Dr. Maszlee Malik
Mantan Menteri Pendidikan Malaysia | Pengerusi IAIS

Author: Dr. Maszlee

Kejayaan Pakatan Harapan Sekarang Bergantung Kepada Kesepakatan Segera Yang Lebih Kukuh Antara Tun Dr Mahathir dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Sudah tiba masanya untuk saya terbitkan tulisan ini.

Saya yakin, semua orang tahu dan sedar tentang pergelutan dalaman Pakatan Harapan berkaitan janji peralihan kuasa. Ia telah menjadi bualan terbuka dan sekaligus ia telah merosakkan imej Pakatan Harapan.

Kesannya besar, ia mewujudkan defisit kepercayaan oleh rakyat kerana percayalah, rakyat secara majoritinya mahu melihat pemimpin yang mengutamakan negara dari cita-cita peribadi mereka. Rakyat mahukan pemimpin yang terus fokus bekerja dan berkhidmat untuk negara dan rakyat. Itu sahaja.

Mahu tidak mahu, dua tokoh besar Pakatan Harapan iaitu Tun Dr Mahathir dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu segera mencari cara untuk memperbaharui gandingan mantap mereka dengan melupakan segala kemelut masa lalu.

Kedua-dua tokoh ini tidak asing dalam landskap politik Malaysia. Kedua-duanya mempunyai kekuatan masing-masing. Sekarang, hayat Pakatan Harapan sangat bergantung kepada kedua-dua tokoh ini. Jika tidak, Pakatan Harapan akan terus menjadi pembangkang sampai bila-bila.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempunyai reputasi tersendiri kerana telah berjaya menggabungkan blok pakatan bukan Barisan Nasional sejak zaman Reformasi 1999 lagi.

Bermula dengan Pilihan Raya Umum 1999 di bawah jenama Barisan Alternatif yang secara rasminya diketuai oleh Dato’ Haji Fadzil Noor, Presiden PAS selaku Ketua Pembangkang, yang telah memenangi kerusi Pendang pada waktu itu.

Kemudiannya pada Pilihan Raya Umum 2004 di bawah jenama Barisan Alternatif juga yang secara rasminya diketuai oleh Haji Hadi Awang, Presiden PAS selaku Ketua Pembangkang, walaupun beliau sendiri tewas di Marang.

Diikuti Pilihan Raya Umum 2008 di bawah jenama Pakatan Rakyat (PR) yang secara rasminya diketuai oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah, selaku Ketua Pembangkang, yang telah memenangi kerusi Permatang Pauh.

Diteruskan juga pada Pilihan Raya Umum 2013 yang diketuai oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri, yang telah memenangi kerusi yang sama, iaitu Permatang Pauh.

Namun pada Pilihan Raya Umum 2018, kita telah menyaksikan buat pertama kalinya blok pakatan bukan Barisan Nasional berjaya mengambil alih kerajaan.

Pakatan Harapan dengan gabungan parti Amanah, Bersatu, DAP, PKR dan Warisan yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir secara asasnya memenangi 122 kerusi. 

122 kerusi tersebut terdiri daripada 98 kerusi di Semenanjung, 14 di Sabah dan 10 di Sarawak.

Atas kapasiti peribadi Tun Dr Mahathir dan pengaruh Datuk Seri Shafie Apdal, 8 kerusi Warisan berjaya digabungkan bersama 3 DAP dan 3 PKR dari Sabah. 

Pakatan Harapan mendapat imbuhan lagi 2 kerusi, setelah 2 Ahli Parlimen Bebas dari Sarawak memilih untuk bergabung dengan PH, iaitu Jugah Muyang yang menang 3 penjuru di Lubuk Antu mengalahkan calon BN dan PKR, serta Larry Sang yang memecahkahkan rekod 19 tahun tanpa kalah penyandang kerusi Julau sejak 1999, Joseph Salang Gandum, yang juga seorang bekas timbalan menteri pusat. 

Yang jelas, walaupun tanpa 8 kerusi dari Warisan, kekuatan asas PH yang berada di tahap 114 tetap masih cukup untuk membentuk kerajaan.

Namun perlu diingat, penerimaan dan kesediaan Warisan untuk bersama PH adalah faktor Tun Dr Mahathir. Tanpa Tun Dr Mahathir, tidak ada jaminan bahawa 8 kerusi tersebut boleh dituntut sebagai kerusi PH.

Untuk 98 kerusi yang dimenangi oleh PH di Semenanjung pula, 13 daripadanya ialah sumbangan dari Bersatu. 

Secara kesimpulannya, tanpa Tun dan Bersatu, kerusi yang dimenangi adalah 85. Dalam kata lain, kerusi Semenanjung yang menjadi kekuatan blok Dato’ Seri Anwar Ibrahim ialah 85.

Namun, mari kita nilai semula kekuatan kerusi Semenanjung pada 2008, 2013, 2018 dan 2020.

Untuk rekod, Pakatan Rakyat (PR) memenangi 82 kerusi pada PRU 2008. Ia terdiri daripada 80 kerusi Semanjung dan 1 kerusi DAP dari Sabah dan Sarawak. 

Dari segi undian yang diraih, jumlah undi popular untuk PR di Semenanjung ialah 3.5 juta. Kekuatannya bersamaan dengan 50%. 

Untuk PRU 2013 pula, PR meraih lonjakan 1.5 juta tambahan undi di Semenanjung, menjadikan jumlah undian ialah 5 juta yang bersamaan dengan 53%. 

PR memenangi 89 kerusi, dengan 9 daripadanya datang dari Sabah dan Sarawak. 

Kesimpulan yang boleh dibuat ialah kerusi yang dimenangi di Semenanjung ialah 80. Jumlah kerusi ini lebih kurang sama tahap pencapaiannya dengan PRU 2008, walaupun dengan tambahan lonjakan undi 1.5 juta, ia tidak menyumbang kepada pertambahan kerusi.

Berbalik kepada 85 kerusi blok Anwar pada PRU14, perlu diingat, PKR menghadapi krisis perpecahan dalaman dimana 7 Ahli Parlimen PKR telah keluar, menjadikan kerusi blok Anwar cuma di tahap 78 kerusi.

Jumlah ini berada di bawah tahap 80 kerusi yang dicapai pada PRU 2008 dan PRU 2013. 

Jumlah undi yang dibawa bersama 78 kerusi ini adalah sekitar 4 juta yang bersamaan dengan 38%. Jika dibanding dengan undi popular 53% pada PRU 2013, tahap sokongan undi popular telah merosot sebanyak 15%.

Kita perlu faham, dalam sistem politik Malaysia ala Westminster , percaturan bilangan kerusi adalah kriteria utama. Untuk membentuk Kerajaan, ia perlu melepasi nombor ajaib iaitu 112, daripada keseluruhan kerusi iaitu 222.

