tentunya profesor-profesor dan tuan guru pondok (dalam aliran ilmu tradisional) tetap akan diangkat dan dijadikan rujukan oleh masyarakat.

Dan di dalam atmosfera Malaysia Baru, ruang wacana awam telah dikembalikan dan harus bergiat aktif di dalam memudiki pemikiran rakyat terbanyak.

Universiti mesti diperkasa sebagai pentas wacana yang meriah. Segala perbezaan dan ribuan ‘schools of thought’ yang ada mesti diraikan dan dibincangkan secara sihat, malah ia mesti dihubungkan kepada masyarakat.

Saya pernah menulis satu artikel berjudul “Peranan Intelek Rausyan Fikir Dalam Ruang Demokrasi”. Saya jelaskan;

“Paksi para budiman dan intelek adalah kebenaran berteraskan hujah dan nilai manusiawi yang universal. Mereka ialah pejuang nilai, benteng kemanusiaan dan juga pendakwah keadilan dan kebenaran.” (Malik, 2014)

Apabila gerbang universiti telah dibuka seluas-luasnya kepada semua, tugas para cendekiawan awam yang terdiri daripada ahli akademik dan mahasiswa ialah mengisi kebebasan ini dengan wacana-wacana yang segar.

Mukaddimah: Cabaran dan Respons

Membebaskan semula wacana ini ke ruang awam ialah aspek penting di dalam mengemudi kecerdikan masyarakat. Kita sering belajar daripada sejarah, bagaimana kemajuan dan kejatuhan sesuatu peradaban itu diukur daripada bagaimana sesebuah masyarakat menghadapi cabaran dalaman dan luaran, dan bagaimana pula mereka memberi tindak balas (response) terhadap cabaran tersebut.

Ada satu karya agung yang evergreen yang perlu dibaca untuk memahami bagaimana respons dan cabaran ini berhubung kait antara satu sama lain, iaitu adikarya Ibnu Khaldun yang berjudul “Mukaddimah”.

Saudara Hazman Baharom di dalam rencana beliau berjudul “Peranan Cendekiawan Awam Dalam Mencerahkan Masyarakat” (yang telah dikumpulkan di dalam buku “Renungan Kemasyarakatan) telah menulis;

“Seperkara penting yang terhasil daripada respons sesuatu masyarakat kepada perkara di sekelilingnya ialah penerokaan ilmu yang lebih meluas, dan kemudiannya menjadi penyuluh kepada kecerdikan masyarakat itu sendiri.” (Baharom, 2016)

Tahap pemikiran masyarakat bergantung kepada setakat mana wacana awam ini digerakkan; dan nakhoda penggerak wacana ini tidak lain tidak bukan ialah universiti. Universitilah yang memandu kecerdikan masyarakat, dan yang perlu memainkan peranan untuk mengeluarkan masyarakat daripada sindrom ketidaktahuan dan ketidakpedulian terhadap ilmu ialah universiti.

Hal ini selari dengan pemberian autonomi-akauntabiliti (sikap kebertanggungjawaban) kepada universiti. Universiti bebas menentukan ‘direction’ wacana ini dan bagaimana ia perlu benar-benar memandu pendidikan masyarakat.

Saya mengucapkan terima kasih kepada ramai tokoh yang akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke universiti, dan tokoh-tokoh itu termasuklah ahli politik pembangkang.

Sama-samalah kita semua menghargai dan memanfaatkan medan intelektual terbuka ini sebaiknya. Perbanyakkanlah wacana, debat, dialog, forum yang bersifat intelektual dan mendidik serta menyelesaikan masalah masyarakat.

Firman Allah SWT;

“Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman serta orang-orang yang berilmu pengetahuan sebanyak beberapa darjat.” (Quran, 58:11)

(April, 2019)

Terima Kasih Semua, “I love You 3000!”

Kalau sekali kita berani,

Tahan besi tahan api,

Rempuh, sampai luluh,

Gembur, hingga lebur.

Bumi kita, budi kita,

Segala sedang meminta,

Siapa memberi, siapa mereka

Siapa putera kepunyaan bangsa.

  • –          SN Usman Awang

Artikel ini ditulis khas untuk menerangkan beberapa pencapaian yang, dengan izin Allah, kami capai setelah setahun Kementerian Pendidikan Malaysia ditadbir di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Pencapaian ini tidaklah sempurna, jauh sekali menyelesaikan keseluruhan perkara. Tetapi pencapaian yang diperolehi ini akan menjadi permulaan yang baik. Masih banyak kerja yang perlu kami langsaikan. Masih banyak harapan rakyat yang perlu kami tunaikan. Saya yakin, sekiranya mandat rakyat yang menjadi hadaf pergerakan, kerja keras ini akan membuahkan hasilnya.

Leo Tolstoy pernah menyebut; “The sole meaning of life is to serve humanity.”

Pada 31 Mac 2019, Berita Harian telah melaporkan kisah seorang pelajar cemerlang yang miskin tetapi bercita-cita tinggi. Kisah adik Abdul Manaf Abdul Aziz yang datang dari keluarga kurang berkemampuan tetapi mendapat keputusan cemerlang 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 adalah contoh bagaimana anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah juga boleh berjaya dengan cemerlang jika diberi peluang.

Di dalam laporan tersebut beliau mengucapkan;

“Impian saya untuk menjadi doktor walaupun peluang untuk melangkah ke menara gading masih samar kerana kesempitan hidup.

“Saya ingin membela nasib keluarga yang hidup serba kekurangan… ayah saya, Abdul Aziz Osman, 60, hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu dan sentiasa berusaha membesarkan kami lima beradik.

