Membebaskan sekolah dari salah laku seksual
Apabila timbul isu normalisasi jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak di sekolah baru-baru ini, saya terpanggil untuk turut berkicau di wahana medsos dan juga media. Mungkin ada yang mempertikaikan, apa yang telah saya lakukan selama 20 bulan ketika menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menangani masalah tersebut?
Saya akui, antara agenda tertangguh KPM sepanjang 20 bulan saya di kementerian tersebut ialah usaha bersepadu untuk menangani kes-kes jenayah seksual di sekolah, sekali gus menjadikan sekolah sebagai tempat yang paling selamat bagi kanak-kanak, selaras dengan prinsip kasih sayang, kebahagiaan dan saling menghormati.
Meskipun saya sendiri bersama pegawai yang membantu bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan seperti Unicef, NGO dan agensi-agensi terbabit, namun, ia tidak dapat dilaksanakan kerana saya telah diminta oleh perdana menteri pada waktu itu untuk memulangkan semula jawatan saya kepada beliau. Apa yang penting, pada 13 Disember 2019, kurang sebulan sebelum meninggalkan KPM, saya mengeluarkan surat arahan kepada pentadbiran tertinggi KPM untuk melakukan sesuatu mengenainya. Bersama-sama ini saya sertakan draf surat berkenaan. Apa yang pasti, sama ada arahan tersebut dilaksanakan seperti mana sepatutnya ataupun tidak, saya tidak tahu dan tidak dapat melihat ia berlaku sehingga detik ini.
Saya juga mengarahkan agar sebuah kertas cadangan dibentangkan kepada kabinet oleh pihak KPM pada tahun 2020 untuk tujuan tersebut. Namun, ia hanya tinggal sejarah apabila saya sendiri tidak lagi menjadi anggota kabinet, dan menteri yang menggantikan saya seolah-olah tidak menunjukkan minat untuk memperjuangkan isu ini. Apa yang pasti, saya perlu kongsikan di sini apa yang pernah cuba dilakukan demi menjadikan sekolah sebagai tempat yang paling selamat untuk anak-anak generasi penerus negara. Saya juga berharap agar pentadbiran waktu kini dapat melihat semula isu ini dan cuba melakukan sesuatu sebelum keadaan menjadi lebih membarah.
Apa yang telah dirancang?
Sistem pendidikan negara perlu memberi penekanan serius kepada kes-kes salah laku dan jenayah seksual dalam kalangan murid sebagai perbuatan yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan individu. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan, terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Namun kes-kes tersebut masih lagi berlaku dan amat membimbangkan. Sehubungan itu, langkah yang lebih komprehensif dan holistik perlu diambil untuk menangani isu jenayah seksual dalam kalangan murid secara lebih tuntas, sistematik dan berterusan.
Bagi pihak KPM sewaktu kepimpinan saya telah menyedari dan melihat isu jenayah seksual dalam kalangan murid secara serius dan beriktikad bahawa ia perlu ditangani dan diatasi secara total. Pada masa yang sama, kerajaan (bukan hanya KPM, malah semua pihak) digesa perlu secara proaktif untuk memberi kesedaran yang lebih meluas berkenaan pencegahan, dan pengendalian kes salah laku seksual melalui inisiatif-inisiatif berteraskan tiga strategi utama, iaitu: Strategi pencegahan dan strategi pengendalian kes salah laku seksual terhadap murid-murid, dan strategi pemulihan mangsa berpaksikan murid (child-centered). Inisiatif-inisiatif yang disebutkan di bawah ini pada asalnya adalah sebahagian daripada cadangan yang ingin dibawa oleh KPM ke mesyuarat kabinet untuk diluluskan pada awal tahun 2020 yang lalu tetapi malangnya tidak dibawa setelah perubahan kerajaan.
