Para sarjana
dari rentas abad telah lama bertanya, “Pendidikan ini hakikatnya untuk siapa?
Sekolah ini untuk siapa? Universiti ini untuk siapa?”
Saya ingat,
ada satu buku yang saya kira sangat baik untuk dibaca oleh para pendidik dan
oleh semua orang umumnya. Buku ini berjudul The New Meaning of Educational
Change, Makna Baharu Perubahan Pendidikan, dikarang oleh seorang sarjana
bernama Michael Fullan.
Buku ini
berjaya meneroka semula idea-idea pendidikan dan memberikan formula bagaimana
idea-idea itu mampu dipugar dari masa ke masa. Dan diantara idea-idea besar
yang perlu dibangunkan semula ialah mengembalikan semula institusi
pendidikan kepada masyarakat.
Maknanya,
hala tuju, framework, kiblat pendidikan mestilah ke arah menyelesaikan
masalah masyarakat setempat. Masyarakat mesti menjadi nukleus kepada makna
kewujudan sesebuah universiti.
Hanya dengan
cara ini sahajalah, pendidikan boleh menjadi cause of the social change.
Dan di dalam masyarakat pascamoden ini, seperti kata seorang sarjana bernama
Hargreaves, tidak sempurna pendidikan tanpa bergabung bersama masyarakat.
Sebab itu di
era ini, kita mahu gerakkan idea ini secara agresif. Kita mahu segera bergerak
ke arah indigenization (pemperibumian) pendidikan. Kita mahu akrabkan
pendidikan dengan masyarakat. Segala jenis penyelidikan, program, konvensyen,
kongres, semuanya mestilah bersifat menyelesaikan masalah masyarakat.
Budaya Ilmu Sebagai ‘Geist’ Kewujudan Universiti
Selain mengembalikan fungsi universiti kepada
menyelesaikan masalah masyarakat, kita juga harus sama-sama mengembalikan
‘geist’ kewujudan sesebuah universiti, iaitu budaya ilmu.
Di dalam mana-mana kelompok bertamadun, orang-orang
berilmu akan diangkat dan dijadikan rujukan. Hatta di dalam masyarakat primitif
sekalipun, tukang tilik juga akan dirujuk. Apatah lagi di zaman moden, tentunya
profesor-profesor dan tuan guru pondok (dalam aliran ilmu tradisional) tetap
akan diangkat dan dijadikan rujukan oleh masyarakat.
Dan di dalam atmosfera Malaysia Baru, ruang wacana
awam telah dikembalikan dan harus bergiat aktif di dalam memudiki pemikiran
rakyat terbanyak.
Universiti mesti diperkasa sebagai pentas wacana yang
meriah. Segala perbezaan dan ribuan ‘schools of thought’ yang ada mesti
diraikan dan dibincangkan secara sihat, malah ia mesti dihubungkan kepada
masyarakat.
Saya pernah menulis satu artikel berjudul “Peranan
Intelek Rausyan Fikir Dalam Ruang Demokrasi”. Saya jelaskan;
“Paksi para budiman dan intelek adalah kebenaran
berteraskan hujah dan nilai manusiawi yang universal. Mereka ialah pejuang
nilai, benteng kemanusiaan dan juga pendakwah keadilan dan kebenaran.” (Malik,
2014)
Apabila gerbang universiti telah dibuka seluas-luasnya
kepada semua, tugas para cendekiawan awam yang terdiri daripada ahli akademik
dan mahasiswa ialah mengisi kebebasan ini dengan wacana-wacana yang segar.
Mukaddimah: Cabaran dan Respons
Membebaskan semula wacana ini ke ruang awam ialah
aspek penting di dalam mengemudi kecerdikan masyarakat. Kita sering belajar
daripada sejarah, bagaimana kemajuan dan kejatuhan sesuatu peradaban itu diukur
daripada bagaimana sesebuah masyarakat menghadapi cabaran dalaman dan luaran,
dan bagaimana pula mereka memberi tindak balas (response) terhadap
cabaran tersebut.
Ada satu karya agung yang evergreen yang perlu
dibaca untuk memahami bagaimana respons dan cabaran ini berhubung kait antara
satu sama lain, iaitu adikarya Ibnu Khaldun yang berjudul “Mukaddimah”.
Saudara Hazman Baharom di dalam rencana beliau berjudul
“Peranan Cendekiawan Awam Dalam Mencerahkan Masyarakat” (yang telah dikumpulkan
di dalam buku “Renungan Kemasyarakatan) telah menulis;
“Seperkara penting yang terhasil daripada respons
sesuatu masyarakat kepada perkara di sekelilingnya ialah penerokaan ilmu yang
lebih meluas, dan kemudiannya menjadi penyuluh kepada kecerdikan masyarakat itu
sendiri.” (Baharom, 2016)
Tahap pemikiran masyarakat bergantung kepada setakat
mana wacana awam ini digerakkan; dan nakhoda penggerak wacana ini tidak lain
tidak bukan ialah universiti. Universitilah yang memandu kecerdikan masyarakat,
dan yang perlu memainkan peranan untuk mengeluarkan masyarakat daripada sindrom
ketidaktahuan dan ketidakpedulian terhadap ilmu ialah universiti.
Hal ini selari dengan pemberian autonomi-akauntabiliti
(sikap kebertanggungjawaban) kepada universiti. Universiti bebas menentukan
‘direction’ wacana ini dan bagaimana ia perlu benar-benar memandu pendidikan
masyarakat.
Saya mengucapkan terima kasih kepada ramai tokoh yang
akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke universiti, dan tokoh-tokoh itu
termasuklah ahli politik pembangkang.
Sama-samalah kita semua menghargai dan memanfaatkan
medan intelektual terbuka ini sebaiknya. Perbanyakkanlah wacana, debat, dialog,
forum yang bersifat intelektual dan mendidik serta menyelesaikan masalah
masyarakat.
Firman Allah SWT;
“Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang
beriman serta orang-orang yang berilmu pengetahuan sebanyak beberapa darjat.”
(Quran, 58:11)
Artikel ini ditulis khas untuk menerangkan
beberapa pencapaian yang, dengan izin Allah, kami capai setelah setahun
Kementerian Pendidikan Malaysia ditadbir di bawah kerajaan Pakatan Harapan.
Pencapaian
ini tidaklah sempurna, jauh sekali menyelesaikan keseluruhan perkara. Tetapi
pencapaian yang diperolehi ini akan menjadi permulaan yang baik. Masih banyak
kerja yang perlu kami langsaikan. Masih banyak harapan rakyat yang perlu kami
tunaikan. Saya yakin, sekiranya mandat rakyat yang menjadi hadaf pergerakan,
kerja keras ini akan membuahkan hasilnya.
Leo
Tolstoy pernah menyebut; “The sole
meaning of life is to serve humanity.”