Satu perkara yang sering dilupakan dalam congak politik Malaysia ialah percaturan blok kerusi Borneo (Sabah dan Sarawak) yang berjumlah 57 kesemuanya. 

Mana-mana blok tidak akan mampu membentuk kerajaan tanpa kerusi dari Sabah dan Sarawak. Mana-mana blok yang dominan di Semenanjung secara automatik akan mempunyai kelebihan untuk berunding dengan blok Borneo.

Faktor utama kenapa BN belum pernah dikalahkan adalah kerana faktor dominasi mereka di Semenanjung. Dari 165 kerusi Semenanjung, ianya sentiasa didominasi oleh BN, sehinggalah nasib mereka pada PRU14.

Dari perspektif blok bukan BN, mereka perlu memecahkan angka psikologi 95, ini adalah simbolik kepada nombor ajaib, ‘tipping point’ dari Semenanjung. 

Berbekalkan 95, tambahan 17 kerusi dari Borneo, cukup untuk mereka melepasi nombor ajaib 112.  

PRU 2018 menyaksikan perkara ini betul-betul berlaku. PH memenangi 98 kerusi, sekaligus melepasi nombor ajaib untuk Semenanjung. Sementara PKR dan DAP memenangi 16 kerusi dari Borneo. 

Tanpa kerusi Warisan, blok PH sudah melepasi rintangan 112. Ditambah dengan sumbangan kerusi Warisan dan Bebas, maka terjadilah satu fenomena yang disebut sebagai ‘the perfect storm’.

Persoalannya, adakah fenomena ini akan terus berulang pada PRU15 nanti?

Harus diimbas kembali, kekuatan maksimum Semenanjung blok Dato’ Seri Anwar Ibrahim ialah 80, dan kini sudah berkurang kepada 78 tanpa blok Dato’ Seri Azmin Ali.

Yang pasti, untuk mengambil alih kerajaan pusat, dan menjadi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan beliau mampu meraih sekurang-kurangnya 95 kerusi dari Semenanjung sebagai bekalan untuk dibawa berunding dengan blok Borneo. 

Di samping itu, beliau perlu membuktikan kepada rakyat bahawa beliau mempunyai aura yang lebih hebat daripada Tun Dr Mahathir, dengan mampu menjinakkan Warisan, dan jangan lupa dengan PBB, GPS dan TYT Sarawak yang mempunyai citarasa dan maharnya sendiri untuk dibawa berunding.

Sehingga hari ini, manusia yang paling mampu menjinakkan ketiga-tiga kategori ini ialah Tun Dr Mahathir. Beliau telah membuktikannya sebelum ini, dan beliau yang terlihat paling ‘credible’ untuk melakukannya.

Persoalannya, dengan ketidaktentuan dan tanpa aura Tun Dr Mahathir, mampukah Dato’ Seri Anwar Ibrahim memimpin Pakatan Harapan dan menang lagi pada PRU15 nanti?

Sanggupkah rakyat mempertaruhkan lagi harapan, ataupun sekali lagi berdepan dengan kegagalan sepertimana PRU 1999, PRU 2004, PRU 2008 dan PRU 2013?

Atau adakah rakyat sudah bersedia untuk menerima hakikat bahawa masa depan terbaik politik blok bukan BN harus diterajui oleh orang lain, atau generasi muda?

Jika semua pilihan ini tidak diambil kira, bersedialah kita untuk menjadi penonton kepada kerajaan korupsi-kleptokrasi UMNO-BN terus bermaharajalela lagi.

Saya menyorot semua ini kerana ramalan politik ialah berdasarkan trend dan corak yang terbentuk melalui sejarah. Fakta sejarah tidak menipu kita.

Harapan saya sebagai Ahli Parlimen dan sebagai orang sentiasa berharap untuk negara ini terus ditadbir dengan baik ialah agar kedua-dua tokoh ini harus segera mencari formula demi membentuk gandingan yang lebih mantap dan lebih kukuh dari sebelum ini.

Saya merayu dan menyeru semua pihak untuk mengutamakan kepentingan negara berbanding cita-cita peribadi. Ia bukan tentang siapa PM, tetapi ia tentang negara yang kita cintai ini. Ia tentang aspirasi rakyat terbanyak.

Kejayaan dan pencapaian kita selama ini ialah penat lelah semua pihak; rakyat, penjawat awam, MP-MP samada backbenchers dan Menteri-menteri. Dan segala penat lelah ini akhirnya harus pulang kepada rakyat. Rakyatlah yang menikmati hasilnya.

Sanggupkah kita mengetepikan ini semua hanya untuk memenangkan cita-cita satu pihak?

Sekiranya perdebatan tentang siapa PM ini terus menjadi bualan terbuka dan tidak ditamatkan, PH akan terlihat mempunyai krisis dalaman yang tak sudah, momentum akan terus hilang dan akhirnya, kita telah membiarkan negara ini terus ditadbir oleh Kerajaan yang korup dan rosak.

Sudah sampai masanya untuk kita tamatkan sandiwara ini, mencari titik pertemuan segera untuk terus berganding bahu dan kembali mentadbir negara. 

Negara perlukan Tun Dr Mahathir.

Negara juga perlukan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Kata Albert Einstein, “Insanity is doing the same thing over and over again and expecting different results”. 

YB Dr Maszlee Malik

Ahli Parlimen Simpang Renggam

Ahli MPT Bersatu

Give Me One Reason Why Zahid Hamidi and Najib Razak Would Want to give Tan Sri Muhyiddin Yassin the Chance to Become Prime Minister Again?

On 5 June 2020, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, a member of the UMNO Supreme Council, made a clear and sharp statement.

UMNO has rejected Perikatan Nasional’s (PN) registration as a formal body. He said that Bersatu is the sole faction trying to ‘formalise’ the establishment of PN as this is the only way for Bersatu to survive.

This is not the first time UMNO leaders have expressed such a stand. Tok Mat of Negeri Sembilan, Nur Jazlan, Ku Nan and other UMNO Supreme Council members have voiced out similar opinions.

In short, UMNO does not need Bersatu. It is Bersatu that needs UMNO.

Also on the same day, UMNO and PAS held discussions at the UMNO headquarters to prepare for the 15th General Election (GE15).

This discussion only involved UMNO and PAS, but not Bersatu. So why is it that Bersatu was not invited to the discussion table?

To understand how complicated and isolated Bersatu’s position is, allow me to offer a simple example to analyse the strength and power of UMNO and PAS.

For example, in Semenanjung, UMNO had contested 105 seats and had won 46 seats.

UMNO’s strength ratio is 46 out of 105, which is equivalent to 43.8%.

PAS had contested 144 seats and won 18 seats. The PAS’s strength ratio is 18 out of 114, which is equivalent to 12.5%.