“Kesungguhan saya untuk membuktikan bahawa kami juga mampu berjaya jika diberi peluang,”

Kisah seperti ini diceritakan kepada kita semua hampir setiap hari di seluruh negara. Untuk keluarga berpendapatan rendah dan B40, pendidikan berkualiti adalah sebuah impian yang mustahil kerana kekangan ekonomi yang meruncing.

Teras 1: Manfaat Untuk Pelajar B40

Ada 9 teras pencapaian Kementerian Pendidikan Malaysia setelah setahun Pakatan Harapan mentadbir. 9 teras ini merangkumi 9 kelompok rakyat yang ingin kami berikan tumpuan.

Pertamanya, untuk mewujudkan keseimbangan dan kesetaraan akses terhadap pendidikan agar tiada mana-mana golongan yang tersisih, kami memberikan tumpuan yang penuh terhadap warga B40 atau mereka yang kurang berkemampuan.

Selain daripada memperuntukkan 60% kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan program matrikulasi, mulai tahun ini, mereka juga mempunyai laluan khas untuk masuk ke Universiti Awam dan akan mendapat tawaran biasiswa dan bantuan kewangan. Inisiatif ini telah memberikan manfaat kepada 23,895 pelajar yang miskin dan kurang berkemampuan.

Saya percaya, kejayaan akan menerpa buat sesiapa sahaja jika ruang diberikan seluas-luasnya. Kata Penulis Perancis Albert Camus, “Freedom is nothing else, but a chance to be better”.

Teras 2: Guru Sebagai Fokus Utama

Teras kedua ialah guru sebagai fokus utama. Kita akui guru merupakan adiwira perubahan yang sebenar dan suara keluhan mereka tidak boleh sesekali diabaikan.

Di bawah teras ini, ada dua fokus yang kami berikan penekanan. Satunya ialah isu kebajikan guru. Buat masa ini, KPM sedang giat mengadakan perbincangan dengan semua pihak untuk segera menggubal Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan dan kebajikan guru ketika membawa murid keluar sekolah.

KPM juga dalam usaha mengukuhkan fungsi dan peranan yang dimainkan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) untuk turun ke sekolah-sekolah dan mengajar bagi membantu memberikan panduan kepada guru dan pihak sekolah bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran murid-murid.

Fokus kedua ialah beban guru. Saya akui, ini merupakan cabaran yang sangat besar dan harapan yang begitu menggunung daripada para guru.

Bermula pada tahun ini, lima inisiatif dan sembilan intervensi telah dirangka untuk mengurangkan bebanan guru. Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk mengatasi pertindihan tugas guru supaya guru-guru dapat memberikan fokus yang lebih pada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, dan sekali gus mempunyai lebih banyak facetime (waktu berinteraksi) dengan anak-anak untuk mendidik dan menggilap potensi mereka.

Selain daripada lima inisiatif itu, kami juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif jangka panjang yang melibatkan isu lebih kompleks dan memerlukan kajian semula dasar dan peraturan sedia ada, penambahbaikan infrastruktur fizikal ICT serta pengoptimaan perjawatan dan pengisian sumber manusia di sekolah.

Ini termasuklah isu berkaitan waktu kerja guru, capaian Internet di sekolah, integrasi sistem maklumat, peranan pentadbir dan anggota kumpulan pelaksana dan agihan guru di sekolah.

Imam Asy-Syafi’I Rahimahullah Ta’ala di dalam Diwan beliau pernah berkata:

“Bersabarlah atas pedihnya ketegasan seorang guru

Sungguh suatu kegagalan untuk mendapatkan ilmu, jika kita menjauhinya

Dan sesiapa yang tidak merasakan pedihnya belajar sesaat

Akan menelan hinanya kebodohan sepanjang hayat.”

Teras 3: Murid Sebagai Tonggak

Elemen teras dalam pendidikan ialah murid. Justeru, teras ketiga ini kita berikan perhatian penuh kepada murid. Kami bermula dengan penekanan terhadap pendidikan anak-anak tahap 1 dengan memansuhkan semua peperiksaan ke atas mereka. Kami mahu mereka ke sekolah dengan gembira dan membuak-buak perasaan ingin tahu. Mereka perlu belajar tanpa tekanan dan paksaan. Dunia adalah sekolah pembelajaran bagi mereka.

Kita berhasrat agar proses PdP menjadi sebahagian daripada pembelajaran ceria (fun learning) yang akan membantu proses pencernaan ilmu dalam jiwa murid-murid.

Malahan, ini juga merupakan salah satu usaha agresif untuk kita mula bergerak ke arah paradigma student-centered learning atau pembelajaran berasaskan murid.

Dan kepada anak-anak terpinggir khususnya anak-anak warganegara Malaysia tanpa dokumen, tahun pintu sekolah telah dibuka buat mereka seluas-luasnya. Sehingga hari ini sahaja, seramai 2,635 anak-anak telah mengikuti sesi persekolahan.

Prinsip kami jelas, pendidikan ialah hak setiap kanak-kanak tidak kira di mana sahaja mereka berada dan dari mana sahaja mereka datang.

Sebelum ini, mereka terbiar di jalanan dan dinafikan hak pendidikan. Pendidikan akan menyelamatkan anak-anak ini, dan keseluruhan generasi mereka daripada terlibat dengan jenayah dan gejala sosial. Malah, inisiatif ini juga akan memberikan impak yang sangat besar kepada masyarakat dalam jangka masa yang panjang.