Pada 31 Mac 2019, Berita Harian telah
melaporkan kisah seorang pelajar cemerlang yang miskin tetapi bercita-cita
tinggi. Kisah adik Abdul Manaf Abdul Aziz yang datang dari keluarga kurang
berkemampuan tetapi mendapat keputusan cemerlang 10A dalam peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 adalah contoh bagaimana anak-anak dari keluarga
berpendapatan rendah juga boleh berjaya dengan cemerlang jika diberi peluang.
Di
dalam laporan tersebut beliau mengucapkan;
“Impian saya untuk menjadi doktor
walaupun peluang untuk melangkah ke menara gading masih samar kerana kesempitan
hidup.
“Saya ingin membela nasib keluarga
yang hidup serba kekurangan… ayah saya, Abdul Aziz Osman, 60, hanya bekerja
kampung dengan pendapatan tidak menentu dan sentiasa berusaha membesarkan kami
lima beradik.
“Kesungguhan saya untuk membuktikan
bahawa kami juga mampu berjaya jika diberi peluang,”
Kisah
seperti ini diceritakan kepada kita semua hampir setiap hari di seluruh negara.
Untuk keluarga berpendapatan rendah dan B40, pendidikan berkualiti adalah
sebuah impian yang mustahil kerana kekangan ekonomi yang meruncing.
Teras
1: Manfaat Untuk Pelajar B40
Ada 9
teras pencapaian Kementerian Pendidikan Malaysia setelah setahun Pakatan
Harapan mentadbir. 9 teras ini merangkumi 9 kelompok rakyat yang ingin kami
berikan tumpuan.
Pertamanya,
untuk mewujudkan keseimbangan dan kesetaraan akses terhadap pendidikan agar
tiada mana-mana golongan yang tersisih, kami memberikan tumpuan yang penuh
terhadap warga B40 atau mereka yang kurang berkemampuan.
Selain
daripada memperuntukkan 60% kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan
program matrikulasi, mulai tahun ini, mereka juga mempunyai laluan khas untuk
masuk ke Universiti Awam dan akan mendapat tawaran biasiswa dan bantuan
kewangan. Inisiatif ini telah memberikan manfaat kepada 23,895 pelajar yang
miskin dan kurang berkemampuan.
Saya
percaya, kejayaan akan menerpa buat sesiapa sahaja jika ruang diberikan
seluas-luasnya. Kata Penulis Perancis Albert Camus, “Freedom is nothing else, but a chance to be better”.
Teras
2: Guru Sebagai Fokus Utama
Teras kedua ialah guru sebagai fokus
utama. Kita akui guru merupakan adiwira perubahan yang sebenar dan suara
keluhan mereka tidak boleh sesekali diabaikan.
Di
bawah teras ini, ada dua fokus yang kami berikan penekanan. Satunya ialah isu
kebajikan guru. Buat masa ini, KPM sedang giat mengadakan perbincangan dengan
semua pihak untuk segera menggubal Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan
dan kebajikan guru ketika membawa murid keluar sekolah.
KPM
juga dalam usaha mengukuhkan fungsi dan peranan yang dimainkan oleh Jemaah
Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) untuk turun ke sekolah-sekolah dan mengajar
bagi membantu memberikan panduan kepada guru dan pihak sekolah bagi memastikan
kualiti pengajaran dan pembelajaran murid-murid.
Fokus
kedua ialah beban guru. Saya akui, ini merupakan cabaran yang sangat besar dan
harapan yang begitu menggunung daripada para guru.
Bermula
pada tahun ini, lima inisiatif dan sembilan intervensi telah dirangka untuk
mengurangkan bebanan guru. Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk mengatasi
pertindihan tugas guru supaya guru-guru dapat memberikan fokus yang lebih pada
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, dan sekali gus mempunyai
lebih banyak facetime (waktu berinteraksi)
dengan anak-anak untuk mendidik dan menggilap potensi mereka.
Selain
daripada lima inisiatif itu, kami juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif
jangka panjang yang melibatkan isu lebih kompleks dan memerlukan kajian semula
dasar dan peraturan sedia ada, penambahbaikan infrastruktur fizikal ICT serta
pengoptimaan perjawatan dan pengisian sumber manusia di sekolah.
Ini
termasuklah isu berkaitan waktu kerja guru, capaian Internet di sekolah,
integrasi sistem maklumat, peranan pentadbir dan anggota kumpulan pelaksana dan
agihan guru di sekolah.
Imam
Asy-Syafi’I Rahimahullah Ta’ala di dalam Diwan
beliau pernah berkata:
“Bersabarlah atas pedihnya ketegasan seorang guru
Sungguh suatu kegagalan untuk mendapatkan ilmu, jika kita
menjauhinya
Dan sesiapa yang tidak merasakan pedihnya belajar sesaat
Akan menelan hinanya kebodohan sepanjang hayat.”
Teras 3: Murid Sebagai Tonggak
Elemen teras dalam pendidikan ialah
murid. Justeru, teras ketiga ini kita berikan perhatian penuh kepada murid. Kami
bermula dengan penekanan terhadap pendidikan anak-anak tahap 1 dengan
memansuhkan semua peperiksaan ke atas mereka. Kami mahu mereka ke sekolah
dengan gembira dan membuak-buak perasaan ingin tahu. Mereka perlu belajar tanpa
tekanan dan paksaan. Dunia adalah sekolah pembelajaran bagi mereka.
Kita
berhasrat agar proses PdP menjadi sebahagian daripada pembelajaran ceria (fun learning) yang akan membantu proses
pencernaan ilmu dalam jiwa murid-murid.
Malahan,
ini juga merupakan salah satu usaha agresif untuk kita mula bergerak ke arah
paradigma student-centered learning
atau pembelajaran berasaskan murid.
Dan
kepada anak-anak terpinggir khususnya anak-anak warganegara Malaysia tanpa
dokumen, tahun pintu sekolah telah dibuka buat mereka seluas-luasnya. Sehingga
hari ini sahaja, seramai 2,635 anak-anak telah mengikuti sesi persekolahan.
Prinsip
kami jelas, pendidikan ialah hak setiap kanak-kanak tidak kira di mana sahaja
mereka berada dan dari mana sahaja mereka datang.
Sebelum
ini, mereka terbiar di jalanan dan dinafikan hak pendidikan. Pendidikan akan
menyelamatkan anak-anak ini, dan keseluruhan generasi mereka daripada terlibat
dengan jenayah dan gejala sosial. Malah, inisiatif ini juga akan memberikan
impak yang sangat besar kepada masyarakat dalam jangka masa yang panjang.
Hal
ini selari dengan program sifar keciciran murid yang telah KPM jalankan melalui
Program rintis Sifar Murid Cicir (PSMC). Melalui program ini, sebanyak 26.1
peratus, iaitu 262 orang murid di sekolah menengah telah kembali ke sekolah.