Bersatu had contested 52 seats and won 13 seats. The strength ratio of Bersatu is 13 out of 52, which is equivalent to 25%.

Now, the important question here is, through the Perikatan Nasional collaboration, just how many seats does PAS have to sacrifice to give way to UMNO and Bersatu in order to prevent a 3-cornered fight?

And let’s not forget PAS’s history – how in the negotiations on the distribution of seats in Pakatan Rakyat, PAS had fielded its own candidates in DUN Kota Damansara and DUN Sungai Aceh which had resulted in a 3-cornered fight that had compromised Pakatan Rakyat’s victory then.

In the 14th General Election (GE14), there were 3-cornered fights in 46 seats between Bersatu, UMNO and PAS. Bersatu only won 10 seats, UMNO won 30 seats, and PAS won 6 seats.

It is almost impossible for PAS and UMNO to simply hand over the 36 seats that they had won to Bersatu.

It is quite doubtful that Bersatu would have the capacity to even retain the existing 10-seat dichotomy.

During GE14, Bersatu had contested against MIC, MCA or Gerakan in 4 seats. Tg Piai’s by-election had proven that MCA is capable of recapturing a Bersatu seat. Do you think in GE15, Gerakan and MCA would be all too willing to give way to Bersatu?

There were 2 other seats, Kota Tinggi and Pengerang, which had seen a 1-to-1 contest between Bersatu and UMNO. As the President of Bersatu and a Johorean, can Tan Sri Muhyiddin Yassin negotiate with UMNO for UMNO to give way to Bersatu in Kota Tinggi and Pengerang without any objection?

Constituencies with generally non-Malay voters that are held by Bersatu would no longer be allocated to Bersatu because the victory attained under the PH coalition was due to DAP’s support.

Under PN, the chances of winning in constituencies like these are very slim. In fact, these constituencies will be monopolised by MCA and MIC. The constituencies in question are Tapah, Tanjung Piai, Alor Gajah and Simpang Renggam.

As for the east coast, for example, Bersatu can just close shop because there is no reason for Bersatu to even contest there.

Of the 16 seats out of 34 seats in Kelantan, Terengganu and Pahang which Bersatu had contested, all were lost. Bersatu had merely garnered 101,488 votes out of 884,773 votes; which means that Bersatu’s popular vote on the east coast only stands at 11.5%.

I am laying out this simple scenario for Bersatu members and grassroots to easily grasp the reality and understand – that by hanging onto PN’s arms, Bersatu is in for a difficult and gruelling journey ahead.

That is, if UMNO and PAS agree to formally establish PN.

My concern is that those who are crying out their support may have only been doing so in vain; because it is a fact that even till today, UMNO has yet to make any statement to confirm that UMNO would be contesting in GE15 under the banner of PN.

I have also written on how Bersatu will be marginalised very unfairly. No UMNO leader has objected to this or issued a statement defending Bersatu and none has said that UMNO is willing to share seats with Bersatu.

Even so, Bersatu will no longer be a dominant party under PN (if it is established).

UMNO is the dominant party and of course the Prime Minister candidate will no longer be Tan Sri Muhyiddin Yassin, rather it will be someone from UMNO. Undoubtedly, the candidates would be in the likes of Najib Razak or Zahid Hamidi.

UMNO currently has 39 seats while Bersatu has only 12 seats (if you don’t minus the 5 seats which allegedly have lost their party membership) including the 14 MPs who had jumped to Bersatu from UMNO.

Will these 14 UMNO MPs who had jumped to Bersatu now return to UMNO and contest their seats on an UMNO ticket, not Bersatu; as they had previously won their seats under the UMNO ticket?

The PN Menteri Besar posts are also no longer dominated by Bersatu following the change of state governments in Johor, Melaka, and Kedah.

In simple terms, the Bersatu leadership had sacrificed these states merely to support one individual. This had never happened in PH!

In Perak, for example, the exco lineup is now dominated by UMNO, with 6 UMNO state exco members out of the total 11.

Whenever I meet and discuss with Bersatu grassroot members, this is exactly what I have presented and will continue to present. Come, give me the formula for Bersatu to remain dominant if Bersatu stays with PN as what is being trumpeted all this while.

Just give me one reason why Zahid Hamidi and Najib Razak would want to give Tan Sri Muhyiddin Yassin the chance to become Prime Minister again?

YB Dr Maszlee Malik
MPT Member, Bersatu

Adakah UMNO Akan Memberikan Peluang Untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin Menjadi Perdana Menteri Lagi Pada PRU15 Nanti?

Semalam, 5 Jun 2020, YB Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, ahli Majlis Tertinggi UMNO telah mengeluarkan kenyataan yang pedas dan jelas.

UMNO menolak pendaftaran Perikatan Nasional (PN) sebagai badan formal. Kata beliau, Bersatu sahaja yang sedang berusaha untuk ‘formalise’ penubuhan PN kerana ianya merupakan satu-satunya jalan survival Bersatu.

Ini bukan kali pertama pimpinan UMNO menyatakan pendirian sedemikian. Tok Mat Negeri Sembilan, Nur Jazlan, Ku Nan dan lain-lain MT UMNO juga telah menyatakan pendapat yang sedemikian.

Pendek kata, UMNO tidak perlukan Bersatu. Bersatu yang perlukan UMNO.

Semalam juga, UMNO dan PAS telah mengadakan perbincangan di ibu pejabat UMNO untuk bersedia menghadapi PRU 15.

Perbincangan itu hanya melibatkan UMNO dan PAS, tidak Bersatu. Mengapa Bersatu tidak diajak bersama?

Untuk memahamkan bagaimana rumit dan tersisihnya kedudukan Bersatu, saya berikan analisa contoh yang mudah tentang kekuatan UMNO dan PAS.

Kita ambil contoh di Semenanjung, UMNO bertanding 105 kerusi dan menang sebanyak 46 kerusi.

Nisbah kekuatan UMNO ialah 46 daripada 105, bersamaan dengan 43.8%.

PAS pula bertanding 144 kerusi dan menang 18 kerusi. Nisbah kekuatan PAS ialah 18 daripada 114, bersamaan dengan 12.5%.

Bersatu bertanding 52 kerusi dan menang 13 kerusi. Nisbah kekuatan Bersatu ialah 13 daripada 52, bersamaan dengan 25%.

Persoalan yang penting di sini, melalui kerjasama Perikatan Nasional, berapa banyakkah kerusi yang PAS sanggup korbankan untuk memberi laluan kepada UMNO dan Bersatu untuk mengelakkan berlakunya pertembungan 3 penjuru?

Jangan dilupa sejarah PAS di dalam rundingan pembahagian kerusi semasa di dalam Pakatan Rakyat, PAS telah meletakkan calon di DUN Kota Damansara dan Sg Aceh sehingga berlakunya pertandingan 3 penjuru yang menjejaskan kemenangan Pakatan Rakyat ketika itu.