Hal ini selari dengan program sifar keciciran murid yang telah KPM jalankan melalui Program rintis Sifar Murid Cicir (PSMC). Melalui program ini, sebanyak 26.1 peratus, iaitu 262 orang murid di sekolah menengah telah kembali ke sekolah. Telah sekian lama, 262 pelajar ini telah berputus asa terhadap pendidikan mereka dan inisiatif ini membuka semula gerbang harapan buat mereka.

Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada warga KPM yang telah mencetuskan idea ini dan juga terima kasih kepada JPN & PPD. Terima kasih juga kepada para guru yang telah terlibat menjayakan usaha ini.

Saya tahu, ramai yang telah gigih berusaha untuk menjayakan inisiatif sehingga mereka telah melawat ke setiap 262 buah rumah ini untuk mengundang mereka kembali ke sekolah. Begitulah besarnya tugas seorang pendidik yang perlu bekerja bukan sahaja di dalam bilik darjah, tetapi sehingga ke rumah-rumah, hanya untuk memastikan agar pendidikan ini sampai kepada anak-anak kita semua.

Hasrat KPM jelas. Kami mahu terus memperkasakan konsep keterangkuman pendidikan (inclusive education) di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ma’idah ayat 2: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan…”

Teras 4: Komitmen Tangani Isu Sekolah Daif

Di samping cuba bergerak ke arah pendidikan yang kalis masa depan (futureproof) dengan mengambil kira keperluan menghadapi gelombang Revolusi Industri 4.0, KPM tidak akan sesekali mengabaikan keperluan rakyat yang paling hakiki, iaitu infrastruktur dan prasarana yang baik untuk pendidikan anak-anak kita.

Oleh itu, teras keempat iaitu komitmen menangani sekolah daif menjadi antara tumpuan paling besar KPM dan saya sendiri ketika mula menjejakkan kaki ke sini. Di pejabat saya sendiri, saya minta diwujudkan dashboard (papan pintar) untuk saya meninjau secara langsung tentang perkembangan pembangunan sekolah daif di seluruh Malaysia.

Daripada 394 buah sekolah daif, 301 daripadanya telah siap dengan CPC dan 93 dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. Manakala 107 buah lagi adalah dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan dijangka akan diselesaikan di penghujung tahun ini.

Apa ertinya bercakap tentang Revolusi Industri 4.0 sedangkan bumbung sekolah-sekolah ini bocor, lantai retak dan berlubang, dinding punah dan merekah, yang mana ia sangat tidak selamat untuk murid dan guru. Saya yakin, dengan menyelesaikan isu ini secara tuntas, barulah adil untuk kita bercakap tentang futureproofing anak-anak, ketika sekolah daif ini setara dengan sekolah di Kuala Lumpur.

Dalam masa yang sama, khusus untuk sekolah-sekolah daif di Sarawak, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas RM1 Bilion yang akan diperuntukkan khas untuk menangani isu sekolah daif di Sarawak.

Teras 5: Perhatian Penuh Kepada OKU

Teras kelima juga antara perkara yang sangat besar dan akan sering diberikan tumpuan. Mereka, Orang Kurang Upaya atau Murid Berkeperluan Khas (MBK) sentiasa mendiami di relung hati saya yang paling dalam.

Mulai tahun ini, KPM telah melaksanakan Dasar Sifar Penolakan (Zero-Reject Policy) bagi memastikan tiada lagi kanak-kanak istimewa ini terpinggir daripada mendapat hak pendidikan yang sewajarnya.

Awal Januari lalu, kami dapati seramai 1,486 kanak-kanak MBK yang tidak membuat pendaftaran awal secara dalam talian telah hadir ke sekolah untuk mendaftar secara manual. Jumlah ini terus meningkat sehingga mencecah angka 10,948 pada 8 April 2019.

Peningkatan sebanyak 10 kali ganda ini merupakan satu kejayaan yang sangat besar dan hakikatnya peluang pendidikan dan masa hadapan yang cerah telah disedaiakan kepada 10,948 orang Murid Berkeperluan Khas di seluruh negara!

Dalam masa yang sama, ingin saya nyatakan bahawa para pelajar OKU juga akan mendapat laluan khas untuk ke Universiti Awam. Semua Universiti Awam juga sedang merangka polisi mesra OKU di kampus masing-masing, dan ianya akan diperkenalkan juga kepada IPTS di seluruh negara.

Yang pasti, kami tidak mahu lagi kelompok OKU ini tercicir dan malah, mereka hakikatnya mempunyai peranan yang penting dan mampu memberikan impak yang sangat besar kepada masyarakat. Bak kata Rumi, “Stop acting so small, you are the universe in ecstatic motion.”

Teras 6: Kewibawaan Institusi Pendidikan Tinggi

Ada tujuh inisiatif yang telah KPM laksanakan di bawah teras ini, iaitu; (1) Pemansuhan Seksyen 15(c) AUKU yang merupakan prelude kepada pemansuhan akta berkenaan pada tahun 2020 nanti untuk digantikan dengan akta yang lebih komprehensif, (2) Pilihan Raya Kampus yang telah dikendalikan oleh mahasiswa sendiri buat kali ke seterusnya semenjak 30 tahun yang lalu, (3) Penubuhan Kesatuan Pelajar (Students’ Union).

Dalam masa yang sama, (4) 5 Oktober setiap tahun kita tetapkan sebagai Hari Akademia, berdasarkan cadangan dari para akademik sendiri sebagai menghargai jasa para akademik kita di menara gading, (5) gerbang IPT dibuka seluas-luasnya untuk wacana, forum dan perdebatan ilmiah oleh mana-mana tokoh sarjana dan ahli politik.

(6) Peruntukan sebanyak RM455.35 juta bagi tujuan dana penyelidikan, iaitu peningkatan lebih 100 juta dari tahun sebelumnya, dan yang terakhir, (7) ialah mengangkat suara mahasiswa dengan penyertaan wakil mahasiswa di dalam proses membuat keputusan di universiti.