Strategi Satu: Pencegahan salah laku seksual terhadap murid
Ia boleh dilakukan melalui beberapa mekanisme, antaranya:
- Pengenalpastian “hot spot” sekolah
Berdasarkan kepada statistik yang direkodkan, peningkatan kes jenayah seksual kanak-kanak di sekolah semakin membimbangkan. Terdapat sebilangan kes yang tidak dilaporkan atau tidak direkodkan, maka adalah dipercayai bahawa jumlah kes jenayah seksual yang berlaku di sekolah adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan statistik yang dicatat. KPM perlu memastikan laporan kes adalah mengikut prosedur dan didokumenkan dengan betul. Selain itu, memandangkan terdapat kekangan kewangan dan sumber kepakaran pada masa ini, adalah penting untuk KPM mengenal pasti “hot spot” sekolah yangberisiko tinggi sebagai pelan intervensi yang bersesuaian.
Pembinaan peta “hot spot” memerlukan perkara yang berikut:
- Pelantikan Bahagian KPM yang bersesuaian untuk bertanggungjawab atas pengemaskinian data dan penyelenggaraan peta “hot spot”
- Pengenalpastian data utama dan penting untuk pembinaan peta “hot spot”
- Perkongsian data antara agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang dikenal pasti untuk tujuan pemetaan kawasan “hot spot” jenayah seksual terhadap kanak-kanak
- Pengendalian analisis ramalan (predictive analytics) untuk mengenal pasti corak jenayah untuk intervensi awal. Analisis ramalan juga digunakan untuk menentukan tahap intervensi mengikut keparahan situasi. Bagi tujuan ini, Jawatankuasa Data Raya (Big Data) yang ditubuhkan pada 2019 telah diminta membantu melaksanakannya.
Bahagian yang dipertanggungjawabkan untuk memantau perkara ini haruslah mempunyai dashboard pemantauan demi memastikan kes-kes di “hot spot” dapat diturunkan dan mana-mana tempat yang berpotensi berlakunya salah laku ini dapat dielakkan.
- Pemeriksaan latar belakang warga sekolah
Warga sekolah yang bakal bekerja dalam kalangan kanak-kanak wajib menjalani pemeriksaan latar belakang terperinci. Peranan ini boleh dimainkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah. Saringan termasuklah bagi mana-mana pihak yang akan berurusan secara terus dengan kanak-kanak (contohnya pelatih sukan, sukarelawan, pembantu guru, pengawal, pekerja kantin dan sebagainya). Saringan latar belakang diperincikan dengan kriteria, contohnya melalui ujian psikometri, semakan kes jenayah dan kecenderungan tingkah laku terhadap kanak-kanak serta semakan pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam daftar sistem eDKK (‘Child Sex Offenders Registry’) oleh KPWKM.
- Pengemaskinian kurikulum serta pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Peers)
Kelemahan pelaksanaan kurikulum Peers sedia ada sering dikaitkan dengan punca murid menjadi mangsa jenayah seksual kerana mereka kekurangan pendedahan kepada pendidikan seks. Dapatan kajian banyak yang menunjukkan bahawa penyampaian pendidikan seks sedia ada di Malaysia tidak membawa sebarang kesan dalam memerangi gejala seksual remaja kini. Kekaburan sesetengah guru dalam pelaksanaan PdP elemen seks melalui kurikulum Peers sedia ada menyebabkan guru tidak menyedari akan kepentingan pendidikan seks kepada murid. Latihan profesional kepada guru oleh pakar-pakar dan para pemegang taruh utama dalam konteks seks, kesihatan reproduksi dan penambahbaikan dalam panduan atau bahan PdP merupakan antara cara untuk mengatasi masalah ini.
