Pendidikan Sebagai Penyelesai Masalah Masyarakat
Para sarjana dari rentas abad telah lama bertanya, “Pendidikan ini hakikatnya untuk siapa? Sekolah ini untuk siapa? Universiti ini untuk siapa?”
Saya ingat, ada satu buku yang saya kira sangat baik untuk dibaca oleh para pendidik dan oleh semua orang umumnya. Buku ini berjudul The New Meaning of Educational Change, Makna Baharu Perubahan Pendidikan, dikarang oleh seorang sarjana bernama Michael Fullan.
Buku ini berjaya meneroka semula idea-idea pendidikan dan memberikan formula bagaimana idea-idea itu mampu dipugar dari masa ke masa. Dan diantara idea-idea besar yang perlu dibangunkan semula ialah mengembalikan semula institusi pendidikan kepada masyarakat.
Maknanya, hala tuju, framework, kiblat pendidikan mestilah ke arah menyelesaikan masalah masyarakat setempat. Masyarakat mesti menjadi nukleus kepada makna kewujudan sesebuah universiti.
Hanya dengan cara ini sahajalah, pendidikan boleh menjadi cause of the social change. Dan di dalam masyarakat pascamoden ini, seperti kata seorang sarjana bernama Hargreaves, tidak sempurna pendidikan tanpa bergabung bersama masyarakat.
Sebab itu di era ini, kita mahu gerakkan idea ini secara agresif. Kita mahu segera bergerak ke arah indigenization (pemperibumian) pendidikan. Kita mahu akrabkan pendidikan dengan masyarakat. Segala jenis penyelidikan, program, konvensyen, kongres, semuanya mestilah bersifat menyelesaikan masalah masyarakat.
Budaya Ilmu Sebagai ‘Geist’ Kewujudan Universiti
Selain mengembalikan fungsi universiti kepada menyelesaikan masalah masyarakat, kita juga harus sama-sama mengembalikan ‘geist’ kewujudan sesebuah universiti, iaitu budaya ilmu.
Di dalam mana-mana kelompok bertamadun, orang-orang berilmu akan diangkat dan dijadikan rujukan. Hatta di dalam masyarakat primitif sekalipun, tukang tilik juga akan dirujuk. Apatah lagi di zaman moden, tentunya profesor-profesor dan tuan guru pondok (dalam aliran ilmu tradisional) tetap akan diangkat dan dijadikan rujukan oleh masyarakat.
Dan di dalam atmosfera Malaysia Baru, ruang wacana awam telah dikembalikan dan harus bergiat aktif di dalam memudiki pemikiran rakyat terbanyak.
Universiti mesti diperkasa sebagai pentas wacana yang meriah. Segala perbezaan dan ribuan ‘schools of thought’ yang ada mesti diraikan dan dibincangkan secara sihat, malah ia mesti dihubungkan kepada masyarakat.
Saya pernah menulis satu artikel berjudul “Peranan Intelek Rausyan Fikir Dalam Ruang Demokrasi”. Saya jelaskan;
“Paksi para budiman dan intelek adalah kebenaran berteraskan hujah dan nilai manusiawi yang universal. Mereka ialah pejuang nilai, benteng kemanusiaan dan juga pendakwah keadilan dan kebenaran.” (Malik, 2014)
Apabila gerbang universiti telah dibuka seluas-luasnya kepada semua, tugas para cendekiawan awam yang terdiri daripada ahli akademik dan mahasiswa ialah mengisi kebebasan ini dengan wacana-wacana yang segar.
Mukaddimah: Cabaran dan Respons
Membebaskan semula wacana ini ke ruang awam ialah aspek penting di dalam mengemudi kecerdikan masyarakat. Kita sering belajar daripada sejarah, bagaimana kemajuan dan kejatuhan sesuatu peradaban itu diukur daripada bagaimana sesebuah masyarakat menghadapi cabaran dalaman dan luaran, dan bagaimana pula mereka memberi tindak balas (response) terhadap cabaran tersebut.
Ada satu karya agung yang evergreen yang perlu dibaca untuk memahami bagaimana respons dan cabaran ini berhubung kait antara satu sama lain, iaitu adikarya Ibnu Khaldun yang berjudul “Mukaddimah”.
Saudara Hazman Baharom di dalam rencana beliau berjudul “Peranan Cendekiawan Awam Dalam Mencerahkan Masyarakat” (yang telah dikumpulkan di dalam buku “Renungan Kemasyarakatan) telah menulis;
“Seperkara penting yang terhasil daripada respons sesuatu masyarakat kepada perkara di sekelilingnya ialah penerokaan ilmu yang lebih meluas, dan kemudiannya menjadi penyuluh kepada kecerdikan masyarakat itu sendiri.” (Baharom, 2016)
Tahap pemikiran masyarakat bergantung kepada setakat mana wacana awam ini digerakkan; dan nakhoda penggerak wacana ini tidak lain tidak bukan ialah universiti. Universitilah yang memandu kecerdikan masyarakat, dan yang perlu memainkan peranan untuk mengeluarkan masyarakat daripada sindrom ketidaktahuan dan ketidakpedulian terhadap ilmu ialah universiti.
Hal ini selari dengan pemberian autonomi-akauntabiliti (sikap kebertanggungjawaban) kepada universiti. Universiti bebas menentukan ‘direction’ wacana ini dan bagaimana ia perlu benar-benar memandu pendidikan masyarakat.
Saya mengucapkan terima kasih kepada ramai tokoh yang akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke universiti, dan tokoh-tokoh itu termasuklah ahli politik pembangkang.
Sama-samalah kita semua menghargai dan memanfaatkan medan intelektual terbuka ini sebaiknya. Perbanyakkanlah wacana, debat, dialog, forum yang bersifat intelektual dan mendidik serta menyelesaikan masalah masyarakat.
Firman Allah SWT;
“Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman serta orang-orang yang berilmu pengetahuan sebanyak beberapa darjat.” (Quran, 58:11)
(April, 2019)