Pada PRU 14, telah berlaku pertandingan 3 penjuru di 46 kerusi antara Bersatu, UMNO dan PAS. Bersatu hanya menang 10 kerusi, UMNO menang 30 kerusi dan PAS pula menang 6 kerusi.

Adalah hampir mustahil untuk PAS dan UMNO sedekahkan 36 kerusi yang telah dimenangi mereka kepada Bersatu.

Malah untuk mengekalkan dikotomi 10 kerusi yang sedia ada itupun adalah suatu yang amat meragukan.

Semasa PRU 14 yang lalu, sebanyak 4 kerusi Bersatu bertanding melawan MIC, MCA atau Gerakan. PRK Tg Piai membuktikan MCA mampu merampas semula kerusi Bersatu dan adakah pada PRU 15, Gerakan dan MCA sanggup memberikan laluan kepada Bersatu?

Terdapat 2 kerusi lagi, Kota Tinggi dan Pengerang, telah berlaku pertandingan 1 lawan 1 antara Bersatu dan UMNO. Selaku Presiden Bersatu dan orang Johor, adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat berunding agar UMNO memberikan laluan kepada Bersatu bertanding di Kota Tinggi dan Pengerang tanpa tentangan?

Di kawasan yang rata-rata pengundinya bukan Melayu yang telah disandang Bersatu sebelum ini, tidak lagi akan diberikan kepada Bersatu kerana kemenangan di bawah PH sebelum ini ialah hasil dari sokongan DAP.

Peluang untuk menang di kawasan seperti ini di bawah PN sangat- sangat tipis. Kawasan-kawasan sebegini akan dibolot oleh MCA dan MIC. Kawasan tersebut adalah Tapah, Tanjung Piai, Alor Gajah dan Simpang Renggam.

Di pantai timur pula sebagai contoh, Bersatu boleh tutup kedai kerana tidak ada sebab Bersatu perlu bertanding di sana.

16 kerusi daripada 34 kerusi yang ditandingi Bersatu di Kelantan, Terengganu dan Pahang, semua kerusi Bersatu kalah dengan mendapat undi hanya 101,488 dari 884,773 jumlah undi, menjadikan undi popular Bersatu di pantai timur hanya 11.5%.

Saya memberikan senario yang mudah sebegini untuk memahamkan ahli dan akar umbi, bergayut di atas dahan PN adalah jalan yang sukar dan payah.

Itupun jika PN setuju ditubuhkan oleh UMNO dan PAS.

Saya gusar yang berteriak menyokong akhirnya hanya seronok sendiri, kerana hakikatnya sampai hari ini, tidak ada sebarang kenyataan pun dari UMNO yang mengesahkan untuk bertanding di PRU15 menerusi PN.

Saya juga telah menulis bagaimana Bersatu akan dipinggirkan dengan sangat tidak adil. Tidak ada pimpinan UMNO yang membantah atau mengeluarkan kenyataan mempertahankan Bersatu apalagi bersedia untuk berkongsi kerusi dengan Bersatu.

Malah Bersatu juga tidak akan lagi menjadi parti dominan di bawah PN (sekiranya ia ditubuhkan).

UMNO ialah parti dominan dan sudah tentulah calon Perdana Menteri bukan lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi daripada UMNO. Calonnya sudah tentu Najib Razak atau Zahid Hamidi.

UMNO sekarang mempunyai 39 kerusi sementara Bersatu hanya memiliki 12 kerusi (jika tidak ditolak 5 kerusi yang kononnya telah terhenti keahlian mereka) termasuk 14 MP yang lompat ke Bersatu dari UMNO.

Adakah 14 MP UMNO yang lompat ke Bersatu akan kembali semula kepada UMNO dan bertanding mempertahankan kerusi mereka atas tiket UMNO bukan Bersatu kerana mereka sebelum ini menang atas tiket UMNO?

Menteri Besar PN juga bukan lagi didominasi dari Bersatu berikutan bertukarnya kerajaan negeri di Johor, Melaka, Kedah.

Dalam bahsa mudah, pimpinan Bersatu sekarang telah menggadaikan negeri-negeri tersebut demi sokongan politik kepada seorang individu. Ini tidak pernah berlaku di zaman PH!

Di Perak sebagai contoh, barisan exco didominasi oleh UMNO seramai 6 orang daripada keseluruhan 11 Exco Perak.

Setiap kali saya bertemu dan berbincang dengan ahli-ahli dari akar umbi, inilah yang akan saya bentangkan. Berikan kepada saya formula untuk Bersatu kekal dominan jika bersama PN seperti yang diuar-uarkan?

Berikan saya satu sahaja sebab kenapa Zahid Hamidi dan Najib Razak mahu memberikan peluang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi calon Perdana Menteri sekali lagi?

YB Dr Maszlee Malik
Ahli MPT Bersatu

Etched in History: A Cloudy Day for Democracy in Malaysia

Today, May 18, 2020, the First Meeting of the Third Session of the Fourteenth Parliament was held for one day.

On this important day, I would like to record another chapter in history so that our grandchildren will never forget it as they revisit the accounts of our nation’s democracy.

Last Friday, after the Speaker of the Dewan Rakyat issued a Media Statement announcing the AMENDMENT of the Meeting Orders, I had sent a letter of appeal requesting the return to the original Meeting Order to accept the motion from YB Langkawi.

In the letter I had also requested for clarification on the Standing Orders used because there appeared to be a clear and obvious contradictions.

The Speaker of the Dewan Rakyat said that the amendments to the Meeting Orders are in accordance with Standing Order 11(2) and Standing Order 15(2).

I referred to these Orders and discovered that it does not speak of the right to amend the Meeting Order by the Leader of the House, the Prime Minister.

Standing Order 11(2) states as such:

“(2) Subject to the provisions of paragraph (1), the Leader or Deputy of the House shall determine at least 28 days before the commencement of each Session, the dates on which the House shall meet in the Session:

Provided that the Leader or Deputy Leader of the House may vary from time to time the dates so fixed. ”

There is no mention at all about changing the Meeting Orders, it is only mentioned that “may vary from time to time the dates so fixed.”

Rule 15 (2) further states:

“(2) Government business shall be set down in such order as the Government thinks fit and communicate to the Secretary.”

This clearly indicated that any business out of the regular order only applies to “government business”. The motion brought forth by Opposition MPs is not included in “government business”.

In the event that the Government really wants the Meeting Orders to be amended, Standing Order 14(2) authorises a motion by a Minister to do so.

However, this does not mean any other agendas can be denied, so long as the Session’s duration permits it.

I also stated that if the YDP again withdraws the move to limit the Session, this would be remembered in the country’s democratic history as a transparent gesture which upholds our parliamentary democratic system.