Strategi 2 – Pengendalian kes salah laku seksual terhadap murid
Ia boleh dilakukan melalui pelbagai mekanisme yang lebih terkini berbanding yang sedia ada. Antaranya:
- Pengenalan SOP baharu bagi pelaporan isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak
Pada 28 Jun 2011, KPM telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 7 Tahun 2011 Pelaksanaan Standard Operating Procedure (SOP) 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid berserta dengan Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual Murid yang memperincikan cara menangani kes gangguan seksual. Namun demikian, kedua-dua SPI dan garis panduan tersebut tidak mencerminkan perkembangan terkini. Maka, SOP dan garis panduan tersebut harus digantikan dengan yang baharu selari dengan ketetapan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792]. Sebagai tindakan alternatif, saya telah mengeluarkan memo kepada pimpinan tertinggi KPM bertarikh 13 Disember 2019 (no rujukan: KPM. YBM 100 4/3/3 jld 2(23)) agar melaksanakan segera usaha-usaha bersifat ‘lower hanging fruits’ untuk memelihara anak-anak di sekolah. Rencananya, pada tahun 2020 saya akan membawa kertas kabinet untuk pindaan beberapa akta dan peraturan dalaman KPM yang lebih komprehensif.
Perangkaan SOP dan garis panduan baharu perlu melibatkan pakar rujuk dan wakil dari pihak agensi bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang mempunyai kepakaran dalam menangani isu jenayah seksual. Terma rujukan yang jelas perlu disediakan agar semua pihak yang terlibat cakna dengan fungsi serta tanggungjawab masing-masing.
- Latihan praperkhidmatan, dalam perkhidmatan dan pemantauan
Latihan yang dijalankan adalah bertujuan untuk menyediakan warga pendidik yang sentiasa peka, prihatin dan profesional dalam membendung isu jenayah seksual dalam kalangan murid di samping mengekalkan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) dalam masyarakat. Oleh itu, dalam aspek latihan guru pra-perkhidmatan dan dalam perkhidmatan dicadangkan IPGM dan Bahagian Pendidikan Guru dilibatkan bagi merangka program latihan komprehensif dalam usaha meningkatkan kompetensi guru dalam pendidikan kesihatan reproduktif dan seksual murid. Dari aspek dan SOP dan garis panduan, warga sekolah perlu cakna dan jelas tentang langkah tindakan dalam menghadapi kes jenayah yang berlaku ke atas kanak-kanak.
Tujuan latihan tersebut adalah:
- Memperkasakan cara penyampaian pengajaran guru-guru kepada murid-murid mengenai topik atau tajuk yang merentas elemen Peers;
- Memberi pendedahan yang lebih jelas tentang jenayah seksual, cara-cara mengenal pasti mangsa jenayah seksual dan peranan serta tanggungjawab dalam memastikan hak kanak-kanak dipelihara;
- Meningkatkan profesionalisme kakitangan sekolah dalam membuat laporan terhadap jenayah seksual yang berlaku ke atas murid melalui prosedur komprehensif yang bakal diperkenalkan;
- Mencari jalan penyelesaian untuk memastikan pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya apabila menerima aduan;
- Menerapkan sikap keterbukaan dalam mendengar dan menerima maklumat yang diberikan oleh mangsa jenayah seksual serta memastikan segala maklumat dikendalikan dengan berhemah, beretika dan sulit;
- Melindungi hak kesihatan reproduktif dan seksual setiap murid dengan mengikis sikap serta budaya menjaga nama baik atau imej sekolah sehingga melindungi perlakuan jenayah seksual yang melibatkan warga sekolah;
- Memupuk sikap sentiasa mengutamakan keselamatan murid dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan sekolah agar tidak memandang remeh terhadap kesan negatif jenayah seksual yang amat memudaratkan murid;
- Mengukuhkan penglibatan dan tanggungjawab kakitangan sekolah serta pihak berkuasa dalam mencegah jenayah seksual di sekolah secara konsisten.
- Peranan pegawai di sekolah
Guru Besar, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) dan guru kaunseling merupakan antara individu penting dalam memastikan tindakan pencegahan serta pembetulan dilaksanakan secara efisien.
