Dr. Maszlee Malik
Mantan Menteri Pendidikan Malaysia | Pengerusi IAIS

Memahat Sejarah: Hari Yang Mendung Buat Demokrasi

Hari ini, 18 Mei 2020, telah berlangsungnya Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 selama satu hari.

Di hari yang penting ini, saya ingin memahat satu lagi babak sejarah agar tak lupa oleh anak cucu kita tatkala mereka menyelak semula sejarah kesuaman demokrasi negara kita.

Jumaat lalu, setelah Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengeluarkan Kenyataan Media bertarikh 13 Mei 2020 yang mengumumkan PINDAAN Urusan Majlis Mesyuarat, saya telah menghantar sepucuk surat rayuan agar Usul daripada YB Langkawi yang diterima sebelum ini kekal diterima untuk dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat pada hari ini.

Di dalam surat itu juga saya menyatakan pandangan bahawa terdapat kekhilafan yang jelas dan nyata apabila Tan Sri Yang di-Pertua Dewan Rakyat merujuk kepada Peraturan-peratuan Mesyuarat yang langsung tidak berkaitan dalam Kenyataan Media beliau pada 13 Mei 2020.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat memaklumkan bahawa pindaan Urusan Majlis Mesyuarat dibuat kerana menuruti makluman Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis berdasarkan Peraturan 11(2) dan Peraturan 15(2).

Saya merujuk kepada Peraturan-peraturan ini dan saya dapati, ianya tidak menyebut tentang hak meminda atau menetapkan Aturan Urusan Mesyuarat oleh Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri.

Peraturan 11(2) menyebutkan begini:

“(2) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat perenggan (1), Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam Penggal itu:

Tetapi disyaratkan iaitu Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.”

Tidak disebutkan langsung perihal mengubah Aturan Urusan Mesyuarat, yang disebutkan hanyalah “boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.”

Peraturan 15(2) pula menyebutkan:

“(2) Urusan Kerajaan hendaklah diaturkan mengikut sebagaimana yang baik pada timbangan Kerajaan dan diberitahu kepada Setiausaha.”

Jelas dituliskan yang boleh diatur mengikut timbangan Kerajaan hanyalah “Urusan Kerajaan”. 

Usul yang dibawa oleh YB Ahli Parlimen Langkawi tidak termasuk di dalam “Urusan Kerajaan”. Ianya adalah usul persendirian.

Peraturan 14. (1) jelas menetapkan bahawa “urusan-urusan bagi tiap-tiap persidangan mesyuarat hendaklah mengikut aturan seperti di bawah ini kecuali jika Majlis Mesyuarat menetapkan aturan lain…”

Ini bermakna hanya Majlis Mesyuarat sahaja yang berkuasa untuk menetapkan aturan selain daripada apa yang jelas termaktub dalam Peraturan 14 (1).

Andainya, pihak Kerajaan sangat-sangat ingin Aturan Urusan Mesyuarat dipinda kedudukannya, Peraturan 14 (2) yang membenarkan satu usul daripada Menteri untuk berbuat demikian. 

Namun, usul ini pun tidaklah sampai boleh menafikan agenda-agenda lain dilangsungkan selama mana waktu mesyuarat mengizinkan. 

Saya juga menyatakan, sekiranya YDP menarik semula tindakan menghadkan Urusan Mesyuarat, ia akan dikenang dalam sejarah demokrasi negara sebagai tindakan yang telus dan menjunjung demokrasi berparlimen kita.

Sabtu lalu, saya telah menerima sepucuk surat balas daripada YDP Dewan Rakyat. Permohonan rayuan saya ditolak namun surat ini tidak menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan tentang Peraturan-peraturan Mesyuarat.

Saya sedar, ini hanyalah usaha kecil saya sebagai Ahli Dewan Rakyat, namun saya puas kerana sekurang-kurangnya, saya telah melakukan sesuatu yang termampu, mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Hari ini, persidangan telah pun berlangsung seperti yang telah ditetapkan. Namun, sejarah akan memahatkan 18 Mei sebagai tarikh mendung demokrasi negara kita.

Kepada mereka yang ingin merujuk Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, boleh klik di sini: 

https://www.parlimen.gov.my/images/webuser/peraturan_mesyuarat/PMDR-bm.pdf

Saya kepilkan di sini salinan surat saya kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk manfaat semua.

YB Dr Maszlee Malik

Ahli Parlimen Simpang Renggam

Leave a Reply

Dr. Maszlee Malik adalah mantan Menteri Pendidikan Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan.

Hakcipta Terpelihara © Dr. Maszlee Malik.

Laman web oleh Grocern.