If not, it will be remembered as the dark point in the nation’s history of democracy when the Standing Orders were easily violated and compromised for personal gain.

Last Saturday, I received a reply letter from the YDP of Dewan Rakyat in which my plea was rejected; however it did not answer the issue I had raised on the Standing Orders.

I am aware this is just a small effort on my part as a Member of the Dewan Rakyat, but I am satisfied that at least I have tried my best to do something in accordance with the law.

Today, the Parliamentary sitting took place as scheduled. Yet, history will remember May 18 as the day democracy was clouded in our nation.

For those who wish to refer to the Standing Orders of the Dewan Rakyat, please click here:

https://www.parlimen.gov.my/images/webuser/peraturan_mesyuarat/PMDR-eng.pdf

I enclose here a copy of my letter to the Speaker of the Dewan Rakyat for the benefit of all.

YB Dr Maszlee Malik
Member of Parliament Simpang Renggam

Secebis Kisah di Hari Guru

Setiap kali Hari Guru tiba, pasti ada rasa sedih dan sayu menyelubungi hati saya.

Saya sudah ceritakan banyak kisah waktu kecil saya, bersama dengan guru-guru yang banyak memberikan kesan dalam hidup saya.

Tetapi jarang sebenarnya saya bercerita momen saya ketika menjadi Menteri.

Masa mula-mula masuk ke pejabat dulu, saya isi hari-hari pertama saya dengan pergi ke sekolah.

Mulanya pihak Kementerian minta maklum mereka dahulu kerana sudah menjadi lumrah, pengurusan tertinggi akan ikut bersama.

Tapi bila saya sampai sahaja ke sekolah, penuh orang menunggu. Cikgu-cikgu memakai baju batik, berbaris menyambut saya. Ada cikgu yang kena masak sebab nak kena bagi saya makan.

Ada juga cikgu yang ditugaskan itu dan ini. Mereka tahu sangat saya jenis suka masuk ke kelas, jadi cikgu-cikgu kena pastikan kelas diperhias semolek mungkin.

Sejak itu saya sudah tahu. Cikgu-cikgu tentu banyak menghabiskan masa untuk menyambut tetamu ‘VIP’ macam saya.

Selepas itu, kebanyakan masa, saya sudah tidak lagi memaklumkan perancangan saya jika saya mahu ke sekolah, kecuali memang saya dijemput untuk merasmikan mana-mana program.

Saya akan hadir secara mengejut sahaja.

Saya suka tiba-tiba muncul di bilik guru dan tengok cikgu sedang menyemak kerja rumah murid-murid.

Ada juga cikgu yang sedang mengisi buku kerja. Masa itu saya tahu apakah yang dimaksudkan kerja-kerja perkeranian yang membebankan para guru.

Balik pejabat, saya terus minta pegawai bentukkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada cikgu-cikgu untuk kurangkan beban guru.

Hasrat saya waktu itu nak hapuskan semua beban guru.

Tapi mereka nasihat saya, proses ini mengambil masa yang lama kerana ekosistem pentadbiran di sekolah kita masih tidak bersedia.

Syukur Alhamdulillah, sebelum saya letak jawatan, sekurang-kurangnya 60% beban guru telah diringankan. 

Jika ikutkan perancangan tahunan, sekurang-kurangnya hujung tahun ini 80% beban guru akan diringankan.

Pagi 2 Januari itu, saya pergi ke sekolah, selain nak sambut anak-anak masuk sekolah sebenarnya nak jumpa cikgu-cikgu.

Semasa saya duduk-duduk dengan mereka, saya beritahu saya minta maaf. Mereka pelik kenapa saya minta maaf, sehinggalah petang itu setelah mereka mendapat berita saya telah meletakkan jawatan.

Ada sekali itu saya turun ke sekolah pedalaman di Sarawak dan sedang tengok cikgu-cikgu sedang berborak di kantin. 

Saya sertai mereka. Mereka terkejut dan terkedu. Saya tanya mereka, jika mereka jadi menteri, apa yang mereka nak buat?

Ada seorang cikgu beritahu saya, masalah yang dia nak selesaikan hanyalah masalah cikgu duka lara.

Saya tanya mereka bagaimana nak selesaikan masalah yang paling rumit dari semua masalah di dunia ini?

Walaupun masalah ini rumit, ia tidak semestinya tidak boleh diselesaikan. Paling-paling pun, kita boleh mudahkan apa yang boleh dimudahkan.

Saya pulang ke pejabat dan beritahu pegawai, kita perlu penuhkan semaksimum mungkin kuota pertukaran guru. Cari sebab untuk benarkan mereka pindah berbanding sebab untuk halang mereka pindah.

Ikut perancangannya, tahun ini akan dilancarkan satu aplikasi untuk cikgu-cikgu mohon tukar suka sama suka. Sebenarnya proposalnya sudah lengkap, yang tinggal hanya tindakan dan pelancaran sahaja.

Saya tidak pasti status perancangan itu bagaimana sekarang.

Yang pasti, walaupun ada banyak keadaan di mana usaha-usaha ini terpaksa melalui liku-liku prosedur dan sebagainya, saya tetap mahu ia dapat dilaksanakan sebab tujuannya cumalah satu, iaitu guru-guru.

Saya pastikan, apa-apa sahaja perubahan ia mesti berpusatkan kepada guru-guru. Guru-guru mesti menjadi tonggak dan teras dalam setiap tindakan dan perancangan.

Semasa nak bentuk Jawatankuasa Kajian Dasar untuk rangka reformasi besar-besaran sistem pendidikan negara pun, ramai cikgu dan pelajar yang dipanggil.

Dan laporan yang mereka berikan, syor-syor yang mereka suarakan, sangat-sangat memuaskan hati. Mana tidaknya, guru dan pelajar duduk berbengkel berhari-hari untuk sama-sama tambah baik pendidikan negara.

Walaupun syor-syor ini tidak sempat dilaksanakan, ia akan menjadi satu naskhah dan proposal yang sangat penting dan bersejarah. Saya simpan dan dokumentasikan baik-baik.

Begitulah sedikit coretan saya bersama guru-guru.

Jika nak cerita semua, memang tak habis.

Terima kasih cikgu-cikgu semua, yang pernah saya jumpa juga yang tak pernah saya jumpa, terima kasih kerana menjadi kekuatan saya di hari-hari yang saya sangat perlukannya.

Terima kasih kerana dalam setiap lelah dan keluh, cikgu-cikgu tak pernah berputus asa. Tetap cekal dan tabah untuk bangun setiap hari dan pergi sekolah mendidik anak bangsa.

Terima kasih atas segala-galanya.

Memahat Sejarah: Hari Yang Mendung Buat Demokrasi

Hari ini, 18 Mei 2020, telah berlangsungnya Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 selama satu hari.

