Dr. Maszlee Malik
Mantan Menteri Pendidikan Malaysia | Pengerusi IAIS

Hari Akademia 2021: Memugarkan Budaya Dialektika Dunia Akademia

Terma dialektika (dialectic) kerap disalahertikan dan dipandang sinis di dunia Muslim kerana sering dikaitkan dengan dialektika materialisme ala-Marx dan Engel. Ianya disikapi sebagai tunjang asas kepada kepercayaan materialisme, dan penolakan terhadap ghaibiyat serta mauduk melampaui hukum fizik. Hakikatnya, ketika Hegel muncul dengan teori dialektikanya, beliau lebih merujuk kepada proses perkembangan ilmu berdasarkan hukum tabi’i dan keserasiannya dengan rasional.

Dialektika adalah proses pergelutan antara tesis dengan antitesis di mana penghujungnya akan menghasilkan sintesis, dan ianya berterusan seumpama lingkaran (spiral) yang sentiasa membuahkan tesis, antitesis dan sintesis seterusnya. Maka, begitu juga halnya terhasilnya ilmu, pengetahuan, hukum-hakam sains, dan segala macam penemuan dan rekacipta yang akhirnya memudahkan (dan ada juga yang turut memusnahkan) kehidupan manusia. Pendek kata, proses dialektika amat penting untuk pecapahan dan perkembangan ilmu.

Sedari zaman Greek lagi, kita telah dipersembahkan dengan proses dialektika falsafah dan ilmu lewat bicara Socrates, Plato dan Aristotle. Pada zaman keemasan dunia Islam pula, pelbagai proses dialektika ilmu hasil dari ‘jidal’ (debat) di antara para ilmuwan, sama ada ketika sama-sama mereka hidup, mahupun antara ilmuwan yang masih hidup terhadap mereka yang datang sebelumnya, akhirnya menatijahkan banyak penemuan-penemuan dan ilmu-ilmu baharu yang menjadi tonggak asas pelbagai disiplin ilmu moden.

Proses dialektika tidak akan berlaku tanpa pemikiran yang kritikal, proses pengamatan analitikal dan juga proses penilaian ilmu yang objektif bersandarkan metod yang saintifik dan rasional. Inilah resepi kekal malar segarnya ilmu-ilmu falsafah dan metodologi kajian saintifik yang menjadi dasar kepada semua penemuan-penemuan baharu dan perkembangan ilmu pengetahuan moden.

Proses dialektika tidak akan subur dengan budaya jadong, budaya enggeh (Bahasa Jawa bermaksud menurut perintah), budaya bodek, budaya pasif, budaya ‘mediocrity’ (cukup makan) dan juga budaya keselesaan (atau malas). Sebaliknya, ia akan sentiasa pugar jika pemikiran kritis, budaya debat, sikap analitikal, sikap tidak berpuashati dengan menerima sahaja, budaya kecemerlangan dan juga semangat pencarian (inquisitive spirit or mindset) sentiasa menjadi gaya hidup atau sikap para ilmuwan.

Sikap para ilmuwan atau ahli akademik yang tidak berpuashati dengan apa yang ada, dan inginkan yang ideal itulah yang akan menjadikan budaya dialektika terus subur di dalam ranah pendidikan dan sumur keilmuwan. Inilah yang diperlukan di parlak keilmuwan, iaitu menara gading dan institusi pengajian tinggi, ataupun dalam bahasa ilmiahnya, ‘dunia akademik’.

Jika pada thaun 60-an, berlaku perdebatan hangat antara dua ilmuwan Inggeris, C.P Snow dan F.R Leavis tentang pertentangan antara bidang sastera (arts) dan sains yang telah menyaksikan Rede Lecture di Cambridge sebagai medan untuk Snow menjulang bidang sains di dunia akademia, manakala Richmond Lecture di Oxford pula oleh Leavis untuk mematahkan hujah Snow. Perdebatan dan hujah-hujah mereka menjadi perdebatan umum dan topik bualan ahli akademik. Di dunia Perancis pula perdebatan antara Albert Camus dan sahabatnya Jean-Paul Sartre mengenai keutamaan dan kepentingan kebebasan individu dan peranan intelektual, yang manakah lebih utama serta pelbagai isu lain yang mewarnai perbincangan ahli akademik di Perancis pada waktu yang sama. Manakala mutakhir pula, perdebatan antara Stephen Jay Gould dan Richard Dakwins juga tidak kurang hebatnya.