Telah sekian lama, 262 pelajar ini telah berputus asa terhadap pendidikan
mereka dan inisiatif ini membuka semula gerbang harapan buat mereka.
Di
sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada warga KPM yang telah
mencetuskan idea ini dan juga terima kasih kepada JPN & PPD. Terima kasih
juga kepada para guru yang telah terlibat menjayakan usaha ini.
Saya
tahu, ramai yang telah gigih berusaha untuk menjayakan inisiatif sehingga
mereka telah melawat ke setiap 262 buah rumah ini untuk mengundang mereka
kembali ke sekolah. Begitulah besarnya tugas seorang pendidik yang perlu
bekerja bukan sahaja di dalam bilik darjah, tetapi sehingga ke rumah-rumah,
hanya untuk memastikan agar pendidikan ini sampai kepada anak-anak kita semua.
Hasrat
KPM jelas. Kami mahu terus memperkasakan konsep keterangkuman pendidikan (inclusive education) di bumi Malaysia
yang bertuah ini.
Firman
Allah SWT di dalam Surah al-Ma’idah ayat 2: “Dan
tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan
tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan…”
Teras
4: Komitmen Tangani Isu Sekolah Daif
Di
samping cuba bergerak ke arah pendidikan yang kalis masa depan (futureproof) dengan mengambil kira
keperluan menghadapi gelombang Revolusi Industri 4.0, KPM tidak akan sesekali
mengabaikan keperluan rakyat yang paling hakiki, iaitu infrastruktur dan
prasarana yang baik untuk pendidikan anak-anak kita.
Oleh
itu, teras keempat iaitu komitmen menangani sekolah daif menjadi antara tumpuan
paling besar KPM dan saya sendiri ketika mula menjejakkan kaki ke sini. Di
pejabat saya sendiri, saya minta diwujudkan dashboard
(papan pintar) untuk saya meninjau secara langsung tentang perkembangan
pembangunan sekolah daif di seluruh Malaysia.
Daripada
394 buah sekolah daif, 301 daripadanya telah siap dengan CPC dan 93 dalam
pelbagai peringkat pelaksanaan. Manakala 107 buah lagi adalah dalam pelbagai
peringkat pelaksanaan dan dijangka akan diselesaikan di penghujung tahun ini.
Apa
ertinya bercakap tentang Revolusi Industri 4.0 sedangkan bumbung
sekolah-sekolah ini bocor, lantai retak dan berlubang, dinding punah dan
merekah, yang mana ia sangat tidak selamat untuk murid dan guru. Saya yakin,
dengan menyelesaikan isu ini secara tuntas, barulah adil untuk kita bercakap tentang
futureproofing anak-anak, ketika
sekolah daif ini setara dengan sekolah di Kuala Lumpur.
Dalam
masa yang sama, khusus untuk sekolah-sekolah daif di Sarawak, saya ingin
mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas RM1 Bilion yang akan
diperuntukkan khas untuk menangani isu sekolah daif di Sarawak.
Teras
5: Perhatian Penuh Kepada OKU
Teras
kelima juga antara perkara yang sangat besar dan akan sering diberikan tumpuan.
Mereka, Orang Kurang Upaya atau Murid Berkeperluan Khas (MBK) sentiasa mendiami
di relung hati saya yang paling dalam.
Mulai
tahun ini, KPM telah melaksanakan Dasar Sifar Penolakan (Zero-Reject Policy) bagi memastikan tiada lagi kanak-kanak
istimewa ini terpinggir daripada mendapat hak pendidikan yang sewajarnya.
Awal
Januari lalu, kami dapati seramai 1,486 kanak-kanak MBK yang tidak membuat
pendaftaran awal secara dalam talian telah hadir ke sekolah untuk mendaftar
secara manual. Jumlah ini terus meningkat sehingga mencecah angka 10,948 pada 8
April 2019.
Peningkatan sebanyak 10 kali ganda ini
merupakan satu kejayaan yang sangat besar dan hakikatnya peluang pendidikan dan
masa hadapan yang cerah telah disedaiakan kepada 10,948 orang Murid
Berkeperluan Khas di seluruh negara!
Dalam
masa yang sama, ingin saya nyatakan bahawa para pelajar OKU juga akan mendapat
laluan khas untuk ke Universiti Awam. Semua Universiti Awam juga sedang
merangka polisi mesra OKU di kampus masing-masing, dan ianya akan diperkenalkan
juga kepada IPTS di seluruh negara.
Yang
pasti, kami tidak mahu lagi kelompok OKU ini tercicir dan malah, mereka
hakikatnya mempunyai peranan yang penting dan mampu memberikan impak yang
sangat besar kepada masyarakat. Bak kata Rumi, “Stop acting so small, you are the universe in ecstatic motion.”
Teras
6: Kewibawaan Institusi Pendidikan Tinggi
Ada
tujuh inisiatif yang telah KPM laksanakan di bawah teras ini, iaitu; (1)
Pemansuhan Seksyen 15(c) AUKU yang merupakan prelude kepada pemansuhan akta
berkenaan pada tahun 2020 nanti untuk digantikan dengan akta yang lebih
komprehensif, (2) Pilihan Raya Kampus yang telah dikendalikan oleh mahasiswa
sendiri buat kali ke seterusnya semenjak 30 tahun yang lalu, (3) Penubuhan
Kesatuan Pelajar (Students’ Union).
Dalam
masa yang sama, (4) 5 Oktober setiap tahun kita tetapkan sebagai Hari Akademia,
berdasarkan cadangan dari para akademik sendiri sebagai menghargai jasa para
akademik kita di menara gading, (5) gerbang IPT
dibuka seluas-luasnya untuk wacana, forum dan perdebatan ilmiah oleh mana-mana
tokoh sarjana dan ahli politik.
(6) Peruntukan sebanyak RM455.35 juta
bagi tujuan dana penyelidikan, iaitu peningkatan lebih 100 juta dari tahun
sebelumnya, dan yang terakhir, (7) ialah mengangkat suara mahasiswa dengan
penyertaan wakil mahasiswa di dalam proses membuat keputusan di universiti.
Kebebasan,
integriti, keunggulan sesebuah universiti merupakan tunjang kepada keutuhan
masyarakat. Apakah erti kertas-kertas jurnal penyelidikan yang kita terbitkan,
ketika masyarakat masih dibelenggu dengan masalah sosial yang meruncing. Apakah
makna gelaran profesor dan pingat kebesaran ketika rakyat masih tersepit dengan
masalah ekonomi yang sangat rumit. Apakah nilai berada di ranking yang tinggi ketika siswa dan siswi di dalam kampus sendiri,
perutnya berkeroncong kelaparan, dan masyarakat sekelilingnya pula bergelumang
dengan kesengsaraan sebagai warga miskin kota.
Di
sinilah ingin saya tekankan, KPM sedang menentukan kiblat universiti berubah ke
arah menyelesaikan masalah masyarakat. Universiti mesti berupaya menjadi ejen
sosial yang memandu wacana masyarakat. University
is for the society.
