Dr. Maszlee Malik
Mantan Menteri Pendidikan Malaysia | Pengerusi IAIS

Apa Sudah Jadi Dengan Tujuan Asal BERSATU Yang Ditubuhkan Untuk Menggantikan UMNO?

Pepatah Cina ada mengatakan: “Sebuah gunung tidak boleh ada dua ekor harimau.” (一山不容二虎)

Bersatu memasuki gelanggang pertarungan politik pada PRU14 (2018) dengan menggalas amanah sebagai parti komponen Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di 52 kerusi di Semenanjung dengan menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Secara umumnya, Bersatu diberi tanggungjawab untuk bertanding di kerusi UMNO, selari dengan asas kewujudan dan penubuhan asalnya (raison d’etre) sebagai sebuah parti pribumi Melayu, juga sebagai alternatif, saingan dan mengambil tempat UMNO yang telah rosak dalam landskap baru politik negara.

Kecuali Tapah yang telah menjadi kerusi tradisi MIC, Tg. Piai (MCA) dan Simpang Renggam (Gerakan), semua 49 kerusi lain adalah di kerusi majoriti melayu dan kerusi tradisi UMNO atau PAS.

Dari 52 kerusi yang ditandingi, Bersatu berjaya memenangi 13 kerusi, bersamaan dengan 25% kadar kejayaan parti. 

Dari segi undi, jumlah undi keseluruhan yang telah berjaya diraih oleh kesemua 52 calon Bersatu adalah 718,648, bersamaan dengan 28% dari Jumlah Keluar Mengundi di semua kawasan berkenaan iaitu sebanyak 2,573,505.

Siapakah sebenarnya pengundi Bersatu?

Sebagai sebuah parti baru, jenama baru dan (menumpang jenama, bendera dan platform rakan-rakan) malah pertama kali pula memasuki medan pilihanraya tanpa ada ‘track record’ asas pengundi, adalah penting untuk kita tinjau profil pengundi tipikal Bersatu.

Untuk tujuan ini, kita gunapakai sampel dari 13 kerusi yang dimenangi oleh Bersatu. 

Keseluruhannya, ia melibatkan pengundi seramai 760,925 dengan demografi etnik 74.0% Melayu, 21.3% Cina dan 5.2% India dan Lain-lain. 

Jumlah Keluar Mengundi ialah 625,199 (bersamaan dengan 82%). 

Bermaksud, daripada 100 orang melayu, 37 orang telah mengundi Bersatu.

Daripada 100 orang Cina, 83 orang mengundi Bersatu.

Dan daripada 100 orang India, 58 orang mengundi Bersatu.

Jumlah undi yang telah diraih oleh 13 calon Bersatu pula sebanyak 301,681 (bersamaan dengan 48.2% dari Jumlah Keluar Mengundi).

Bermaksud, setiap 100 pengundi Bersatu, 57 daripadanya adalah Melayu, 37 daripadanya adalah Cina dan 6 daripadanya adalah India dan lain-lain.

Jika kita tinjau secara lebih mendalam, kita boleh mengenali profil pengundi berdasarkan parti yang pernah mereka undi dahulu. Itulah sumber daripada datangnya pengundi Bersatu.

Undi yang sekian banyak yang diperolehi oleh Bersatu datangnya dari 3 sumber penting, iaitu pengundi asal Pakatan Rakyat (tidak termasuk pengundi tegar PAS), selebihnya ialah pengundi UMNO-BN yang telah mengubah keputusan mereka untuk melihat masa depan negara yang lebih baik.

Pada PRU13 yang lalu, semua (kecuali beberapa yang mengundi Berjasa atau Bebas) pengundi yang menolak BN (dan UMNO), secara logiknya mengundi Pakatan Rakyat. 

Harus kita ingat, pada PRU13, PAS bersama dalam koalisi PR, jadi pada PRU14, pengundi tegar PAS akan tetap mengundi PAS pada PRU14. Logiknya, dengan pertarungan tiga penjuru, sejumlah undi PR telah dilarikan kepada PAS.

Kesimpulannya, daripada 100 pengundi Bersatu, 54 daripadanya adalah asas pengundi PR yang sedia ada dan 7 daripadanya adalah pengundi pertama kali, selebihnya 39 orang adalah pengundi UMNO-BN (Majoritinya adalah pengundi melayu UMNO, dengan pengecualian seperti di Simpang Renggam, Tg. Piai dan Alor Gajah).

Nisbah ini menunjukkan bahawa 35% pengundi Bersatu pada PRU14 yang lalu asalnya ialah pengundi BN pada PRU13.

Selebihnya, 54 pengundi ialah pengundi asas penyokong PR, cuma 30 daripadanya adalah melayu, dengan kemungkinan besar mereka ini sudah mempunyai pilihan parti sendiri sebelum wujudnya Bersatu, dan akan kekal dengan parti tersebut, dalam apa jua keadaan.

Cabaran sebenar Bersatu adalah bagaimana mengekalkan 39 orang bekas pengundi BN tersebut. Dari situlah Bersatu harus membina asas dan membiak.

