Dr. Maszlee Malik
Mantan Menteri Pendidikan Malaysia | Pengerusi IAIS

Merdeka, Perpaduan Dan Pendidikan

Awal bulan lepas, saya telah membentang rumusan dapatan daripada Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara tentang syor mereka untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Banyak kali mesyuarat dan bengkel saya adakan bersama mereka. Kami melihat secara menyeluruh sistem yang ada, dari bangku pra-sekolah sehinggalah ke Institut Pendidikan Tinggi. Baik perkara-perkara kecil sehinggalah perkara-perkara besar.

Mereka telah membentang dapatan mereka. Siri-siri indikasi, bengkel, sedang dijalankan lagi dan lagi di peringkat Kementerian Pendidikan untuk memastikan perlaksanaannya berjalan lancar.

Perubahan memerlukan masa dan ruang. Saya sendiri memang ingin benar melihat perubahan berlaku dalam sekelip mata. Jika boleh, esok saya mahu bangun dan lihat anak-anak ke sekolah dengan ceria, guru-guru seronok mengajar dan tidak terbeban, malah sekolah menjadi tempat yang paling menyeronokkan.

Tetapi semua itu tidak mudah berlaku. Rom tidak dibina dalam satu malam. Semuanya tertakluk dengan sains perubahan. Sumber manusia perlu lengkap, kepakaran perlu kukuh, implementasi perlu mendarat dengan selamat dan sempurna, agar tidak berlaku yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Sementara hal itu berlaku, banyaklah liku-liku perjalanan yang terpaksa saya dan pasukan harung. Semak belukarnya sangat mencabar.

Dalam masa yang sama, saya menerima segala kritikan dari semua. Semasa kita sedang mengumpul pandangan pun, terdapat lebih 50 ribu pandangan yang kita terima dan tapis lalu kelompokkan ikut kesesuaian. Kita indikasikan, prioritikan, dan jalankan kajian awal sehinggalah ia membentuk sebuah dasar yang perlu diubah agar jangka hayatnya panjang dan berkesan.

Merdeka dan Perpaduan

Apakah itu Merdeka? Soalan ini sentiasa terngiang-giang di ranah ingatan saya. Setiap orang ada jawapannya yang tersendiri. Jawapan yang terkambus dalam pengalaman peribadi. Ia bukan hanya sekadar 7 kali laungan Merdeka dari Tunku Abdul Rahman. Ia lebih dari turunnya bendera Union Jack dan naikknya Jalur Gemilang malam 31 Ogos 1957.

Pada saya, Merdeka ialah soal perjuangan. Soal hak, soal keadilan, dan paling penting, soal perpaduan dan cintakan negara. Jika ditanya apa itu Merdeka, apa itu Hari Kebangsaan, inilah intinya. Merdeka harus menumbuhkan rasa cintakan negara, dan dari situlah kita boleh mengetepikan segala perbezaan dan bersatu demi membangunkan negara tercinta.

Kerana saya percaya, Merdeka ialah sejarah yang sangat bermakna. Merdeka menjadi bukti bahawa perpaduan itu telah wujud dan hasilnya, kita telah membina Malaysia yang kita kenali pada hari ini.

Perpaduan Sebagai Tema Utama

Terdapat enam tema utama yang menjadi tonggak dalam sistem pendidikan yang sedang digubal. Pendidikan Awal, Kurikulum, Profesionalisme Keguruan, Kualiti IPT, Perpaduan dan Model Baharu Pendidikan.

Di ruang ini, sempena dengan bulan Kemerdekaan tahun ini, saya ingin kongsikan tentang tema kelima, iaitu tema perpaduan.

Saya yakin, semua orang percaya bahawa perpaduan ialah tonggak pembangunan negara. Malah untuk memastikan negara kita terus membangun, perpaduan akan menjadi satu elemen yang sangat ditekankan dalam sistem pendidikan baru yang sedang digubal.

Pihak Kementerian bercadang mewujudkan Suruhanjaya Bebas (Royal Commission of Inquiry) untuk mengkaji dan memberi cadangan dalam menyelesaikan isu polarisasi di dalam sistem pendidikan di negara ini.

Kita mahu memastikan sekolah bukan tempat toksik yang menyemarakkan isu perkauman. Kita tidak boleh membiarkan daki-daki pengkhianatan bermaharajalela di sekolah. Sebaliknya, sekolah perlu menjadi tempat kanak-kanak mengenali satu sama lain. Mereka hormat segala jenis perbezaan, dan cuba berkawan dengan rakan dari pelbagai bangsa dan budaya.

Elemen perpaduan ini kita akan tekankan terutama sekali dalam subjek Sejarah, subjek-subjek bahasa, termasuklah dalam subjek Pendidikan Islam dan dalam manual-manual pendidikan sivik yang kita laksanakan.

Anak-anak kita harus tahu bahawa rukun penubuhan negara ini ialah perpaduan. Anak-anak kita harus belajar bahawa kita wujud sebagai manusia yang berbilang bangsa, dan menjadi tanggungjawab kita untuk mengasihi dan menghormati setiap orang walaupun mereka berbeza.

Dan anak-anak kita harus sedar bahawa paling-paling kurang, ada satu persamaan antara kita dan mereka, iaitu kita sama-sama cintakan negara. Dan apabila Hari Kebangsaan menjelma lagi, kita sama-sama rasai maknanya.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan buat semua, khususnya warga pendidik, warga KPM dan semua rakyat Malaysia yang saya cintai.

Leave a Reply

Dr. Maszlee Malik adalah mantan Menteri Pendidikan Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan.

Hakcipta Terpelihara © Dr. Maszlee Malik.

Laman web oleh Grocern.