Teras
7: Peningkatan Kerjasama Dalam Pendidikan Tinggi
Kementerian
Pendidikan Malaysia juga telah menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak
untuk tujuan pendidikan, khususnya pendidikan tinggi. Untuk teras ketujuh ini
yang melibatkan IPTS misalnya, kami telah menjalankan libat urus yang meluas
dan telah merangka roadmap (pelan
tindakan) khas IPTS.
Buat
pertama kalinya, IPTS dijadikan sebagai rakan kongsi KPM di dalam merangka
polisi-polisi berkaitan mereka. Dengan langkah ini, IPTS bukan lagi menjadi
penerima polisi yang dikenakan ke atas mereka semata-mata, malah kini menjadi
sebahagian daripada golongan yang merangka polisi tersebut.
Dalam
masa yang sama, kami juga sedar tentang kewujudan IPTS-IPTS Bumiputera yang
memerlukan bantuan kerana terpaksa bersaing secara handicap dengan IPTS-IPTS gergasi dan well-established di pasaran pendidikan. Oleh hal yang demikian,
sesi libat urus telah kami mulakan dengan IPTS Bumiputera untuk melihat isu ini
secara teliti.
Di samping
itu, antara aspirasi yang kita akan perkasakan lagi ialah pengantarabangsaan
pendidikan tinggi. Antara negara-negara yang telah dilibatkan secara mendalam
ialah United Kingdom, Jepun, Jordan, Perancis, China, Maghribi, Indonesia, UAE,
Qatar dan baru-baru ini, Brunei.
KPM
juga dalam proses menandatangani lebih banyak MOU supaya kerjasama global dalam
pendidikan tinggi dapat ditingkatkan. KPM juga mensasarkan visi menjadikan
Malaysia sebagai hub pendidikan serantau dalam bentuk yang lebih agresif. Kita
ingin menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi para pelajar
pendidikan tinggi dari seluruh dunia.
Ya, saya
sedar ada banyak kekangan dan isu yang perlu kami selesaikan, seperti terdapat red tapes dan kerenah birokrasi samada
di dalam KPM sendiri mahupun dengan pihak imigresen. Bagi menangani isu ini, kami
sedang memperkasakan Bahagian Education Malaysia (BEM) dan Education Malaysia
Global Services (EMGS), serta sentiasa berkomunikasi dengan pihak imigresen.
Teras
8: Pendidikan Tenikal dan Latihan Vokasional (TVET)
Untuk TVET pula yang menjadi teras
kelapan, KPM telah tubuhkan Jawatankuasa Pemerkasaan TVET pada 21 Jun 2018 yang
lalu, bertujuan untuk memperkasa pendidikan dan hala tuju TVET.
Dan sehingga hari ini, buat pertama
kalinya, kami telah berjaya melaksanakan Sistem Jaminan Kualiti Tunggal
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional iaitu laluan fleksibel bagi artikulasi TVET sehingga ke tahap 6 dan
7.
Sistem
ini juga merupakan sistem tunggal yang akan diguna pakai oleh Agensi Kelayakan
Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam mengakreditasi
program TVET yang ditawarkan oleh institusi TVET awam dan swasta berdasarkan
Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
Dalam
masa yang sama, kerjasama yang erat antara Kolej Vokasional, Politeknik, Kolej
Komuniti dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia dari segi sumber,
peralatan, fasiliti, tenaga pengajar dan kepakaran sedang giat dijalankan.
Tidak
dilupakan, sekarang juga kami sedang berusaha untuk menubuhkan Centre of Excellence (Pusat
Kecemerlangan) setempat TVET di seluruh negara.
KPM
komited untuk memperkasakan institusi TVET ini kerana kita semua tahu, masalah
pengangguran ialah masalah yang sangat kritikal sekarang, dan institusi TVET
ini akan menjadi salah satu pintu keluar daripada masalah ini.
Teras
9: Pemerkasaan Bahasa, Budaya dan Sastera
Teras
terakhir iaitu teras kesembilan ialah pemerkasaan terhadap isu-isu bahasa,
budaya, dan sastera. Hal ini sangat berkait rapat dengan Dewan Bahasa dan
Pustaka, Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Majlis Buku Kebangsaan
Malaysia, Perbadanan Kota Buku; serta semua pihak yang terlibat dalam
mencerdikkan akal budi bangsa melalui bahasa dan sastera.
Sehingga
kini, kami telah menjalankan program Sasterawan di Universiti. Di mana para
sasterawan ditempatkan di universiti-universiti. Program seumpama ini juga akan
diperluaskan di politeknik-politeknik dan IPG-IPG seterusnya disemarakkan pula
di sekolah-sekolah.
Ini
bertujuan untuk mengangkat kembali tokoh Sasterawan Negara kita agar lebih visible di mata masyarakat.
Kami
juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030. Untuk
tujuan ini, kami jalankan Kempen Dekad Membaca Kebangsaan dengan lebih 36,000
kegiatan telah dirancang di seluruh negara.
Semalam
sahaja, saya telah melancarkan suatu inisiatif yang baik daripada Institut
Terjemahan & Buku Malaysia yang telah menjalankan kolaborasi dengan Pejabat
Pos Malaysia bagi membuka sudut buku di semua cawangan Pejabat Pos di seluruh
negara.
Buat
masa ini, ingin saya maklumkan kepada semua, kami sedang dalam proses merangka
Dasar Buku Negara dan Dasar Sastera Kebangsaan, dan menyemak semula Dasar
Bahasa Kebangsaan bagi membolehkan kegiatan-kegiatan bahasa, budaya dan sastera
di negara kita lebih meriah dan berkesan.
Nilai Tambah: Kementerian Bersih
Selain daripada sembilan teras yang
menjadi tunjang setahun pencapaian Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah
pentadbiran Pakatan Harapan ini, ada satu nilai tambah yang ingin saya utarakan
dan perlu diberikan perhatian, iaitu kementerian bersih atau kementerian bebas
korupsi.
Saya
ingin pastikan KPM tidak lagi menjadi ruang untuk sesetengah pihak mengambil
kesempatan untuk menjana keuntungan peribadi. Proses perolehan, tender,
projek-projek, akan dijalankan dengan tatacara yang telus dan penuh dengan
pengawasan.
Dalam
masa yang sama, kami akan terus memastikan segala kes-kes jenayah rasuah dan
korupsi terdahulu disiasat dengan adil dan segera, dan kami komited untuk
memastikan tiada lagi kes-kes tersebut berulang. Saya tidak mahu agenda
perubahan kita terbantut kerana barah yang sangat merbahaya ini.
Tekad
ini selaras dengan hasrat KPM dan juga kerajaan untuk menjadikan Malaysia
sebagai negara berintegriti dan bersih rasuah. Hal ini sangat terbukti apabila
Januari lalu, Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018 menunjukkan Malaysia
meningkat satu anak tangga di tangga 61 daripada 180 buah negara berbanding
kedudukan ke-62 pada tahun 2017.
