Dr. Maszlee Malik
Mantan Menteri Pendidikan Malaysia | Pengerusi IAIS

Hari Akademia 2021: Memugarkan Budaya Dialektika Dunia Akademia

Terma dialektika (dialectic) kerap disalahertikan dan dipandang sinis di dunia Muslim kerana sering dikaitkan dengan dialektika materialisme ala-Marx dan Engel. Ianya disikapi sebagai tunjang asas kepada kepercayaan materialisme, dan penolakan terhadap ghaibiyat serta mauduk melampaui hukum fizik. Hakikatnya, ketika Hegel muncul dengan teori dialektikanya, beliau lebih merujuk kepada proses perkembangan ilmu berdasarkan hukum tabi’i dan keserasiannya dengan rasional.

Dialektika adalah proses pergelutan antara tesis dengan antitesis di mana penghujungnya akan menghasilkan sintesis, dan ianya berterusan seumpama lingkaran (spiral) yang sentiasa membuahkan tesis, antitesis dan sintesis seterusnya. Maka, begitu juga halnya terhasilnya ilmu, pengetahuan, hukum-hakam sains, dan segala macam penemuan dan rekacipta yang akhirnya memudahkan (dan ada juga yang turut memusnahkan) kehidupan manusia. Pendek kata, proses dialektika amat penting untuk pecapahan dan perkembangan ilmu.

Sedari zaman Greek lagi, kita telah dipersembahkan dengan proses dialektika falsafah dan ilmu lewat bicara Socrates, Plato dan Aristotle. Pada zaman keemasan dunia Islam pula, pelbagai proses dialektika ilmu hasil dari ‘jidal’ (debat) di antara para ilmuwan, sama ada ketika sama-sama mereka hidup, mahupun antara ilmuwan yang masih hidup terhadap mereka yang datang sebelumnya, akhirnya menatijahkan banyak penemuan-penemuan dan ilmu-ilmu baharu yang menjadi tonggak asas pelbagai disiplin ilmu moden.

Proses dialektika tidak akan berlaku tanpa pemikiran yang kritikal, proses pengamatan analitikal dan juga proses penilaian ilmu yang objektif bersandarkan metod yang saintifik dan rasional. Inilah resepi kekal malar segarnya ilmu-ilmu falsafah dan metodologi kajian saintifik yang menjadi dasar kepada semua penemuan-penemuan baharu dan perkembangan ilmu pengetahuan moden.

Proses dialektika tidak akan subur dengan budaya jadong, budaya enggeh (Bahasa Jawa bermaksud menurut perintah), budaya bodek, budaya pasif, budaya ‘mediocrity’ (cukup makan) dan juga budaya keselesaan (atau malas). Sebaliknya, ia akan sentiasa pugar jika pemikiran kritis, budaya debat, sikap analitikal, sikap tidak berpuashati dengan menerima sahaja, budaya kecemerlangan dan juga semangat pencarian (inquisitive spirit or mindset) sentiasa menjadi gaya hidup atau sikap para ilmuwan.

Sikap para ilmuwan atau ahli akademik yang tidak berpuashati dengan apa yang ada, dan inginkan yang ideal itulah yang akan menjadikan budaya dialektika terus subur di dalam ranah pendidikan dan sumur keilmuwan. Inilah yang diperlukan di parlak keilmuwan, iaitu menara gading dan institusi pengajian tinggi, ataupun dalam bahasa ilmiahnya, ‘dunia akademik’.

Jika pada thaun 60-an, berlaku perdebatan hangat antara dua ilmuwan Inggeris, C.P Snow dan F.R Leavis tentang pertentangan antara bidang sastera (arts) dan sains yang telah menyaksikan Rede Lecture di Cambridge sebagai medan untuk Snow menjulang bidang sains di dunia akademia, manakala Richmond Lecture di Oxford pula oleh Leavis untuk mematahkan hujah Snow. Perdebatan dan hujah-hujah mereka menjadi perdebatan umum dan topik bualan ahli akademik. Di dunia Perancis pula perdebatan antara Albert Camus dan sahabatnya Jean-Paul Sartre mengenai keutamaan dan kepentingan kebebasan individu dan peranan intelektual, yang manakah lebih utama serta pelbagai isu lain yang mewarnai perbincangan ahli akademik di Perancis pada waktu yang sama. Manakala mutakhir pula, perdebatan antara Stephen Jay Gould dan Richard Dakwins juga tidak kurang hebatnya.