Kebebasan, integriti, keunggulan sesebuah universiti merupakan tunjang kepada keutuhan masyarakat. Apakah erti kertas-kertas jurnal penyelidikan yang kita terbitkan, ketika masyarakat masih dibelenggu dengan masalah sosial yang meruncing. Apakah makna gelaran profesor dan pingat kebesaran ketika rakyat masih tersepit dengan masalah ekonomi yang sangat rumit. Apakah nilai berada di ranking yang tinggi ketika siswa dan siswi di dalam kampus sendiri, perutnya berkeroncong kelaparan, dan masyarakat sekelilingnya pula bergelumang dengan kesengsaraan sebagai warga miskin kota.

Di sinilah ingin saya tekankan, KPM sedang menentukan kiblat universiti berubah ke arah menyelesaikan masalah masyarakat. Universiti mesti berupaya menjadi ejen sosial yang memandu wacana masyarakat. University is for the society.

Teras 7: Peningkatan Kerjasama Dalam Pendidikan Tinggi

Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk tujuan pendidikan, khususnya pendidikan tinggi. Untuk teras ketujuh ini yang melibatkan IPTS misalnya, kami telah menjalankan libat urus yang meluas dan telah merangka roadmap (pelan tindakan) khas IPTS.

Buat pertama kalinya, IPTS dijadikan sebagai rakan kongsi KPM di dalam merangka polisi-polisi berkaitan mereka. Dengan langkah ini, IPTS bukan lagi menjadi penerima polisi yang dikenakan ke atas mereka semata-mata, malah kini menjadi sebahagian daripada golongan yang merangka polisi tersebut.

Dalam masa yang sama, kami juga sedar tentang kewujudan IPTS-IPTS Bumiputera yang memerlukan bantuan kerana terpaksa bersaing secara handicap dengan IPTS-IPTS gergasi dan well-established di pasaran pendidikan. Oleh hal yang demikian, sesi libat urus telah kami mulakan dengan IPTS Bumiputera untuk melihat isu ini secara teliti.

Di samping itu, antara aspirasi yang kita akan perkasakan lagi ialah pengantarabangsaan pendidikan tinggi. Antara negara-negara yang telah dilibatkan secara mendalam ialah United Kingdom, Jepun, Jordan, Perancis, China, Maghribi, Indonesia, UAE, Qatar dan baru-baru ini, Brunei.

KPM juga dalam proses menandatangani lebih banyak MOU supaya kerjasama global dalam pendidikan tinggi dapat ditingkatkan. KPM juga mensasarkan visi menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan serantau dalam bentuk yang lebih agresif. Kita ingin menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi para pelajar pendidikan tinggi dari seluruh dunia.

Ya, saya sedar ada banyak kekangan dan isu yang perlu kami selesaikan, seperti terdapat red tapes dan kerenah birokrasi samada di dalam KPM sendiri mahupun dengan pihak imigresen. Bagi menangani isu ini, kami sedang memperkasakan Bahagian Education Malaysia (BEM) dan Education Malaysia Global Services (EMGS), serta sentiasa berkomunikasi dengan pihak imigresen.

Teras 8: Pendidikan Tenikal dan Latihan Vokasional (TVET)

Untuk TVET pula yang menjadi teras kelapan, KPM telah tubuhkan Jawatankuasa Pemerkasaan TVET pada 21 Jun 2018 yang lalu, bertujuan untuk memperkasa pendidikan dan hala tuju TVET.

Dan sehingga hari ini, buat pertama kalinya, kami telah berjaya melaksanakan Sistem Jaminan Kualiti Tunggal Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional iaitu laluan fleksibel  bagi artikulasi TVET sehingga ke tahap 6 dan 7.

Sistem ini juga merupakan sistem tunggal yang akan diguna pakai oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam mengakreditasi program TVET yang ditawarkan oleh institusi TVET awam dan swasta berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

Dalam masa yang sama, kerjasama yang erat antara Kolej Vokasional, Politeknik, Kolej Komuniti dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia dari segi sumber, peralatan, fasiliti, tenaga pengajar dan kepakaran sedang giat dijalankan.

Tidak dilupakan, sekarang juga kami sedang berusaha untuk menubuhkan Centre of Excellence (Pusat Kecemerlangan) setempat TVET di seluruh negara.

KPM komited untuk memperkasakan institusi TVET ini kerana kita semua tahu, masalah pengangguran ialah masalah yang sangat kritikal sekarang, dan institusi TVET ini akan menjadi salah satu pintu keluar daripada masalah ini.

Teras 9: Pemerkasaan Bahasa, Budaya dan Sastera

Teras terakhir iaitu teras kesembilan ialah pemerkasaan terhadap isu-isu bahasa, budaya, dan sastera. Hal ini sangat berkait rapat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Perbadanan Kota Buku; serta semua pihak yang terlibat dalam mencerdikkan akal budi bangsa melalui bahasa dan sastera.

Sehingga kini, kami telah menjalankan program Sasterawan di Universiti. Di mana para sasterawan ditempatkan di universiti-universiti. Program seumpama ini juga akan diperluaskan di politeknik-politeknik dan IPG-IPG seterusnya disemarakkan pula di sekolah-sekolah.

Ini bertujuan untuk mengangkat kembali tokoh Sasterawan Negara kita agar lebih visible di mata masyarakat.

Kami juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030. Untuk tujuan ini, kami jalankan Kempen Dekad Membaca Kebangsaan dengan lebih 36,000 kegiatan telah dirancang di seluruh negara.