Terima kasih Warga KPM dan Rakyat
Malaysia
Saya percaya, sembilan teras ini akan
menjadi batu loncatan untuk kami terus bergerak dan bekerja. Amanat rakyat yang
kami tanggung adalah nadi kekuatan kami.
Di
kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih sebanyak-banyaknya kepada
keluarga saya warga Kementerian Pendidikan Malaysia dan semua pihak kerana
menumpahkan segenap usaha dan kegigihan bagi menjayakan agenda perubahan ini.
Agenda pemerkasaan dan reformasi pendidikan ini ialah agenda bersama, agenda
keluarga besar Kementerian Pendidikan Malaysia.
Dan
tidak sesekali dilupakan, adiwira sebenar kepada semua kejayaan ini, iaitu
rakyat Malaysia keseluruhannya. Terima kasih kerana memulakan suatu langkah
perubahan yang sangat penting, iaitu turun mengundi pada 9 Mei 2018 yang lalu.
Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan.
Ernest
Hemingway pernah menyebut, “Every man’s
life ends the same way. It is only the details of how he lived and how he died
that distinguish one man from another.”
Di sini saya ingin lampirkan sehelai
surat yang diberikan kepada saya oleh seorang individu yang hanya mahu dikenali
sebagai Puan Rukiah;
Kepada warga KPM,
Sebagai seorang ibu, saya amat concern
tentang pendidikan negara kita. Sejak kerajaan bertukar, harapan setiap orang
pastinya tinggi. Kita melihat di mana-mana orang bercakap tentang pendidikan.
Ramai yang mengambil berat. Bagi saya ini kejayaan yang pertama. Mengembalikan
harapan rakyat.
Memang tak semua orang mampu bersabar.
Kita cuma perlukan semalam untuk runtuhkan negara, tetapi kita perlukan
bertahun lamanya untuk bina balik negara. Orang tak faham tentang itu. Orang
tak faham yang Rom tak dibina dalam satu hari.
Anak-anak saya, setiap pagi mereka
seronok pergi sekolah. Dua orang anak saya ni tahun 1 dan tahun 3. Sebab tak ada
exam. Mindset mereka pun dah berubah. Pergi sekolah sebab nak belajar. Ada
banyak games dan aktiviti katanya. Tak ada tekanan dan paksaan.
Saya berbual dengan cikgu-cikgu.
Mereka rata-ratanya gembira. Mereka kata ini pertama kali menteri banyak
address mereka dan mereka pun bebas bersuara. Cuma beban guru masih banyak tapi
bila saya terangkan yang hujung tahun ni baru selesai semua, mereka pun faham.
Harapan saya buat semua anggota KPM,
teruskanlah bekerja. Buat yang terbaik untuk negara. Usahalah bersungguh-sungguh.
Anda semua bagi saya, wira negara. Doa saya bersama anda semua, sentiasa.
Daripada saya: Puan Rukiah, Seorang
Ibu dan Seorang Rakyat Biasa.
Saya
sentiasa berpesan kepada warga KPM, setiap usaha yang dicurahkan setiap hari
mungkin kelihatan kecil, tetapi lihatlah bagaimana ia telah memberikan kesan
yang sangat besar kepada anak-anak, guru-guru dan ibu bapa seperti Puan Rukiah
ini.
Sekali
lagi, terima kasih kepada warga KPM semua. Terima kasih kepada semua dan terima
kasih kerana tidak putus asa dan terus memberikan yang terbaik untuk negara.
Sempena
Hari Guru pada 16 Mei yang amat bermakna hari ini, saya merakamkan ucapan
setulus penghargaan kepada semua guru di mana jua anda berada. Terima Kasih
Cikgu atas segala jasa, bakti dan sumbangan yang diberikan.
Mewakili
seluruh warga Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya para pendidik, saya merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Tun Dr. Mahathir bin
Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang disanjungi dan dikasihi kerana sudi
hadir meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan dan seterusnya
merasmikan majlis tersebut.
Sesungguhnya
kehadiran YAB Perdana Menteri bersama-sama kami membuktikan keprihatinan, pengiktirafan
dan penghargaan Kerajaan terhadap peranan dan sumbangan guru dalam pembinaan
negara yang kita cintai.
Pencapaian Yang Membanggakan
Saya
berhasrat untuk meluahkan penghargaan yang sekian lama terbuku di hati saya
buat guru yang telah memberikan impak yang sangat signifikan dan bermakna dalam
sejarah profesion keguruan negara kita.
Kita sangat berbangga atas kejayaan guru di
peringkat antarabangsa iaitu guru cemerlang dari Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Panji, Cikgu K A Razhiyah Mohamed Khutty, yang telah menerima Anugerah Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019 di Persidangan Special
Education Network and Inclusion Association (SENIA) di Hong Kong pada 24 Februari lalu.
Beliau juga tersenarai antara 50 guru dunia dalam anugerah Hadiah Guru
Global 2018 anjuran Yayasan Varkey, di London, United Kingdom (UK). Tahniah
Cikgu K A Razhiyah!
Saya
bagi pihak KPM juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu Dr. Muhamad Khairul Anuar
bin Hussin, SMK Taman Universiti 2, Johor Bahru, Johor yang menjadi wakil tunggal negara tersenarai Top 40
finalists dalam Global Teacher Prize 2019. Beliau yang bertugas sebagai Guru Penolong Kanan
Pendidikan Khas, antaranya telah menganjurkan program intervensi awal
membabitkan kunjungan ke rumah keluarga OKU di beberapa daerah di Johor.
Program itu adalah inisiatif beliau yang bertujuan memberi penerangan mengenai
keperluan dan peluang pendidikan kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU.
Tahniah Cikgu Dr. Muhamad Khairul Anuar. Semoga kejayaan ini akan
memberi inspirasi kepada semua guru lain.
Selain
ibu bapa, golongan guru dianggap individu penting yang banyak membantu murid
sehingga berjaya ke peringkat tertinggi. Di sebalik kejayaan murid dalam
sesebuah pertandingan, tentu ada seseorang yang paling banyak berkorban
segalanya dalam memastikan murid itu berjaya. Terima kasih kepada semua guru
yang telah memberi sumbangan besar atas kemenjadian murid dalam;
Anugerah Top in the World dari Cambridge
Assessment International Education yang telah diterima oleh pelajar
sains dari Kolej Universiti KDU Pulau Pinang, Teh Yu Xuan kerana mendapat
markah penuh dalam kertas matematik A-Level. Outstanding Cambridge Learner
Awards adalah anugerah yang diperkenalkan oleh pihak Cambridge
Assessment sejak tahun 2004 yang mengiktiraf pencapaian pelajar mengikut
subjek.