Dunia akademik melampaui sekadar mengejar KPI, mengejar ranking dan juga budaya ‘kow tow’ pihak berkuasa untuk kedudukan dan imbuhan. Ia harus penuh dengan budaya dialektika ilmu. Ia perlu subur dan segar dengan perdebatan umum yang akan membuahkan solusi untuk masalah negara, masalah masyarakat dan masalah sejagat. Dunia akademia perlu rancak dengan perdebatan umum dan percambahan minda jika kita ingin institusi pengajian tinggi kita benar-benar menjadi otak dan jiwa kepada masyarakat.

Walau bagaimanapun, kesemuanya harus bermula dengan konsep autonomi universiti, bebasnya universiti dari agenda politik kepartian dan budaya minda tertawan (captive mentality). Dunia akademia wajib berdiri atas kakinya sendiri dan mempunyai perimeter kemandirian tanpa tunduk kepada agenda politik kepartian mahupun agenda syarikat-syarikat pemodal mahupun individu berkepentingan. Maka, di situlah letaknya kemegahan dan nilai tinggi dunia akademia dan ahli akademik.

Tahun ini warga akademia Malaysia menyambut ‘Hari Akademia Kebangsaan’ buat tahun ketiga semenjak perisytiharannya pada 5 Oktober 2019. Hari Akademia itu berinspirasikan Hari Guru Sedunia UNESCO yang kebiasaannya disambut oleh kesatuan-kesatuan akademik pada masa lalu terutamanya di UIAM. Tahun ini KPT menyambutnya dengan tema ‘Akademia Diperkasa, Digitalisasi Dibudaya’ berdasarkan keadaan semasa akibat wabak COVID-19. 

Tidak kiralah apapun suasananya, warga akademia yang merupakan otak dan jiwa kepada nusa harus menyuburkan budaya dialektika. Pembelajaran atas talian, pembelajaran digital dan banyak lagi pendekatan terkini tidak boleh disikapi sebagai ‘ends’ ataupun matlamat, tetapi hanya sebagai ‘means’ (wahana) ataupun ‘tools’ (alat) untuk meneruskan ruh akademia itu sendiri. Universiti sebagai pusat menghasilkan para intelektual yang berperanan untuk menyelesaikan masalah sebenar masyarakat dan memandu serta memacu halatuju negara perlu sentiasa dipugarkan peranannya.

Bersempena RMK12 yang telah dibentangkan di Parlimen, saya telah membawa agenda reformasi pengajian tinggi yang mesti diteruskan oleh kerajaan demi mengangkat wibawa pendidikan tinggi negara:Antara perkara yang telah diutarakan termasuk penubuhan semula Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) yang termaktub dalam Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (Akta 546); Lembaga Pengurusan (LPU) Universiti Awam juga hendaklah bebas daripada lantikan politik dan dihadkan hanya kepada dua penggal sahaja bagi setiap lantikan; penubuhan ‘Jawatankuasa Integriti Penyelidikan Kebangsaan’ seperti yang pernah dicadangkan oleh Majlis Sains Negara (2017); pindaan Akta 605 untuk menjamin kebebasan akademik dan menjaga integriti ahli akademik; pemansuhan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (Akta 30) dan digantikan dengan undang-undang yang lebih komprehensif bersekali dengan akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555); penerusan usaha penubuhan Kesatuan Pelajar di semua IPT dan pemerkasaan IPTS di seluruh negara berdasarkan ‘road map’ IPTS 2020-2025.

Harapan saya agar dengan segala usaha reformasi ini, wibawa pendidikan tinggi negara akan diangkat, dan tahap ahli akademik kita akan lebih dihormati sama ada di dalam mahupun di luar negara. Ini perlu dimulakan segera agar Malaysia tidak berterusan ketinggalan dalam arena pendidikan tinggi sepertimana yang telah kita saksikan semenjak 18 bulan yang lalu. 

Apapun usaha reformasi kita untuk pengajian tinggi, ia harus dimulakan dengan kelestarian berterusan budaya dialektika akademia yang sewajarnya dihayati oleh semua ahli akademik.

Leave a Reply

Dr. Maszlee Malik adalah mantan Menteri Pendidikan Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan.

Hakcipta Terpelihara © Dr. Maszlee Malik.

Laman web oleh Grocern.