Dunia akademik melampaui sekadar mengejar KPI, mengejar ranking dan juga budaya ‘kow tow’ pihak berkuasa untuk kedudukan dan imbuhan. Ia harus penuh dengan budaya dialektika ilmu. Ia perlu subur dan segar dengan perdebatan umum yang akan membuahkan solusi untuk masalah negara, masalah masyarakat dan masalah sejagat. Dunia akademia perlu rancak dengan perdebatan umum dan percambahan minda jika kita ingin institusi pengajian tinggi kita benar-benar menjadi otak dan jiwa kepada masyarakat.

Walau bagaimanapun, kesemuanya harus bermula dengan konsep autonomi universiti, bebasnya universiti dari agenda politik kepartian dan budaya minda tertawan (captive mentality). Dunia akademia wajib berdiri atas kakinya sendiri dan mempunyai perimeter kemandirian tanpa tunduk kepada agenda politik kepartian mahupun agenda syarikat-syarikat pemodal mahupun individu berkepentingan. Maka, di situlah letaknya kemegahan dan nilai tinggi dunia akademia dan ahli akademik.

Tahun ini warga akademia Malaysia menyambut ‘Hari Akademia Kebangsaan’ buat tahun ketiga semenjak perisytiharannya pada 5 Oktober 2019. Hari Akademia itu berinspirasikan Hari Guru Sedunia UNESCO yang kebiasaannya disambut oleh kesatuan-kesatuan akademik pada masa lalu terutamanya di UIAM. Tahun ini KPT menyambutnya dengan tema ‘Akademia Diperkasa, Digitalisasi Dibudaya’ berdasarkan keadaan semasa akibat wabak COVID-19. 

Tidak kiralah apapun suasananya, warga akademia yang merupakan otak dan jiwa kepada nusa harus menyuburkan budaya dialektika. Pembelajaran atas talian, pembelajaran digital dan banyak lagi pendekatan terkini tidak boleh disikapi sebagai ‘ends’ ataupun matlamat, tetapi hanya sebagai ‘means’ (wahana) ataupun ‘tools’ (alat) untuk meneruskan ruh akademia itu sendiri. Universiti sebagai pusat menghasilkan para intelektual yang berperanan untuk menyelesaikan masalah sebenar masyarakat dan memandu serta memacu halatuju negara perlu sentiasa dipugarkan peranannya.

Bersempena RMK12 yang telah dibentangkan di Parlimen, saya telah membawa agenda reformasi pengajian tinggi yang mesti diteruskan oleh kerajaan demi mengangkat wibawa pendidikan tinggi negara:Antara perkara yang telah diutarakan termasuk penubuhan semula Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) yang termaktub dalam Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (Akta 546); Lembaga Pengurusan (LPU) Universiti Awam juga hendaklah bebas daripada lantikan politik dan dihadkan hanya kepada dua penggal sahaja bagi setiap lantikan; penubuhan ‘Jawatankuasa Integriti Penyelidikan Kebangsaan’ seperti yang pernah dicadangkan oleh Majlis Sains Negara (2017); pindaan Akta 605 untuk menjamin kebebasan akademik dan menjaga integriti ahli akademik; pemansuhan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (Akta 30) dan digantikan dengan undang-undang yang lebih komprehensif bersekali dengan akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555); penerusan usaha penubuhan Kesatuan Pelajar di semua IPT dan pemerkasaan IPTS di seluruh negara berdasarkan ‘road map’ IPTS 2020-2025.

Harapan saya agar dengan segala usaha reformasi ini, wibawa pendidikan tinggi negara akan diangkat, dan tahap ahli akademik kita akan lebih dihormati sama ada di dalam mahupun di luar negara. Ini perlu dimulakan segera agar Malaysia tidak berterusan ketinggalan dalam arena pendidikan tinggi sepertimana yang telah kita saksikan semenjak 18 bulan yang lalu. 

Apapun usaha reformasi kita untuk pengajian tinggi, ia harus dimulakan dengan kelestarian berterusan budaya dialektika akademia yang sewajarnya dihayati oleh semua ahli akademik.