Semalam sahaja, saya telah melancarkan suatu inisiatif yang baik daripada Institut Terjemahan & Buku Malaysia yang telah menjalankan kolaborasi dengan Pejabat Pos Malaysia bagi membuka sudut buku di semua cawangan Pejabat Pos di seluruh negara.

Buat masa ini, ingin saya maklumkan kepada semua, kami sedang dalam proses merangka Dasar Buku Negara dan Dasar Sastera Kebangsaan, dan menyemak semula Dasar Bahasa Kebangsaan bagi membolehkan kegiatan-kegiatan bahasa, budaya dan sastera di negara kita lebih meriah dan berkesan.

Nilai Tambah: Kementerian Bersih

Selain daripada sembilan teras yang menjadi tunjang setahun pencapaian Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah pentadbiran Pakatan Harapan ini, ada satu nilai tambah yang ingin saya utarakan dan perlu diberikan perhatian, iaitu kementerian bersih atau kementerian bebas korupsi.

Saya ingin pastikan KPM tidak lagi menjadi ruang untuk sesetengah pihak mengambil kesempatan untuk menjana keuntungan peribadi. Proses perolehan, tender, projek-projek, akan dijalankan dengan tatacara yang telus dan penuh dengan pengawasan.

Dalam masa yang sama, kami akan terus memastikan segala kes-kes jenayah rasuah dan korupsi terdahulu disiasat dengan adil dan segera, dan kami komited untuk memastikan tiada lagi kes-kes tersebut berulang. Saya tidak mahu agenda perubahan kita terbantut kerana barah yang sangat merbahaya ini.

Tekad ini selaras dengan hasrat KPM dan juga kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berintegriti dan bersih rasuah. Hal ini sangat terbukti apabila Januari lalu, Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018 menunjukkan Malaysia meningkat satu anak tangga di tangga 61 daripada 180 buah negara berbanding kedudukan ke-62 pada tahun 2017.

Terima kasih Warga KPM dan Rakyat Malaysia

Saya percaya, sembilan teras ini akan menjadi batu loncatan untuk kami terus bergerak dan bekerja. Amanat rakyat yang kami tanggung adalah nadi kekuatan kami.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih sebanyak-banyaknya kepada keluarga saya warga Kementerian Pendidikan Malaysia dan semua pihak kerana menumpahkan segenap usaha dan kegigihan bagi menjayakan agenda perubahan ini. Agenda pemerkasaan dan reformasi pendidikan ini ialah agenda bersama, agenda keluarga besar Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dan tidak sesekali dilupakan, adiwira sebenar kepada semua kejayaan ini, iaitu rakyat Malaysia keseluruhannya. Terima kasih kerana memulakan suatu langkah perubahan yang sangat penting, iaitu turun mengundi pada 9 Mei 2018 yang lalu. Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan.

Ernest Hemingway pernah menyebut, “Every man’s life ends the same way. It is only the details of how he lived and how he died that distinguish one man from another.”

Di sini saya ingin lampirkan sehelai surat yang diberikan kepada saya oleh seorang individu yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Rukiah;

Kepada warga KPM,

Sebagai seorang ibu, saya amat concern tentang pendidikan negara kita. Sejak kerajaan bertukar, harapan setiap orang pastinya tinggi. Kita melihat di mana-mana orang bercakap tentang pendidikan. Ramai yang mengambil berat. Bagi saya ini kejayaan yang pertama. Mengembalikan harapan rakyat.

Memang tak semua orang mampu bersabar. Kita cuma perlukan semalam untuk runtuhkan negara, tetapi kita perlukan bertahun lamanya untuk bina balik negara. Orang tak faham tentang itu. Orang tak faham yang Rom tak dibina dalam satu hari.

Anak-anak saya, setiap pagi mereka seronok pergi sekolah. Dua orang anak saya ni tahun 1 dan tahun 3. Sebab tak ada exam. Mindset mereka pun dah berubah. Pergi sekolah sebab nak belajar. Ada banyak games dan aktiviti katanya. Tak ada tekanan dan paksaan.

Saya berbual dengan cikgu-cikgu. Mereka rata-ratanya gembira. Mereka kata ini pertama kali menteri banyak address mereka dan mereka pun bebas bersuara. Cuma beban guru masih banyak tapi bila saya terangkan yang hujung tahun ni baru selesai semua, mereka pun faham.

Harapan saya buat semua anggota KPM, teruskanlah bekerja. Buat yang terbaik untuk negara. Usahalah bersungguh-sungguh. Anda semua bagi saya, wira negara. Doa saya bersama anda semua, sentiasa.

Daripada saya: Puan Rukiah, Seorang Ibu dan Seorang Rakyat Biasa.

Saya sentiasa berpesan kepada warga KPM, setiap usaha yang dicurahkan setiap hari mungkin kelihatan kecil, tetapi lihatlah bagaimana ia telah memberikan kesan yang sangat besar kepada anak-anak, guru-guru dan ibu bapa seperti Puan Rukiah ini.

Sekali lagi, terima kasih kepada warga KPM semua. Terima kasih kepada semua dan terima kasih kerana tidak putus asa dan terus memberikan yang terbaik untuk negara.

Khas kepada warga KPM semua, “I love You 3000!”

Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi

Sempena Hari Guru pada 16 Mei yang amat bermakna hari ini, saya merakamkan ucapan setulus penghargaan kepada semua guru di mana jua anda berada. Terima Kasih Cikgu atas segala jasa, bakti dan sumbangan yang diberikan.

Mewakili seluruh warga Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya para pendidik, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang disanjungi dan dikasihi kerana sudi hadir meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan dan seterusnya merasmikan majlis tersebut.