Walau bagaimanapun, ia sangat bergantung kepada ‘mood’ pengundi. Bersatu pula parti yang baru, kewujudan Bersatu pada asasnya adalah untuk menjadi pengganti kepada UMNO dengan menawarkan budaya politik Melayu yang lebih telus dan bersih.

Kita boleh mencongak ‘mood’ pengundi ini melalui pemerhatian dari PRK di Semenyih dan Tg. Piai.

Semenyih dan Tg. Piai adalah dua contoh tipikal kerusi tradisi BN (UMNO di Semenyih, MCA di Tg. Piai) yang dirampas oleh Bersatu pada PRU14.

Seperti yang disebutkan di atas, kerusi tersebut dimenangi atas faktor 35% dari pengundi asal BN PRU13 beralih angin dan mengundi Bersatu.

Namun, terbukti pada pilihanraya kecil ini, BN berjaya merampas kembali kedua-dua kerusi tersebut dan menyaksikan Bersatu kalah teruk atas pelbagai sebab. 

Sebab yang paling utama adalah kerana pengundi asal UMNO-BN telah kembali mengundi parti asal mereka.  Bersatu cuma mengharapkan ehsan pengundi PR sedia ada.

Ringkasnya, Bersatu yang awalnya ditubuhkan sebagai parti alternatif kepada UMNO telah gagal bertahan dan tidak mampu menyaingi UMNO-BN di kubu tradisi mereka. 

Bersatu wujud (dan menang) kerana UMNO mengalami krisis defisit kepercayaan orang melayu. Sekiranya UMNO bangkit balik, dan pengundi UMNO-BN mula berpatah balik kepada parti tradisi mereka, Bersatu akan bermasalah besar.

Masalah ini lagi jelas terlihat melalui kegagalan Bersatu untuk menambahkan keahlian dan cawangan mereka selepas memenangi PRU14. 

Di Semenyih, Bersatu hanya mempunyai satu cawangan, manakala di Tg. Piai, Bersatu hanya mempunyai 5 cawangan berbanding dengan UMNO. 

Bagaimanakah mungkin Bersatu sebagai sebuah parti Melayu dapat bertahan tanpa keahlian di peringkat akar umbi? 

Seperkara yang perlu diakui, mana-mana parti Melayu yang ingin kekal hendaklah mempunyai keahlian di peringkat akar umbi yang ramai. Asas politik Melayu adalah politik berteraskan akar umbi dan keahlian. Itulah rahsia kekuatan UMNO dan PAS.

Dan, semakin segera UMNO-BN bangkit, segera membina semula kekuatan, mengembalikan semula keyakinan pengundi tradisi mereka, semakin ia memberi masalah besar kepada Bersatu, malah bakal menenggelamkan Bersatu.

Malah perlu kita akui lagi, mereka yang mengundi Bersatu jelas dan nyata hasrat mereka adalah untuk melihat budaya politik Melayu yang baru, yang lebih telus dan berintegriti.

Sekarang, kita khuatir mereka semua menyesal kerana akhirnya Bersatu dengan tanpa rasa bersalah sekali bersekongkol dengan pihak yang dahulu mereka undi untuk jatuhkan.

Situasi terkini, dengan menjadi bilangan paling dominan di dalam kerajaan pusat di bawah koalisi belum rasmi yang dipanggil Perikatan Nasional, serta setelah menerima hadiah dua buah negeri yang bermenteribesarkan ahli parti (Johor dan Melaka), serta sebuah negeri yang didominasi oleh mereka (Perak), serta habuan GLC-GLC utama negara, UMNO kini muncul bagaikan phoenix yang bangkit dari abu. 

Bukan sekadar talian hayat, malah ianya ialah peremajaan semula UMNO di tahap paling maksimum.

Dalam keadaan mutakhir ini, menjelang PRU 15, Bersatu, bagaikan memberikan tengkok mereka untuk disembelih mentah-mentah oleh UMNO. 

Mengharapkan UMNO untuk beralah dengn mengekalkan status quo kerusi-kerusi Bersatu yang ada pula, adalah bererti memberi laluan untuk UMNO kembali dominan dan akhirnya menobatkan Zahid Hamidi sebagai PM ke-9 berdasarkan komposisi kerusi yang mereka ada sekarang.

Di dalam kedua-dua senario ini ia tetap tidak mampu mencabar status quo UMNO, dan ia bererti kerugian yang paling terbesar dan bersejarah di pihak Bersatu pada PRU15 nanti.

Kepada ahli-ahli dan pimpinan Bersatu, lihatlah jauh ke hadapan jika sayangkan parti tercinta ini, bukannya kenyang dengan laba yang diperoleh sementara pada hari ini sahaja!

Jangan menang sorak, kampung tergadai.

YB Dr Maszlee Malik

Ahli MPT Bersatu

Leave a Reply

Dr. Maszlee Malik adalah mantan Menteri Pendidikan Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan.

Hakcipta Terpelihara © Dr. Maszlee Malik.

Laman web oleh Grocern.