Cadangan Reformasi Pendidikan Daripada JK Pendidikan PH Kepada YAB Perdana Menteri Ke-9

KENYATAAN MEDIA JAWATANKUASA PENDIDIKAN PAKATAN HARAPAN

29 Ogos 2021

Menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 20 Ogos 2021, melalui Kenyataan Media Istana Negara yang menyeru agar semua ahli Dewan Rakyat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha untuk menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara, Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mengambil pendirian untuk mengemukakan agenda khususnya terkait isu reformasi pendidikan kepada YAB Perdana Menteri agar ianya dipertimbang seterusnya dilaksana.

Bertitik tolak dari semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang telah digagaskan YAB Perdana Menteri semasa ucapan sulungnya tempoh hari, maka JKPPH menganggap inilah masa yang sesuai segala cadangan yang dikemukakan dapat diperhalus berserta kerjasama pelbagai pihak termasuk ahli Dewan Rakyat digembleng ke arah mewujudkan sebuah sistem pendidikan yang lebih mapan dan relevan dalam tempoh yang mencabar ini.

Oleh yang demikian, JKKPH mencadangkan beberapa langkah untuk mereformasikan sistem pendidikan termasuk bidang pengajian tinggi, seperti berikut:

Reformasi Pendidikan Dasar

  1. Merangka satu pelan besar (master plan) Pendidikan merangkumi pendidikan dasar, pendidikan tinggi dan pendidikan TVET, serta perancangan jangkamasa panjang yang strategik, mapan dan telus untuk pendidikan selepas pandemik berakhir. Pernyataan Polisi ‘Pendidikan di kala wabak COVID-19: Solusi buat Malaysia’ oleh mantan Menteri Pendidikan boleh dijadikan dasar dan panduan untuk tujuan berkenaan.
  2. Penubuhan ‘Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan’ (MTPK) yang akan dianggotai oleh para pemegang taruh, terutamanya wakil-wakil dari NUTP, UNICEF, WHO, KKM, pakar-pakar Pendidikan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), badan-badan pengkaji, NGO Pendidikan, Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, terutamanyamereka yang pernah bergelumang dalam

sektor pendidikan untuk menangani masalah pendidikan pasca-pandemik yang amat serius ini melalui penghasilan pelan yang disebutkan serta memantau pelaksanaannya. Kerajaan juga hendaklah menggunakan secara maksimum kepandaian buatan (artificial intelligence) dan data raya (big data) untuk membantu menangani kemelut Pendidikan ini.

  • Pengurusan berkaitan penutupan dan pembukaan sekolah sewaktu COVID-19 hendaklah diturunkan (decentralized) kepada peringkat sekolah dan PPD dengan persetujuan ibu bapa. Sebarang keputusan yang dibuat juga hendaklah berdasarkan sains dan data dengan dipandu garis panduan oleh WHO. KPM hendaklah mempunyai pakar rujukan utama berhubung sains dan data dengan melantik pakar-pakar dari hospital-hospital Universiti Awam sebagai rujukan utama. Elakkan keputusan pukul rata atau ‘one size fits all’.
  • Kebenaran untuk MP dan ADUN tanpa kira pihak kerajaan atau pembangkang untuk terlibat dengan pihak sekolah dan institusi Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah, dan jabatan Pendidikan Negeri di kawasan masing-masing untuk membangunkan pendidikan serta infrastruktur dan bukan untuk tujuan politik.
  • Melaksanakan Laporan Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara 2019 terutamanya berkaitan Model Pendidikan Baharu (New Education Model). Ianya perlu dibawa ke kabinet untuk diluluskan dan dilaksanakan selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).
  • Menghidupkan semula JK Dataraya (Big Data Committeedi KPM agar segala keputusan, dasar dan Pendidikan dapat dirumuskan dan dipandu oleh data, sains, deep analytics dan kepandaian buatan (artificialintelligence).
  • Pemberian insentif kepada para guru di dalam bentuk one-off ataupun pengecualian cukai di atas usaha dan wang ringgit yang mereka gunakan sepanjang PdPR.
  • Pelaksanaan semula ‘Program Sarapan Pagi’ percuma kepada setiap murid di sekolah seperti mana yang pernah direncanakan pada tahun 2019 apabila sekolah dibuka semula. Ini akan dapat membantu keluarga yang kini ramai tergolong dalam B50, dan juga dapat membantu para pengusaha kantin sekolah dan pembekal makanan basah ke kantin-kantin sekolah.