Tahinah
juga saya ucapkan kepada guru-guru dan warga sekolah Labuan International
School yang telah terpilih mewakili Malaysia di World Robotic Olympiad di
Chieng Mai pada November 2018.
Tidak
dilupakan, kepada tiga pelajar SMK Kuala Besut yang telah mengharumkan nama
Malaysia melalui projek persembahan mereka yang bertajuk ‘100 Perkara Mengenai
Sains Nuklear dan Kehidupan (100 Things About Nuclear Science And Life)’. Siapa
sangka sebuah perkampungan nelayan di Besut mampu melahirkan juara dunia dalam
Pertandingan Pembangunan Sumber Manusia untuk Tenaga Nuklear yang diadakan di
Gyeongju, Korea Selatan pada 30 Mei 2018.
Lebih
istimewa, dua daripada tiga pelajar tersebut adalah anak kampung yang nekad
mahu mencipta sejarah dunia dalam pertandingan itu. Terima kasih dan tahniah
kepada Guru Penyelaras Projek ini, Cikgu Wan Zul Azri Wan Mohd. Shatar atas
kejayaan tersebut.
Saya
dan Pihak KPM sangat berbangga di atas kejayaan dan pencapaian yang diraih oleh
mereka. Mereka merupakan contoh adiwira yang sentiasa sahaja mahu melakukan
sesuatu lebih daripada kebiasaannya, seperti kata pepatah “ada biduk, serempu pula” atau
sentiasa sahaja “angan-angan
menerawang langit.”
Hang Tuah Berguru
Saya
ingin memetik cebisan kisah epik sekali gus menyelusuri akar sejarah dan
hikayat bangsa, kisah tentang Hang Tuah dan guru-gurunya.
Sekiranya
kita membaca sebuah karya agung turun-temurun, iaitu Hikayat Hang Tuah, kita
akan mengetahui kisah perjalanan Hang Tuah yang penuh dengan kehebatan dan
tragedi, namun jarang kita mengenali bagaimanakah Hang Tuah menjadi seorang ‘Hang
Tuah’. Dan mungkin kita juga tidak menyedari, betapa seorang Hang Tuah bukanlah
siapa-siapa tanpa guru-gurunya.
Ilmu
kepahlawanan hanya sebahagian daripada ilmu-ilmu yang Hang Tuah kuasai. Jika
kita boleh pecahkan, ada tiga bidang ilmu yang Hang Tuah kuasai. Satunya, ilmu
kepahlawanan. Dua, ilmu firasat; termasuklah ilmu sains dan strategi
peperangan, dan yang ketiganya ialah ilmu agama.
Setiap
daripada ilmu ini ada gurunya. Ilmu kepahlawanan, adalah ilmu yang paling awal
Hang Tuah belajar daripada gurunya yang bernama Aria Putera, atau digelar orang
sebagai Sheikh Wali Lanang. Sheikh Wali Lanang ini telah menitipkan nasihat
yang sangat penting buat perjalanan hidup berguru Hang Tuah, beliau berpesan
kepada Hang Tuah:
“Hai
cucuku Hang Tuah, aku ini tiga bersaudara, yang muda menjadi pegawai, Raden
Aria Sina, di Majapahit. Yang tua itu duduk bertapa di Gunung Wirana Pura,
namanya Sang Persanta Nala. Ada pun cucuku, kala datang umur dua puluh tiga
tahun, engkau pergi ke Majapahit, jangan tiada engkau berguru padanya, kerana
saudaraku itu banyak ilmunya daripadaku, kerana ia dari kecil bertapa. Tidak
merasai dunia (tidak merasai hal-hal keduniaan).”
Atas
nasihat inilah, Hang Tuah terus mengembara mencari Sang Persanta Nala. Hang
Tuah pernah menceritakan tentang gurunya Sang Persanta Nala ini. Kata Hang
Tuah;
“Maka
Laksamana dan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu pun diajar oleh
Sang Persanta Nala akan ilmu segala penjurit (kepahlawanan) dan hulubalang,
tetapi terlebih juga Laksamana, diajarnya pelbagai ilmu dan syarat hulubalang
dan ilmu penjurit itu, kerana Laksamana, selama duduk di gunung itu, tiada ia
tidur dan makan, dan tiada ia bercerai dengan Sang Persanta Nala itu, barang
dipintanya oleh Laksamana diberinya oleh Sang Persanta Nala. Sang Persanta Nala
pun terlalu suka dan kasih akan Laksamana.”
Melalui
dua orang guru ini, Hang Tuah menjadi ‘Hang Tuah’ seperti yang kita kenali. Dan
ini menggambarkan betapa berakarnya tradisi berguru dalam nuansa sejarah-budaya
masyarakat kita. Baik Sulalatus Salatin
sehinggalah Hikayat Hang Tuah, elemen berguru itu sentiasa diangkat malah
menjadi leluhur yang sangat penting.
Guru Dalam Pelbagai Tradisi
Sebutlah
dari tradisi mana sekalipun, seorang guru tetap adiwira terulung nan disanjung
senantiasa. Kita mengenal Confucius misalnya dalam tradisi Cina yang mempunyai
ribuan murid malah menjadi seorang cendekiawan yang ulung sehingga hari ini.
Dan
sebelum saya terlupa, perkataan gu-ru yang kita sebut hari ini juga sangat
sinonim dalam tradisi falsafah Hindu kerana perkataan ini berasal dari bahasa Sanskrit.
Gu bermaksud kegelapan dan Ru bermaksud yang
menyelamatkan seseorang dari kegelapan. Disebabkan makna inilah, perkataan
guru merujuk kepada insan yang mencerahkan, yang memberi cahaya, ilmu,
petunjuk, teladan dan hikmah, malah seorang guru jugalah yang menabur makna
dalam kehidupan kita semua.
Seorang
penyair Arab, Asy-Syauqi pernah menuturkan suatu syair yang maha indah tentang
guru. Kata Asy-Syauqi:
“Bangunlah dan sambutlah seorang guru, lalu berikanlah
penghormatan terhadapnya. Percayalah, hampir-hampir sahaja seorang guru itu
menjadi seorang Rasul.”
Tinggi
sekali darjat seorang guru sehingga bagi Asy-Syauqi, hampir-hampir sekali
seorang guru itu menjadi seorang Rasul. Begitulah berharganya seorang guru di
hati kita semua. Sesungguhnya, guru adalah nadi penggerak utama yang sentiasa
berkorban tenaga dan masa hanya kerana mahu memastikan setiap daripada kita
tidak mendewasa dengan kejahilan.
Beban Guru: Inisiatif Terkini
Sebagai
Menteri Pendidikan, sehingga ke hari ini, saya sendiri mendapat beribu
pandangan berkaitan masalah beban guru yang saya tahu isunya sangat meruncing.
Awal tahun ini sahaja kita sudah memulakan inisiatif ini secara agresif dan
kita akan gerakkan lagi supaya masalah ini selesai secara tuntas.