Di hari yang penting ini, saya ingin memahat satu lagi babak sejarah agar tak lupa oleh anak cucu kita tatkala mereka menyelak semula sejarah kesuaman demokrasi negara kita.

Jumaat lalu, setelah Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengeluarkan Kenyataan Media bertarikh 13 Mei 2020 yang mengumumkan PINDAAN Urusan Majlis Mesyuarat, saya telah menghantar sepucuk surat rayuan agar Usul daripada YB Langkawi yang diterima sebelum ini kekal diterima untuk dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat pada hari ini.

Di dalam surat itu juga saya menyatakan pandangan bahawa terdapat kekhilafan yang jelas dan nyata apabila Tan Sri Yang di-Pertua Dewan Rakyat merujuk kepada Peraturan-peratuan Mesyuarat yang langsung tidak berkaitan dalam Kenyataan Media beliau pada 13 Mei 2020.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat memaklumkan bahawa pindaan Urusan Majlis Mesyuarat dibuat kerana menuruti makluman Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis berdasarkan Peraturan 11(2) dan Peraturan 15(2).

Saya merujuk kepada Peraturan-peraturan ini dan saya dapati, ianya tidak menyebut tentang hak meminda atau menetapkan Aturan Urusan Mesyuarat oleh Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri.

Peraturan 11(2) menyebutkan begini:

“(2) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat perenggan (1), Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam Penggal itu:

Tetapi disyaratkan iaitu Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.”

Tidak disebutkan langsung perihal mengubah Aturan Urusan Mesyuarat, yang disebutkan hanyalah “boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.”

Peraturan 15(2) pula menyebutkan:

“(2) Urusan Kerajaan hendaklah diaturkan mengikut sebagaimana yang baik pada timbangan Kerajaan dan diberitahu kepada Setiausaha.”

Jelas dituliskan yang boleh diatur mengikut timbangan Kerajaan hanyalah “Urusan Kerajaan”. 

Usul yang dibawa oleh YB Ahli Parlimen Langkawi tidak termasuk di dalam “Urusan Kerajaan”. Ianya adalah usul persendirian.

Peraturan 14. (1) jelas menetapkan bahawa “urusan-urusan bagi tiap-tiap persidangan mesyuarat hendaklah mengikut aturan seperti di bawah ini kecuali jika Majlis Mesyuarat menetapkan aturan lain…”

Ini bermakna hanya Majlis Mesyuarat sahaja yang berkuasa untuk menetapkan aturan selain daripada apa yang jelas termaktub dalam Peraturan 14 (1).

Andainya, pihak Kerajaan sangat-sangat ingin Aturan Urusan Mesyuarat dipinda kedudukannya, Peraturan 14 (2) yang membenarkan satu usul daripada Menteri untuk berbuat demikian. 

Namun, usul ini pun tidaklah sampai boleh menafikan agenda-agenda lain dilangsungkan selama mana waktu mesyuarat mengizinkan. 

Saya juga menyatakan, sekiranya YDP menarik semula tindakan menghadkan Urusan Mesyuarat, ia akan dikenang dalam sejarah demokrasi negara sebagai tindakan yang telus dan menjunjung demokrasi berparlimen kita.

Sabtu lalu, saya telah menerima sepucuk surat balas daripada YDP Dewan Rakyat. Permohonan rayuan saya ditolak namun surat ini tidak menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan tentang Peraturan-peraturan Mesyuarat.

Saya sedar, ini hanyalah usaha kecil saya sebagai Ahli Dewan Rakyat, namun saya puas kerana sekurang-kurangnya, saya telah melakukan sesuatu yang termampu, mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Hari ini, persidangan telah pun berlangsung seperti yang telah ditetapkan. Namun, sejarah akan memahatkan 18 Mei sebagai tarikh mendung demokrasi negara kita.

Kepada mereka yang ingin merujuk Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, boleh klik di sini: 

https://www.parlimen.gov.my/images/webuser/peraturan_mesyuarat/PMDR-bm.pdf

Saya kepilkan di sini salinan surat saya kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk manfaat semua.

YB Dr Maszlee Malik

Ahli Parlimen Simpang Renggam

Apa Sudah Jadi Dengan Tujuan Asal BERSATU Yang Ditubuhkan Untuk Menggantikan UMNO?

Pepatah Cina ada mengatakan: “Sebuah gunung tidak boleh ada dua ekor harimau.” (一山不容二虎)

Bersatu memasuki gelanggang pertarungan politik pada PRU14 (2018) dengan menggalas amanah sebagai parti komponen Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di 52 kerusi di Semenanjung dengan menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Secara umumnya, Bersatu diberi tanggungjawab untuk bertanding di kerusi UMNO, selari dengan asas kewujudan dan penubuhan asalnya (raison d’etre) sebagai sebuah parti pribumi Melayu, juga sebagai alternatif, saingan dan mengambil tempat UMNO yang telah rosak dalam landskap baru politik negara.

Kecuali Tapah yang telah menjadi kerusi tradisi MIC, Tg. Piai (MCA) dan Simpang Renggam (Gerakan), semua 49 kerusi lain adalah di kerusi majoriti melayu dan kerusi tradisi UMNO atau PAS.

Dari 52 kerusi yang ditandingi, Bersatu berjaya memenangi 13 kerusi, bersamaan dengan 25% kadar kejayaan parti. 

Dari segi undi, jumlah undi keseluruhan yang telah berjaya diraih oleh kesemua 52 calon Bersatu adalah 718,648, bersamaan dengan 28% dari Jumlah Keluar Mengundi di semua kawasan berkenaan iaitu sebanyak 2,573,505.

Siapakah sebenarnya pengundi Bersatu?

Sebagai sebuah parti baru, jenama baru dan (menumpang jenama, bendera dan platform rakan-rakan) malah pertama kali pula memasuki medan pilihanraya tanpa ada ‘track record’ asas pengundi, adalah penting untuk kita tinjau profil pengundi tipikal Bersatu.

Untuk tujuan ini, kita gunapakai sampel dari 13 kerusi yang dimenangi oleh Bersatu. 

Keseluruhannya, ia melibatkan pengundi seramai 760,925 dengan demografi etnik 74.0% Melayu, 21.3% Cina dan 5.2% India dan Lain-lain. 

Jumlah Keluar Mengundi ialah 625,199 (bersamaan dengan 82%). 

Bermaksud, daripada 100 orang melayu, 37 orang telah mengundi Bersatu.

Daripada 100 orang Cina, 83 orang mengundi Bersatu.

Dan daripada 100 orang India, 58 orang mengundi Bersatu.

Jumlah undi yang telah diraih oleh 13 calon Bersatu pula sebanyak 301,681 (bersamaan dengan 48.2% dari Jumlah Keluar Mengundi).