Reformasi Pengajian Tinggi

  1. Penubuhan kembali Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) yang termaktub dalam Akta Majlis PendidikanTinggi Negara 1996 (Akta 546).
  2. Demi menjamin kewibawaan dan kredibiliti institusi pengajian tinggi, keanggotaan Lembaga Pengurusan (LPU) Universiti Awam juga hendaklah bebas dari lantikan politik dan dihadkan hanya kepada dua penggal sahaja bagi setiap lantikan.
  3. Imej ahli akademi Malaysia yang tercalar kerana isu penerbitan di jurnal pemangsa (predator Journals) dan juga isu plagiarisme perlu ditangani secara sistemik. ‘Jawatankuasa Integriti

Penyelidikan Kebangsaan’ yang pernah dicadangkan oleh Majlis Sains Negara (2017) perlu diwujudkan segera.

  1. Akta 605 perlu dipinda untuk menjamin kebebasan akademik dan menjaga integriti para akademik sepertimana yang pernah dibawakan pada tahun 2019, ianya hanya perlukan kelulusan dari Perdana Menteri tanpa perlu dibawa ke parlimen.
  2. Meneruskan usaha yang telah dilakukan oleh JK Pemansuhan AUKU untuk memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (Akta 30) dan digantikan dengan undang-undang yang lebih komprehensif bersekali denganakta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555);
  3. Meneruskan usaha penubuhan Kesatuan Pelajar di semua IPT (Institut Pengajian Tinggi).

JKPPH dengan tegas memohon agar cadangan-cadangan ini dipertimbang oleh YAB Perdana Menteri termasuk YB Menteri Kanan Pendidikan dan YB Menteri Pengajian Tinggi bagi menghentikan segala krisis pendidikan yang sedang berlaku di negara kita.

“MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI”

Anggota Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan:

YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi (Ahli Parlimen Simpang Renggam) YB Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa, KEADILAN) YB Datuk Dr Hasan Bahrom (Ahli Parlimen Tampin, AMANAH)

YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai, DAP)

YB Natrah binti Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, KEADILAN)

YB Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam, DAP) YB Rusnah Aluai (Ahli Parlimen Tangga Batu, KEADILAN)

Peranan Mahasiswa Sebagai Penyelesai Masalah Masyarakat

Ucapan sempena Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) tahun 2019

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Baharu.

Saya ingin memulakan ucapan ini dengan merakam setingi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia atas kesudian untuk hadir dan seterusnya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Tahun 2019 hari ini.

Seorang penulis tersohor dari Perancis, Albert Camus, pernah berkata; Manusia cuma ada satu-satunya tugas, iaitu mencintai.

Menyorot kata-kata ini, saya ingin menyinggung sedikit peranan dan sebab kewujudan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ini dengan kembali mewacanakannya secara kritikal dan serius. Saya percaya, atmosfera pendidikan tinggi harus kembali bercorakkan dengan keeratan hubungannya dengan masyarakat.

Seringkali di mana-mana ucapan saya dan sehingga sejuta kalipun, saya akan tetap menekankan darihal yang sama. Kewujudan universiti, kewujudan mahasiswa dan kewujudan MPPK ini tidak bermakna apa-apapun tanpa kewujudan masyarakat.

Mengimbau sejarah, dan saya pasti semua ini disaksikan sendiri oleh YAB Tun, aktivisme pelajar ini mempunyai warna-warninya tersendiri. Meredith L. Weiss telah membahaskan semua ini panjang lebar. Namun, esensinya jelas, suara mereka ialah suara masyarakat. Mereka berbicara soal kemiskinan bandar, luar bandar dan pedalaman, soal kos sara hidup yang tinggi, soal nelayan dan pekebun kecil sehinggalah bertitik tolak daripada ini, mereka mencari jalan penyelesaian yang mampan dan berusia panjang.

YAB Tun dan barisan MPPK yang saya kasihi,

Pemikir tersohor Algeria, Malek Bennabi, dalam Shurut Al-Nahda beliau telah dengan sangat lantang menyuarakan kerisauan beliau terhadap masyarakat zaman pascatamadun. Saya kecilkan skop masyarakat ini kepada mahasiswa dan pelajar. Malek Bennabi memberikan analogi yang ringkas dan mudah.

Masyarakat pratamadun diibaratkan seperti air yang baru mengalir masuk ke dalam tangki. Masyarakat bertamadun pula ialah air yang melalui proses penapisan dan segala proses di dalam tangki, dan masyarakat pascatamadun ialah air lebihan yang mengalir keluar.

