Dr. Maszlee Malik
Mantan Menteri Pendidikan Malaysia | Pengerusi IAIS

Mengembalikan Cinta Dalam Pendidikan

“Kita mencintai kehidupan, bukan kerana kita sudah terbiasa untuk meneruskan kehidupan, tetapi kerana kita sudah terbiasa untuk terus mencintai.” – Friedrich Nietzsche

Saya sentiasa percaya bahawa guru-guru ialah adiwira yang paling agung di seluruh cakerawala. Kerja mereka mereka bukan hanya pergi sekolah dan pulang petangnya, tetapi kerja mereka ialah memanusiakan manusia. Bertanyalah kepada sesiapapun; kita mungkin tidak menjadi siapa yang kita jadi pada hari ini tanpa kehadiran walau cuma seorang guru dalam hidup kita.

Baik dari perkara-perkara yang besar sehinggalah perkara-perkara yang kecil, pendidikan mesti tidak lari dari nadinya yang asli dan murni, iaitu cinta. Pendidikan ialah soal membangunkan insan dengan cinta. Tanpa cinta, tiada pendidikan. Tanpa cinta, tiada kemanusiaan. Eleanor Roosevelt pernah berkata: perihal memberi cinta itu sendiri ialah pendidikan.

Kita harus bersama-sama bekerja keras untuk menjadikan sekolah dan universiti ialah tempat menanam cinta, bukan kebencian. Saban hari kita menerima pelbagai laporan berkaitan kes buli di sekolah. Di peringkat kementerian, kita akan tanganinya secara serius. Justeru, saya menyeru kepada semua pihak usah segan dan takut untuk tampil ke hadapan dan laporkan kes buli ini agar ia tidak berulang lagi.

Kesannya sangat bahaya. Kita tidak mahu anak-anak merasa takut ke sekolah. Kita tidak mahu mereka melihat sekolah sebagai musuh. Di samping pelbagai kempen kesedaran dari pelbagai pihak untuk sama-sama menangani isu buli ini, saya juga menyeru ibu bapa untuk sama-sama membantu. Perkara sebegini perlu ditangani secara kolektif dan bersama.

Pedagogi Cinta

Sekali lagi, saya ingin menekankan hala tuju utama pendidikan kita, iaitu pendidikan berteraskan nilai. Di antara banyak nilai, kita mahu menjadikan tiga nilai sebagai fokus utama; cinta atau kasih-sayang, kegembiraan atau kebahagiaan, dan saling menghormati antara satu sama lain.

Kerana itulah misalnya kita kurangkan beban guru sedikit demi sedikit agar masa bersemuka (facetime) guru dan murid lebih banyak. Dan di situlah kita mahu wujudnya interaksi yang baik, yang berorientasikan murid dan pembangunan karakter mereka. Di situlah wujudnya cinta.

Saya tahu, mendidik bukanlah kerja yang mudah, tetapi hakikat kerja ini sangat murni. Ada tuaian akhirat yang sedang tumbuh sekiranya kita ikhlas dan jujur. Resepinya sudah tentu, kesabaran dan usaha yang berterusan.

Saya juga percaya, cinta harus mendorong ilmu dan kebenaran. Ianya mesti diterjemahkan ke dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran seharian. Dengan cintalah kita memahami bahawa setiap insan mempunyai citra potensinya yang tersendiri, dan tugas seorang pendidik ialah menggilapnya, mendorongnya, dan membimbingnya dengan telus dan murni.

“Anak anak kita bakal datang

tangkas dan berilmu

dan kita dalam sejarah

bakal syahdu dan bangga

kerana awan yang indah

lapis pelangi lebih mesra

wajah diri dan inti peribadi kita

tunjang bagi kehidupan

dan kemerdekaan bangsa

yang sentiasa sedia belajar mengerti dan tekun

hidup bersama.”

– A. Samad Said, Hidup Bersama

Leave a Reply

Dr. Maszlee Malik adalah mantan Menteri Pendidikan Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan.

Hakcipta Terpelihara © Dr. Maszlee Malik.

Laman web oleh Grocern.