Bermaksud, setiap 100 pengundi Bersatu, 57 daripadanya adalah Melayu, 37 daripadanya adalah Cina dan 6 daripadanya adalah India dan lain-lain.

Jika kita tinjau secara lebih mendalam, kita boleh mengenali profil pengundi berdasarkan parti yang pernah mereka undi dahulu. Itulah sumber daripada datangnya pengundi Bersatu.

Undi yang sekian banyak yang diperolehi oleh Bersatu datangnya dari 3 sumber penting, iaitu pengundi asal Pakatan Rakyat (tidak termasuk pengundi tegar PAS), selebihnya ialah pengundi UMNO-BN yang telah mengubah keputusan mereka untuk melihat masa depan negara yang lebih baik.

Pada PRU13 yang lalu, semua (kecuali beberapa yang mengundi Berjasa atau Bebas) pengundi yang menolak BN (dan UMNO), secara logiknya mengundi Pakatan Rakyat. 

Harus kita ingat, pada PRU13, PAS bersama dalam koalisi PR, jadi pada PRU14, pengundi tegar PAS akan tetap mengundi PAS pada PRU14. Logiknya, dengan pertarungan tiga penjuru, sejumlah undi PR telah dilarikan kepada PAS.

Kesimpulannya, daripada 100 pengundi Bersatu, 54 daripadanya adalah asas pengundi PR yang sedia ada dan 7 daripadanya adalah pengundi pertama kali, selebihnya 39 orang adalah pengundi UMNO-BN (Majoritinya adalah pengundi melayu UMNO, dengan pengecualian seperti di Simpang Renggam, Tg. Piai dan Alor Gajah).

Nisbah ini menunjukkan bahawa 35% pengundi Bersatu pada PRU14 yang lalu asalnya ialah pengundi BN pada PRU13.

Selebihnya, 54 pengundi ialah pengundi asas penyokong PR, cuma 30 daripadanya adalah melayu, dengan kemungkinan besar mereka ini sudah mempunyai pilihan parti sendiri sebelum wujudnya Bersatu, dan akan kekal dengan parti tersebut, dalam apa jua keadaan.

Cabaran sebenar Bersatu adalah bagaimana mengekalkan 39 orang bekas pengundi BN tersebut. Dari situlah Bersatu harus membina asas dan membiak.

Walau bagaimanapun, ia sangat bergantung kepada ‘mood’ pengundi. Bersatu pula parti yang baru, kewujudan Bersatu pada asasnya adalah untuk menjadi pengganti kepada UMNO dengan menawarkan budaya politik Melayu yang lebih telus dan bersih.

Kita boleh mencongak ‘mood’ pengundi ini melalui pemerhatian dari PRK di Semenyih dan Tg. Piai.

Semenyih dan Tg. Piai adalah dua contoh tipikal kerusi tradisi BN (UMNO di Semenyih, MCA di Tg. Piai) yang dirampas oleh Bersatu pada PRU14.

Seperti yang disebutkan di atas, kerusi tersebut dimenangi atas faktor 35% dari pengundi asal BN PRU13 beralih angin dan mengundi Bersatu.

Namun, terbukti pada pilihanraya kecil ini, BN berjaya merampas kembali kedua-dua kerusi tersebut dan menyaksikan Bersatu kalah teruk atas pelbagai sebab. 

Sebab yang paling utama adalah kerana pengundi asal UMNO-BN telah kembali mengundi parti asal mereka.  Bersatu cuma mengharapkan ehsan pengundi PR sedia ada.

Ringkasnya, Bersatu yang awalnya ditubuhkan sebagai parti alternatif kepada UMNO telah gagal bertahan dan tidak mampu menyaingi UMNO-BN di kubu tradisi mereka. 

Bersatu wujud (dan menang) kerana UMNO mengalami krisis defisit kepercayaan orang melayu. Sekiranya UMNO bangkit balik, dan pengundi UMNO-BN mula berpatah balik kepada parti tradisi mereka, Bersatu akan bermasalah besar.

Masalah ini lagi jelas terlihat melalui kegagalan Bersatu untuk menambahkan keahlian dan cawangan mereka selepas memenangi PRU14. 

Di Semenyih, Bersatu hanya mempunyai satu cawangan, manakala di Tg. Piai, Bersatu hanya mempunyai 5 cawangan berbanding dengan UMNO. 

Bagaimanakah mungkin Bersatu sebagai sebuah parti Melayu dapat bertahan tanpa keahlian di peringkat akar umbi? 

Seperkara yang perlu diakui, mana-mana parti Melayu yang ingin kekal hendaklah mempunyai keahlian di peringkat akar umbi yang ramai. Asas politik Melayu adalah politik berteraskan akar umbi dan keahlian. Itulah rahsia kekuatan UMNO dan PAS.

Dan, semakin segera UMNO-BN bangkit, segera membina semula kekuatan, mengembalikan semula keyakinan pengundi tradisi mereka, semakin ia memberi masalah besar kepada Bersatu, malah bakal menenggelamkan Bersatu.

Malah perlu kita akui lagi, mereka yang mengundi Bersatu jelas dan nyata hasrat mereka adalah untuk melihat budaya politik Melayu yang baru, yang lebih telus dan berintegriti.

Sekarang, kita khuatir mereka semua menyesal kerana akhirnya Bersatu dengan tanpa rasa bersalah sekali bersekongkol dengan pihak yang dahulu mereka undi untuk jatuhkan.

Situasi terkini, dengan menjadi bilangan paling dominan di dalam kerajaan pusat di bawah koalisi belum rasmi yang dipanggil Perikatan Nasional, serta setelah menerima hadiah dua buah negeri yang bermenteribesarkan ahli parti (Johor dan Melaka), serta sebuah negeri yang didominasi oleh mereka (Perak), serta habuan GLC-GLC utama negara, UMNO kini muncul bagaikan phoenix yang bangkit dari abu. 

Bukan sekadar talian hayat, malah ianya ialah peremajaan semula UMNO di tahap paling maksimum.

Dalam keadaan mutakhir ini, menjelang PRU 15, Bersatu, bagaikan memberikan tengkok mereka untuk disembelih mentah-mentah oleh UMNO. 

Mengharapkan UMNO untuk beralah dengn mengekalkan status quo kerusi-kerusi Bersatu yang ada pula, adalah bererti memberi laluan untuk UMNO kembali dominan dan akhirnya menobatkan Zahid Hamidi sebagai PM ke-9 berdasarkan komposisi kerusi yang mereka ada sekarang.

Di dalam kedua-dua senario ini ia tetap tidak mampu mencabar status quo UMNO, dan ia bererti kerugian yang paling terbesar dan bersejarah di pihak Bersatu pada PRU15 nanti.

Kepada ahli-ahli dan pimpinan Bersatu, lihatlah jauh ke hadapan jika sayangkan parti tercinta ini, bukannya kenyang dengan laba yang diperoleh sementara pada hari ini sahaja!