Analogi ini memberikan gambaran yang jelas tentang situasi dan wabak yang sedang melanda masyarakat pascatamadun, yang mana kita sedang hidup di zamannya. Memahami hakikat ini, saya menanamkan hasrat yang besar buat MPPK untuk kembali merenung semula makna kewujudan mereka dan sekali gus berusaha untuk mengeluarkan masyarakat dari wabak pascatamadun yang merbahaya ini.

Ruang yang ada ini perlu dimanfaatkan sebaiknya. Terus-terang saya katakan, saya sedikit kesal apabila dalam banyak sesi dialog saya dan pelajar, yang berulang kali diminta kepada saya ialah bantuan berupa wang. Saya memahami gelutan yang dihadapi dan kita di Kerajaan sedang melihat isu ini secara serius. Sebab itulah kita menubuhkan kembali Kesatuan Pelajar.

Secara operasinya, Kesatuan Pelajar ini akan mengelola bisnes dan perniagaan mereka sendiri di dalam universiti dan ini semua sekali gus akan menyediakan peluang pekerjaan sambila kepada pelajar yang memerlukan. Penghujungnya, Kesatuan Pelajar juga akan menjadi medan para siswa kita melatih diri dan meraih pelbagai kemahiran yang bakal mereka perlukan untuk memasuki alam pekerjaan.

Namun, budaya ini agak meresahkan. Sekiranya isunya ialah isu kebajikan, saya telah memberikan amanat kepada semua Naib Canselor UA untuk mengendalikan isu ini selari dengan semangat autonami yang ingin kita praktikkan. Proses decentralization of power ialah amalan good governance yang saya harap kita sama-sama laksanakan.

Mentaliti ini telah membuktikan bahawa wujudnya kesenjangan antara pelajar dan masyarakat ini sangat-sangat membimbangkan. Justeru, saya menjentik isu ini agar MPPK memandangnya secara kritikal. Ada banyak yang perlu kita ubah dan saya yakin, keberadaan MPPK dan kewujudan ruang langsung antara MPPK dan Kabinet Kerajaan ini akan menghasilkan natijah yang bermanfaat buat masyarakat dan negara tercinta.

Saya juga ingin menyelit sedikit isu kebolehpasaran graduan. Antara isu yang harus diberikan perhatian ialah penguasaan bahasa Inggeris dan kekurangan kemahiran yang pelbagai yang sangat diperlukan industri. Walau bagaimanapun, yang paling utama ialah mentaliti dan sikap siswazah kita. Berdaya kreatif, inovatif dan sentiasa merebut peluang adalah kunci untuk menghadapi suasana ekonomi gig yang sangat mencabar.

YAB Tun dan hadirin yang saya muliakan,

Sekarang sedang berlangsungnya Bengkel Kerja Perancangan Strategik KPM dan antara yang paling ditekankan ialah jalan ke depan untuk kita bergerak. Saya jelaskan keperluan untuk kita bergerak secara tripartite; universiti, industri dan masyarakat. Ketiga-tiga ini perlu bergabung dan segala reformasi harus mengambil kira keperluan ketiga-tiga pihak.

Program-program seperti AIxCHANGE, 2u2i (2 years in university and 2 years in industry), dan Gap Year, juga program-program di pelbagai peringkat nasional dan antarabangsa seperti Kembara Siswa Patriotik, Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu, International Conference on Student and Disabled Student Development, International Cultures Festival dan sebagainya akan terus diperkasakan bagi terus menghubungkan universiti dengan industri, dan universiti dengan masyarakat.

Saya juga yakin, penubuhan Kesatuan Pelajar di seluruh Universiti Awam akan membawa industri lebih dekat dengan universiti.

Kata Muhammad Iqbal; “A wrong concept misleads the understanding; a wrong deed degrades the whole man, and may eventually demolish the structure of the human ego.”

Akhirnya, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin terutamanya Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad, Yang Berhormat Menteri-Menteri, pengurusan tertinggi kementerian, jabatan, agensi dan para mahasiswa yang hadir dalam Mesyuarat MPPK 2019 pada hari ini. Sekian, terima kasih.

Dr. Maszlee Malik adalah mantan Menteri Pendidikan Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan.

Hakcipta Terpelihara © Dr. Maszlee Malik.

Laman web oleh Grocern.