Oleh
hal yang demikian, seperti semua sedia maklum bagi inisiatif jangka pendek,
semasa Majlis Amanat Tahun Baharu 2019, saya telah mengumumkan lima (5)
inisiatif untuk dilaksanakan seawal Januari 2019 yang berkuatkuasa serta-merta.
KPM
berharap, dengan adanya inisiatif baharu ini sedikit sebanyak dapat meringankan
tugas-tugas guru. Antara inisiatif yang telah diumumkan melibatkan
penambahbaikan pengurusan fail, pelaporan dan dokumentasi; penambahbaikan
proses pengurusan data dan sistem online, autonomi pelaksanaan linus dan
pentaksiran tahap 1, penyeragaman borang dan proses pemantauan serta
penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah.
Bagi
inisiatif jangka sederhana yang dilaksanakan bermula seawal Januari 2019
sehingga ke akhir tahun, ada beberapa isu yang akan ditangani, antaranya:
Bagi
mengurangkan isu beban tugas guru berkaitan pelaksanaan SKPMg2 di mana guru
perlu membuat semakan berkala terhadap tugas mereka dan menyediakan dokumen
atau eviden berkaitan tugas tersebut, Jemaah Nazir telah memperkenalkan
beberapa tindakan untuk menangani isu ini;
Pelaksanaan
Audit SKPMg2 oleh pihak Jemaah Nazir telah diberhentikan dan sekolah hanya
perlu melaksana audit kendiri bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan
masing-masing.
Fasa
semakan dan penilaian kendiri dibuka dua kali setahun iaitu pada bulan Januari
hingga Mac (Fasa 1) dan Ogos hingga November (Fasa 2) berbanding tiga (3) kali
sebelum ini. Sistem Online
sentiasa dibuka untuk dikemaskini dan pemantauan oleh PGB.
Bagi
isu pengawasan peperiksaan pada waktu cuti sekolah, bermula tahun 2019,
pengawasan peperiksaan SPM dilaksanakan secara dua fasa iaitu pada bulan
Oktober dan November iaitu semasa waktu persekolahan.
Bagi
analisis Peperiksaan Awam, Lembaga Peperiksaan juga telah mengambil inisiatif
dengan menyediakan analisis peperiksaan awam yang dijana secara automatik untuk
memudahkan sekolah mendapatkan maklumat tentang prestasi mata pelajaran dan
sekolah.
Bagi
mengatasi isu beban tugas berkaitan guru mengisi pelbagai maklumat kesihatan
murid iaitu mata, berat dan tinggi murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian
(BPSH) telah membina sistem Rekod Kesihatan Murid secara dalam talian (e-RKM).
Dalam sistem ini, guru tidak lagi mengisi data profil murid dan waris kerana
data tersebut dapat diperoleh daripada Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid
(APDM).
Bagi
isu kesukaran pelaksanaan Ujian Aptitud Tahun 3 di sekolah yang tiada guru
Bimbingan dan Kaunseling, pentaksiran tersebut telah dimansuhkan melalui
Surat Siaran KPM Bil. 14 Tahun 2018, selaras dengan pemansuhan pentaksiran
murid Tahap 1.
Bagi
memenuhi keperluan penggantian guru yang bercuti, cuti bersalin dan cuti sakit
melebihi 28 hari, sebanyak RM35.2 juta peruntukan guru ganti telah
disalurkan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri agar sekolah boleh
menggunakan khidmat guru ganti. Dari semasa ke semasa Kementerian akan terus
memohon peruntukan yang mencukupi untuk tujuan tersebut.
Bagi
inisiatif jangka panjang pula yang selewat-lewatnya akan dilaksanakan hujung
tahun ini, beberapa inisiatif telah dirangka termasuklah mengatasi masalah guru
terpaksa keluar atas beberapa faktor sehingga menyebabkan mereka sukar
memberikan penumpuan dalam bilik darjah.
Selain
daripada itu, Kementerian juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif jangka
panjang yang melibatkan isu yang lebih kompleks dan memerlukan kajian semula
dasar dan peraturan sedia ada, penambahbaikan infrastruktur dan infrastruktur
ICT, dan pengoptimaan perjawatan dan pengisian sumber manusia di sekolah.
KPM
berharap melalui pelaksanaan inisiatif yang melibatkan pengoptimaan perjawatan
dan pengisian sumber manusia di sekolah nanti, ianya dapat memastikan sekolah
dapat berfungsi secara maksimum serta agihan guru yang seimbang supaya tidak
berlaku kekurangan dan lebihan guru di sesebuah sekolah.
Dalam
masa yang sama, kita juga sangat prihatin terhadap kebajikan guru ketika
membawa murid keluar daripada sekolah. Oleh hal yang demikian, SOP
keselamatan guru juga telah siap disemak dan digubal secara menyeluruh,
antara inisiatif yang akan diberikan ialah Perlindungan Insurans Guru yang
akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan.
Saya
bersama-sama pengurusan tertinggi KPM sekali lagi merakamkan ucapan ribuan terima kasih
dan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan Sambutan
Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Pulau Pinang, 16 Mei
semalam.
Saya
menyeru kepada semua pihak berkepentingan agar terus memberi sokongan dan
bantuan kepada pihak guru dan sekolah sama ada daripada segi pandangan,
kemahiran dan sebagainya untuk melonjakkan prestasi pendidikan anak-anak kita.
Teruslah
memberi komitmen jitu demi memartabatkan sistem pendidikan negara agar menjadi
sistem yang terunggul di dunia. Semoga kerjasama erat dan padu serta sokongan
dari semua stakeholders akan meningkatkan taraf pendidikan negara untuk
kejayaan generasi masa hadapan dan kemajuan negara kita.
Sesungguhnya
program Majlis Sambutan Hari Guru dan Festival Guru 2019 yang buat
julung-julung kalinya paling terbesar kita anjurkan tahun ini mencerminkan
kesepakatan dan komitmen KPM dalam meraikan peranan dan sumbangan para guru
yang menjadi tulang belakang dalam mendidik anak bangsa bermula di peringkat
prasekolah dan rendah hingga lepasan menengah.
Akhir
sekali, saya lampirkan semula puisi ‘Obor Hemah’ karya A. Samad Said bagi sama-sama
menghayati kedalaman makna tema hari guru kita pada tahun ini yang
diinspirasikan dari puisi ini.
Guru adalah awan indah terbang rendah, melimpahkan
hujan pada musim gersang, menyegarkan
benih ilmu, berbuah hikmah; ia renjis
embun pada tanah bakat, suara ihsan
ketika manusia kalah, sepi yang
syahdu dalam dunia resah.
Guru – atap
ganti ketika pondok bocor, ketika
sejarah dalam bilik darjah, senyum
penyembuh bagi wabak sengsara, ia – sungai
rangsang sentiasa tenang, menghantar
bahtera ke segara dharma, memesan
angin menghikmahkannya.