Sesungguhnya kehadiran YAB Perdana Menteri bersama-sama kami membuktikan keprihatinan, pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan terhadap peranan dan sumbangan guru dalam pembinaan negara yang kita cintai.

Pencapaian Yang Membanggakan

Saya berhasrat untuk meluahkan penghargaan yang sekian lama terbuku di hati saya buat guru yang telah memberikan impak yang sangat signifikan dan bermakna dalam sejarah profesion keguruan negara kita.

Kita sangat berbangga atas kejayaan guru di peringkat antarabangsa iaitu guru cemerlang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji, Cikgu K A Razhiyah Mohamed Khutty, yang telah menerima Anugerah Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019 di Persidangan Special Education Network and Inclusion Association (SENIA) di Hong Kong pada 24 Februari lalu. Beliau juga tersenarai antara 50 guru dunia dalam anugerah Hadiah Guru Global 2018 anjuran Yayasan Varkey, di London, United Kingdom (UK). Tahniah Cikgu K A Razhiyah!

Saya bagi pihak KPM juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu Dr. Muhamad Khairul Anuar bin Hussin, SMK Taman Universiti 2, Johor Bahru, Johor yang menjadi wakil tunggal negara tersenarai Top 40 finalists dalam Global Teacher Prize 2019. Beliau yang bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, antaranya telah menganjurkan program intervensi awal membabitkan kunjungan ke rumah keluarga OKU di beberapa daerah di Johor. Program itu adalah inisiatif beliau yang bertujuan memberi penerangan mengenai keperluan dan peluang pendidikan kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU. Tahniah Cikgu Dr. Muhamad Khairul Anuar. Semoga kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada semua guru lain.

Selain ibu bapa, golongan guru dianggap individu penting yang banyak membantu murid sehingga berjaya ke peringkat tertinggi. Di sebalik kejayaan murid dalam sesebuah pertandingan, tentu ada seseorang yang paling banyak berkorban segalanya dalam memastikan murid itu berjaya. Terima kasih kepada semua guru yang telah memberi sumbangan besar atas kemenjadian murid dalam;

Anugerah Top in the World dari Cambridge Assessment International Education yang telah diterima oleh pelajar sains dari Kolej Universiti KDU Pulau Pinang, Teh Yu Xuan kerana mendapat markah penuh dalam kertas matematik A-Level. Outstanding Cambridge Learner Awards adalah anugerah yang diperkenalkan oleh pihak Cambridge Assessment sejak tahun 2004 yang mengiktiraf pencapaian pelajar mengikut subjek.

Tahinah juga saya ucapkan kepada guru-guru dan warga sekolah Labuan International School yang telah terpilih mewakili Malaysia di World Robotic Olympiad di Chieng Mai pada November 2018.

Tidak dilupakan, kepada tiga pelajar SMK Kuala Besut yang telah mengharumkan nama Malaysia melalui projek persembahan mereka yang bertajuk ‘100 Perkara Mengenai Sains Nuklear dan Kehidupan (100 Things About Nuclear Science And Life)’. Siapa sangka sebuah perkampungan nelayan di Besut mampu melahirkan juara dunia dalam Pertandingan Pembangunan Sumber Manusia untuk Tenaga Nuklear yang diadakan di Gyeongju, Korea Selatan pada 30 Mei 2018.

Lebih istimewa, dua daripada tiga pelajar tersebut adalah anak kampung yang nekad mahu mencipta sejarah dunia dalam pertandingan itu. Terima kasih dan tahniah kepada Guru Penyelaras Projek ini, Cikgu Wan Zul Azri Wan Mohd. Shatar atas kejayaan tersebut.

Saya dan Pihak KPM sangat berbangga di atas kejayaan dan pencapaian yang diraih oleh mereka. Mereka merupakan contoh adiwira yang sentiasa sahaja mahu melakukan sesuatu lebih daripada kebiasaannya, seperti kata pepatah “ada biduk, serempu pula” atau sentiasa sahaja “angan-angan menerawang langit.”

Hang Tuah Berguru

Saya ingin memetik cebisan kisah epik sekali gus menyelusuri akar sejarah dan hikayat bangsa, kisah tentang Hang Tuah dan guru-gurunya.

Sekiranya kita membaca sebuah karya agung turun-temurun, iaitu Hikayat Hang Tuah, kita akan mengetahui kisah perjalanan Hang Tuah yang penuh dengan kehebatan dan tragedi, namun jarang kita mengenali bagaimanakah Hang Tuah menjadi seorang ‘Hang Tuah’. Dan mungkin kita juga tidak menyedari, betapa seorang Hang Tuah bukanlah siapa-siapa tanpa guru-gurunya.

Ilmu kepahlawanan hanya sebahagian daripada ilmu-ilmu yang Hang Tuah kuasai. Jika kita boleh pecahkan, ada tiga bidang ilmu yang Hang Tuah kuasai. Satunya, ilmu kepahlawanan. Dua, ilmu firasat; termasuklah ilmu sains dan strategi peperangan, dan yang ketiganya ialah ilmu agama.

Setiap daripada ilmu ini ada gurunya. Ilmu kepahlawanan, adalah ilmu yang paling awal Hang Tuah belajar daripada gurunya yang bernama Aria Putera, atau digelar orang sebagai Sheikh Wali Lanang. Sheikh Wali Lanang ini telah menitipkan nasihat yang sangat penting buat perjalanan hidup berguru Hang Tuah, beliau berpesan kepada Hang Tuah:

Hai cucuku Hang Tuah, aku ini tiga bersaudara, yang muda menjadi pegawai, Raden Aria Sina, di Majapahit. Yang tua itu duduk bertapa di Gunung Wirana Pura, namanya Sang Persanta Nala. Ada pun cucuku, kala datang umur dua puluh tiga tahun, engkau pergi ke Majapahit, jangan tiada engkau berguru padanya, kerana saudaraku itu banyak ilmunya daripadaku, kerana ia dari kecil bertapa. Tidak merasai dunia (tidak merasai hal-hal keduniaan).”