Jangan menang sorak, kampung tergadai.

YB Dr Maszlee Malik

Ahli MPT Bersatu

Peranan Mahasiswa Sebagai Penyelesai Masalah Masyarakat

Ucapan sempena Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) tahun 2019

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Baharu.

Saya ingin memulakan ucapan ini dengan merakam setingi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia atas kesudian untuk hadir dan seterusnya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Tahun 2019 hari ini.

Seorang penulis tersohor dari Perancis, Albert Camus, pernah berkata; Manusia cuma ada satu-satunya tugas, iaitu mencintai.

Menyorot kata-kata ini, saya ingin menyinggung sedikit peranan dan sebab kewujudan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ini dengan kembali mewacanakannya secara kritikal dan serius. Saya percaya, atmosfera pendidikan tinggi harus kembali bercorakkan dengan keeratan hubungannya dengan masyarakat.

Seringkali di mana-mana ucapan saya dan sehingga sejuta kalipun, saya akan tetap menekankan darihal yang sama. Kewujudan universiti, kewujudan mahasiswa dan kewujudan MPPK ini tidak bermakna apa-apapun tanpa kewujudan masyarakat.

Mengimbau sejarah, dan saya pasti semua ini disaksikan sendiri oleh YAB Tun, aktivisme pelajar ini mempunyai warna-warninya tersendiri. Meredith L. Weiss telah membahaskan semua ini panjang lebar. Namun, esensinya jelas, suara mereka ialah suara masyarakat. Mereka berbicara soal kemiskinan bandar, luar bandar dan pedalaman, soal kos sara hidup yang tinggi, soal nelayan dan pekebun kecil sehinggalah bertitik tolak daripada ini, mereka mencari jalan penyelesaian yang mampan dan berusia panjang.

YAB Tun dan barisan MPPK yang saya kasihi,

Pemikir tersohor Algeria, Malek Bennabi, dalam Shurut Al-Nahda beliau telah dengan sangat lantang menyuarakan kerisauan beliau terhadap masyarakat zaman pascatamadun. Saya kecilkan skop masyarakat ini kepada mahasiswa dan pelajar. Malek Bennabi memberikan analogi yang ringkas dan mudah.

Masyarakat pratamadun diibaratkan seperti air yang baru mengalir masuk ke dalam tangki. Masyarakat bertamadun pula ialah air yang melalui proses penapisan dan segala proses di dalam tangki, dan masyarakat pascatamadun ialah air lebihan yang mengalir keluar.

Analogi ini memberikan gambaran yang jelas tentang situasi dan wabak yang sedang melanda masyarakat pascatamadun, yang mana kita sedang hidup di zamannya. Memahami hakikat ini, saya menanamkan hasrat yang besar buat MPPK untuk kembali merenung semula makna kewujudan mereka dan sekali gus berusaha untuk mengeluarkan masyarakat dari wabak pascatamadun yang merbahaya ini.

Ruang yang ada ini perlu dimanfaatkan sebaiknya. Terus-terang saya katakan, saya sedikit kesal apabila dalam banyak sesi dialog saya dan pelajar, yang berulang kali diminta kepada saya ialah bantuan berupa wang. Saya memahami gelutan yang dihadapi dan kita di Kerajaan sedang melihat isu ini secara serius. Sebab itulah kita menubuhkan kembali Kesatuan Pelajar.

Secara operasinya, Kesatuan Pelajar ini akan mengelola bisnes dan perniagaan mereka sendiri di dalam universiti dan ini semua sekali gus akan menyediakan peluang pekerjaan sambila kepada pelajar yang memerlukan. Penghujungnya, Kesatuan Pelajar juga akan menjadi medan para siswa kita melatih diri dan meraih pelbagai kemahiran yang bakal mereka perlukan untuk memasuki alam pekerjaan.

Namun, budaya ini agak meresahkan. Sekiranya isunya ialah isu kebajikan, saya telah memberikan amanat kepada semua Naib Canselor UA untuk mengendalikan isu ini selari dengan semangat autonami yang ingin kita praktikkan. Proses decentralization of power ialah amalan good governance yang saya harap kita sama-sama laksanakan.

Mentaliti ini telah membuktikan bahawa wujudnya kesenjangan antara pelajar dan masyarakat ini sangat-sangat membimbangkan. Justeru, saya menjentik isu ini agar MPPK memandangnya secara kritikal. Ada banyak yang perlu kita ubah dan saya yakin, keberadaan MPPK dan kewujudan ruang langsung antara MPPK dan Kabinet Kerajaan ini akan menghasilkan natijah yang bermanfaat buat masyarakat dan negara tercinta.

Saya juga ingin menyelit sedikit isu kebolehpasaran graduan. Antara isu yang harus diberikan perhatian ialah penguasaan bahasa Inggeris dan kekurangan kemahiran yang pelbagai yang sangat diperlukan industri. Walau bagaimanapun, yang paling utama ialah mentaliti dan sikap siswazah kita. Berdaya kreatif, inovatif dan sentiasa merebut peluang adalah kunci untuk menghadapi suasana ekonomi gig yang sangat mencabar.

YAB Tun dan hadirin yang saya muliakan,

Sekarang sedang berlangsungnya Bengkel Kerja Perancangan Strategik KPM dan antara yang paling ditekankan ialah jalan ke depan untuk kita bergerak. Saya jelaskan keperluan untuk kita bergerak secara tripartite; universiti, industri dan masyarakat. Ketiga-tiga ini perlu bergabung dan segala reformasi harus mengambil kira keperluan ketiga-tiga pihak.

Program-program seperti AIxCHANGE, 2u2i (2 years in university and 2 years in industry), dan Gap Year, juga program-program di pelbagai peringkat nasional dan antarabangsa seperti Kembara Siswa Patriotik, Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu, International Conference on Student and Disabled Student Development, International Cultures Festival dan sebagainya akan terus diperkasakan bagi terus menghubungkan universiti dengan industri, dan universiti dengan masyarakat.

Saya juga yakin, penubuhan Kesatuan Pelajar di seluruh Universiti Awam akan membawa industri lebih dekat dengan universiti.

Kata Muhammad Iqbal; “A wrong concept misleads the understanding; a wrong deed degrades the whole man, and may eventually demolish the structure of the human ego.”

Akhirnya, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin terutamanya Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad, Yang Berhormat Menteri-Menteri, pengurusan tertinggi kementerian, jabatan, agensi dan para mahasiswa yang hadir dalam Mesyuarat MPPK 2019 pada hari ini. Sekian, terima kasih.

Dr. Maszlee Malik adalah mantan Menteri Pendidikan Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan.

Hakcipta Terpelihara © Dr. Maszlee Malik.

Laman web oleh Grocern.