Guru adalah
penelaah yang tekun, mewariskan
dunia sebagai kutubkhanah, menyediakan
kutubkhanah sebagai dunia, ia
mengemudi biduk, melepaskannya, atas lambungan laut, merangsangkan manusia
menyelami rahsia khazanahnya.
Guru –
minda segar dan kukuh akar, menghidupkan
batin yang bersih di daerah
dunia cemar kasih, dan pada
ketika tak tersangkakan, walau
diambilnya kembali semua buku, sempat
ditinggalkan asas ilmu.
Guru adalah batin suci hati nurani, penjunjung
budi, manusia yang takwa, obor hemah
kehidupan bangsa.
Pertanyaan pertama
yang dilontarkan oleh Maharaja Hirohito selepas Hiroshima dibom ialah berapa
banyak guru yang masih hidup?
Bukan pertanyaan
tentang berapa jumlah tentera, doktor, peguam, arkitek, jurutera yang mati atau
berapa kerugian material yang dialami.
Bila ditanya kenapa bertanya tentang guru? Jawab Hirohito, hanya guru yang boleh
melahirkan ribuan doktor, peguam, arkitek, jurutera untuk pembangunan semula
bangsa Jepun.
Justeru, pada tanggal 16 Mei setiap tahun, warga pendidik
akan diraikan sebagai menghargai jasa, sumbangan dan
pengorbanan mereka. Guru sentiasa berada di tempat yang istimewa di hati kita semua.
Jasa dan bakti guru
sukar untuk dibalas, namun sebagai imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru,
kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan profesion
keguruan.
Dalam konteks ini,
pelbagai anugerah dan penghargaan dalam perkhidmatan telah dirangka oleh pihak
Kementerian untuk mempertingkatkan profesionalisme keguruan. Ini termasuklah
mempromosi kejayaan guru di dalam dan di luar negara.
Guru: Obor Hemah
Menyinari Pertiwi
Tema hari guru pada
tahun ini ialah Guru: Obor Hemah
Menyinari Pertiwi yang menunjukkan
peri pentingnya peranan guru sebagai obor yang menerangi dunia pendidikan.
Sesungguhnya guru amat dipandang mulia dan berperanan penting dalam
membina dan membentuk kualiti anak didik dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan
intelek bagi memenuhi aspirasi pendidikan. Gurulah yang menjadi tunjang utama
dalam merealisasikan kesejahteraan diri insan yang dipimpinnya.
Gelaran obor hemah
kepada guru menggambarkan tentang kemuliaan, keikhlasan, pengorbanan,
tanggungjawab, cabaran, peranan dan komitmen dalam profesion keguruan. Tema ini
diangkat daripada sajak tulisan
Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said berjudul Obor Hemah.
Masyarakat sentiasa memberikan penghormatan dan penghargaan yang tidak
terhingga terhadap tugas dan peranan guru. Pengiktirafan ini menandakan harapan
dan keparcayaan yang sangat tinggi terhadap komitmen dan kemampuan guru dalam
menyumbang ke arah pembangunan potensi holistik pelajar dengan nilai, sahsiah
dan jati diri selaras dengan keperluan masa depan pelajar yang perlu bersaing
di peringkat global. Justeru, amat wajar jika Sambutan Hari Guru memberi
kedudukan istimewa kepada insan yang bergelar cikgu.
Guru berperanan mencungkil dan menggilap potensi
murid. Guru harus sentiasa bersedia untuk berubah, melaksanakan tugas daripada
cara biasa kepada yang luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran
aras tinggi serta berfikir pada tahap
dunia atau “world class thinking” dan bertindak
sebagai murabbi kepada anak-anak.
Memanusiawikan Pendidikan dan Revolusi 4.0
Hala tuju pendidikan KPM pada era baharu ini adalah untuk memastikan
kemenjadian murid berteraskan 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan manusiawi.
Matlamat utama kita adalah untuk melahirkan murid yang dinamik, fleksibel dan
berdaya tahan dalam menghadapi apa-apa jua situasi serta berjaya mendepani
cabaran kehidupan pada era Revolusi Industri Keempat.
Untuk mendepani
Revolusi 4.0 peranan guru ditagih demi melahirkan pelajar yang ‘Global Player’
agar dapat bersaing dalam perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi pantas
yang telah mengubah dunia dan kecanggihan mesin menjadi persaingan fungsi
manusia.
Guru perlu bersedia
untuk melakukan pembaharuan melalui strategi dalam pendidikan secara optimum
dan berterusan. Strategi yang telah terbukti berjaya pada masa lampau tidak
semestinya berkesan untuk masa kini dan masa hadapan. Justeru, guru-guru
mestilah sentiasa dinamik dan progresif untuk melalui proses perubahan dan
pembaharuan seiring dengan peredaran zaman.
Dalam merangka Pendidikan Holistik, KPM memberikan penekanan khusus
kepada hala tuju mengembalikan cinta ke dalam pendidikan dengan memberi tumpuan
kepada tiga nilai dan budaya teras iaitu cinta (love), kegembiraan (happiness)
dan saling menghormati (mutual respect).
Saya yakin bahawa guru-guru mampu untuk menterjemahkannya dalam
pembelajaran demi melahirkan insan yang mencintai satu sama lain, mencintai
masyarakat dan akhirnya mencintai negara.
Saya yakin, di tangan adiwira-adiwira yang penuh dedikasi inilah
letaknya harapan untuk membangunkan modal insan yang benar-benar berbudi luhur,
berakhlak mulia, berjaya dan cemerlang.
Dalam konteks untuk merealisasikan perubahan ke arah membina dan
membangunkan modal insan yang gemilang, seseorang pendidik itu seharusnya kaya
ilmu, segar dan subur ciri kependidikannya malah harus memiliki ciri-ciri
kepimpinan yang berupaya membawa perubahan untuk melahirkan kemenjadian murid
seperti yang dihasratkan.
Bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan
setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua guru-guru di atas
segala pengorbanan dan sumbangan besar mencurahkan ilmu dan memberi tunjuk ajar
sehingga kini.
“Terima Kasih Cikgu” atas segala usaha, kesungguhan dan pengorbanan
bukan sahaja dari segi masa dan tenaga, malah dengan wang ringgit yang telah
diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab mulia ini.
Akhir sekali, ingin saya tekankan, guru mempunyai potensi besar
mempengaruhi dan merubah pemikiran pelajar. Menurut Imam Al Ghazali, guru mesti ada tanggungjawab, ada rasa
belas kasihan dan mampu memperlakukan mereka sebagai anak sendiri.
Imam Al Ghazali juga pernah berkata, hak seorang guru adalah lebih
besar daripada hak seorang bapa. Ibu bapa menjadi sebab mereka lahir ke dunia sedangkan guru menjadi sebab
anak itu memperolehi hidup kekal abadi.