Atas nasihat inilah, Hang Tuah terus mengembara mencari Sang Persanta Nala. Hang Tuah pernah menceritakan tentang gurunya Sang Persanta Nala ini. Kata Hang Tuah;

Maka Laksamana dan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu pun diajar oleh Sang Persanta Nala akan ilmu segala penjurit (kepahlawanan) dan hulubalang, tetapi terlebih juga Laksamana, diajarnya pelbagai ilmu dan syarat hulubalang dan ilmu penjurit itu, kerana Laksamana, selama duduk di gunung itu, tiada ia tidur dan makan, dan tiada ia bercerai dengan Sang Persanta Nala itu, barang dipintanya oleh Laksamana diberinya oleh Sang Persanta Nala. Sang Persanta Nala pun terlalu suka dan kasih akan Laksamana.”

Melalui dua orang guru ini, Hang Tuah menjadi ‘Hang Tuah’ seperti yang kita kenali. Dan ini menggambarkan betapa berakarnya tradisi berguru dalam nuansa sejarah-budaya masyarakat kita.  Baik Sulalatus Salatin sehinggalah Hikayat Hang Tuah, elemen berguru itu sentiasa diangkat malah menjadi leluhur yang sangat penting.

Guru Dalam Pelbagai Tradisi

Sebutlah dari tradisi mana sekalipun, seorang guru tetap adiwira terulung nan disanjung senantiasa. Kita mengenal Confucius misalnya dalam tradisi Cina yang mempunyai ribuan murid malah menjadi seorang cendekiawan yang ulung sehingga hari ini.

Dan sebelum saya terlupa, perkataan gu-ru yang kita sebut hari ini juga sangat sinonim dalam tradisi falsafah Hindu kerana perkataan ini berasal dari bahasa Sanskrit. Gu bermaksud kegelapan dan Ru bermaksud yang menyelamatkan seseorang dari kegelapan. Disebabkan makna inilah, perkataan guru merujuk kepada insan yang mencerahkan, yang memberi cahaya, ilmu, petunjuk, teladan dan hikmah, malah seorang guru jugalah yang menabur makna dalam kehidupan kita semua.

Seorang penyair Arab, Asy-Syauqi pernah menuturkan suatu syair yang maha indah tentang guru. Kata Asy-Syauqi:

قُم لِلمُعَلِّمِ وَفِّهِ التَبْجِيْلًا … كادَ المُعَلِّمُ أَن يَكونَ رَسُوْلًا

“Bangunlah dan sambutlah seorang guru, lalu berikanlah penghormatan terhadapnya. Percayalah, hampir-hampir sahaja seorang guru itu menjadi seorang Rasul.”

Tinggi sekali darjat seorang guru sehingga bagi Asy-Syauqi, hampir-hampir sekali seorang guru itu menjadi seorang Rasul. Begitulah berharganya seorang guru di hati kita semua. Sesungguhnya, guru adalah nadi penggerak utama yang sentiasa berkorban tenaga dan masa hanya kerana mahu memastikan setiap daripada kita tidak mendewasa dengan kejahilan.

Beban Guru: Inisiatif Terkini

Sebagai Menteri Pendidikan, sehingga ke hari ini, saya sendiri mendapat beribu pandangan berkaitan masalah beban guru yang saya tahu isunya sangat meruncing. Awal tahun ini sahaja kita sudah memulakan inisiatif ini secara agresif dan kita akan gerakkan lagi supaya masalah ini selesai secara tuntas.

Oleh hal yang demikian, seperti semua sedia maklum bagi inisiatif jangka pendek, semasa Majlis Amanat Tahun Baharu 2019, saya telah mengumumkan lima (5) inisiatif untuk dilaksanakan seawal Januari 2019 yang berkuatkuasa serta-merta.

KPM berharap, dengan adanya inisiatif baharu ini sedikit sebanyak dapat meringankan tugas-tugas guru. Antara inisiatif yang telah diumumkan melibatkan penambahbaikan pengurusan fail, pelaporan dan dokumentasi; penambahbaikan proses pengurusan data dan sistem online, autonomi pelaksanaan linus dan pentaksiran tahap 1, penyeragaman borang dan proses pemantauan serta penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah.

Bagi inisiatif jangka sederhana yang dilaksanakan bermula seawal Januari 2019 sehingga ke akhir tahun, ada beberapa isu yang akan ditangani, antaranya:

  1. Bagi mengurangkan isu beban tugas guru berkaitan pelaksanaan SKPMg2 di mana guru perlu membuat semakan berkala terhadap tugas mereka dan menyediakan dokumen atau eviden berkaitan tugas tersebut, Jemaah Nazir telah memperkenalkan beberapa tindakan untuk menangani isu ini;
  2. Pelaksanaan Audit SKPMg2 oleh pihak Jemaah Nazir telah diberhentikan dan sekolah hanya perlu melaksana audit kendiri bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan masing-masing.
  3. Fasa semakan dan penilaian kendiri dibuka dua kali setahun iaitu pada bulan Januari hingga Mac (Fasa 1) dan Ogos hingga November (Fasa 2) berbanding tiga (3) kali sebelum ini. Sistem Online sentiasa dibuka untuk dikemaskini dan pemantauan oleh PGB.
  4. Bagi isu pengawasan peperiksaan pada waktu cuti sekolah, bermula tahun 2019, pengawasan peperiksaan SPM dilaksanakan secara dua fasa iaitu pada bulan Oktober dan November iaitu semasa waktu persekolahan.
  5. Bagi analisis Peperiksaan Awam, Lembaga Peperiksaan juga telah mengambil inisiatif dengan menyediakan analisis peperiksaan awam yang dijana secara automatik untuk memudahkan sekolah mendapatkan maklumat tentang prestasi mata pelajaran dan sekolah.
  6. Bagi mengatasi isu beban tugas berkaitan guru mengisi pelbagai maklumat kesihatan murid iaitu mata, berat dan tinggi murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) telah membina sistem Rekod Kesihatan Murid secara dalam talian (e-RKM). Dalam sistem ini, guru tidak lagi mengisi data profil murid dan waris kerana data tersebut dapat diperoleh daripada Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).
  7. Bagi isu kesukaran pelaksanaan Ujian Aptitud Tahun 3 di sekolah yang tiada guru Bimbingan dan Kaunseling, pentaksiran tersebut telah dimansuhkan melalui Surat Siaran KPM Bil. 14 Tahun 2018, selaras dengan pemansuhan pentaksiran murid Tahap 1.
  8. Bagi memenuhi keperluan penggantian guru yang bercuti, cuti bersalin dan cuti sakit melebihi 28 hari, sebanyak RM35.2 juta peruntukan guru ganti telah disalurkan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri agar sekolah boleh menggunakan khidmat guru ganti. Dari semasa ke semasa Kementerian akan terus memohon peruntukan yang mencukupi untuk tujuan tersebut.
  9. Bagi inisiatif jangka panjang pula yang selewat-lewatnya akan dilaksanakan hujung tahun ini, beberapa inisiatif telah dirangka termasuklah mengatasi masalah guru terpaksa keluar atas beberapa faktor sehingga menyebabkan mereka sukar memberikan penumpuan dalam bilik darjah.

Selain daripada itu, Kementerian juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif jangka panjang yang melibatkan isu yang lebih kompleks dan memerlukan kajian semula dasar dan peraturan sedia ada, penambahbaikan infrastruktur dan infrastruktur ICT, dan pengoptimaan perjawatan dan pengisian sumber manusia di sekolah.

KPM berharap melalui pelaksanaan inisiatif yang melibatkan pengoptimaan perjawatan dan pengisian sumber manusia di sekolah nanti, ianya dapat memastikan sekolah dapat berfungsi secara maksimum serta agihan guru yang seimbang supaya tidak berlaku kekurangan dan lebihan guru di sesebuah sekolah.

Dalam masa yang sama, kita juga sangat prihatin terhadap kebajikan guru ketika membawa murid keluar daripada sekolah. Oleh hal yang demikian, SOP keselamatan guru juga telah siap disemak dan digubal secara menyeluruh, antara inisiatif yang akan diberikan ialah Perlindungan Insurans Guru yang akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan.

Saya bersama-sama pengurusan tertinggi KPM sekali lagi merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Pulau Pinang, 16 Mei semalam.

Saya menyeru kepada semua pihak berkepentingan agar terus memberi sokongan dan bantuan kepada pihak guru dan sekolah sama ada daripada segi pandangan, kemahiran dan sebagainya untuk melonjakkan prestasi pendidikan anak-anak kita.

Teruslah memberi komitmen jitu demi memartabatkan sistem pendidikan negara agar menjadi sistem yang terunggul di dunia. Semoga kerjasama erat dan padu serta sokongan dari semua stakeholders akan meningkatkan taraf pendidikan negara untuk kejayaan generasi masa hadapan dan kemajuan negara kita.

Sesungguhnya program Majlis Sambutan Hari Guru dan Festival Guru 2019 yang buat julung-julung kalinya paling terbesar kita anjurkan tahun ini mencerminkan kesepakatan dan komitmen KPM dalam meraikan peranan dan sumbangan para guru yang menjadi tulang belakang dalam mendidik anak bangsa bermula di peringkat prasekolah dan rendah hingga lepasan menengah.

Akhir sekali, saya lampirkan semula puisi ‘Obor Hemah’ karya A. Samad Said bagi sama-sama menghayati kedalaman makna tema hari guru kita pada tahun ini yang diinspirasikan dari puisi ini.

Guru adalah awan indah terbang rendah, 
melimpahkan hujan pada musim gersang, 
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah; 
ia renjis embun pada tanah bakat, 
suara ihsan ketika manusia kalah, 
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru – atap ganti ketika pondok bocor, 
ketika sejarah dalam bilik darjah, 
senyum penyembuh bagi wabak sengsara, 
ia – sungai rangsang sentiasa tenang, 
menghantar bahtera ke segara dharma, 
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun, 
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah, 
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia, 
ia mengemudi biduk, melepaskannya, 
atas lambungan laut, merangsangkan 
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru – minda segar dan kukuh akar, 
menghidupkan batin yang bersih 
di daerah dunia cemar kasih, 
dan pada ketika tak tersangkakan, 
walau diambilnya kembali semua buku, 
sempat ditinggalkan asas ilmu.

Guru adalah batin suci hati nurani, 
penjunjung budi, manusia yang takwa, 
obor hemah kehidupan bangsa.


A. SAMAD SAID, 2 APRIL 1988

Selamat Hari Guru. Terima kasih cikgu.

Dr. Maszlee Malik adalah mantan Menteri Pendidikan Malaysia, Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan.

Hakcipta Terpelihara © Dr. Maszlee Malik.

Laman web oleh Grocern.