- Peranan pengetua/guru besar
Melalui SOP dan garis panduan baharu yang akan diperkenalkan, pengetua/guru besar memainkan peranan utama untuk berhubung dengan pihak atasan dan memastikan ketepatan maklumat yang diberikan. Antara tugas utama pengetua/guru besar adalah:
- Mendapatkan maklumat lengkap tentang kepentingan Peers di sekolah;
- Melaporkan insiden kepada PPD, pihak polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Suspected Child Abuse and Neglect Team (Scan) tentang aduan yang diterima daripada guru bimbingan kaunseling atau PKHEM;
- Bertindak dengan segera dan proaktif mengikut ketetapan Akta 792; individu yang mengambil sikap ‘berpeluk tubuh’ daripada melaporkan sebarang kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak juga patut berdepan hukuman. Guru besar juga merupakan pemegang amanah yang bertanggungjawab untuk melindungi golongan kanak-kanak;
- Memastikan murid diberi pendedahan awal melalui penganjuran kempen kesedaran dan pendidikan berkaitan jenayah seksual di sekolah.
- Peranan Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid (PKHEM)
PKHEM bertanggungjawab membantu dan menyokong pengendalian kes dilaksanakan secara profesional oleh Pengetua/Guru Besar dan guru kaunseling. Tugas utama PKHEM adalah untuk memastikan keselamatan murid di sekolah terjamin mengikut prosedur dan peraturan tertentu. PKHEM juga adalah pembantu kepada Pengetua/Guru Besar dalam menyelia dan menilai prestasi seluruh kakitangan sekolah. Mengikut prosedur baharu, PKHEM berperanan untuk:
- Memaklumkan kepada Pengetua/Guru Besar tentang aduan yang diterima;
- Memastikan kerahsiaan maklumat yang diterima daripada guru kaunseling;
- Menasihati Pengetua/Guru Besar untuk menyegerakan laporan rasmi kepada PPD serta agensi lain yang berkaitan;
- Merangka perancangan melibatkan PIBG dan PIBK di dalam program di sekolah yang berkaitan dengan PEERS agar ibu bapa dan komuniti dapat penjelasan dan kesedaran.
- Peranan pegawai di peringkat daerah
Unit Kaunseling dan Kerjaya di bawah Sektor Pembangunan Kemanusiaan di peringkat PPD memainkan peranan penting untuk memberi nasihat yang tepat dan bernas kepada sekolah yang membuat laporan jenayah seksual. PPD juga berperanan sebagai fasilitator antara agensi yang terlibat dan melaksanakan intervensi untuk pelaporan unit perhubungan menyelaraskan pelaporan kepada JPN.
- Peranan pegawai di peringkat negeri
Sektor Pengurusan Kaunseling dan Disiplin di bawah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian di peringkat KPM perlu memainkan peranan dalam pelaporan di peringkat KPM diselaraskan dengan unit aduan dan perhubungan, BPSH serta penambahbaikan modul latihan.
- Peranan Ibu bapa dan masyarakat (melalui kerjasama pakar dari organisasi awam dan agensi bukan kerajaan)
Kerjasama pakar dari organisasi awam dan agensi bukan kerajaan hendaklah dilaksanakan secara kolektif dengan perkongsian sumber dan sumbangan kepakaran bagi memaksimumkan sumber yang ada dan mengurangkan kos yang berkaitan. Antara perkara yang perlu diberikan penekanan dan perhatian adalah penubuhan jaringan sokongan di peringkat daerah. Jaringan sokongan di peringkat daerah adalah merangkumi pelbagai pihak berkuasa yang berkaitan seperti Scan di bawah KKM, JKM di bawah KPWKM, Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), PDRM di bawah KDN dan pakar-pakar dari badan bukan kerajaan yang diperakui oleh KPWKM.
Setiap PPD harus dilengkapkan dengan senarai dan maklumat pegawai yang boleh dihubungi dari setiap agensi yang disenaraikan agar nasihat dan sokongan dapat diberikan secara berterusan. Maklumat ini haruslah disediakan untuk tatapan ramai (publicly available information) dan perlu dikemaskini dari semasa ke semasa. Sekolah-sekolah dalam satu daerah juga disarankan untuk menubuhkan rangkaian dengan tujuan perkongsian sumber dan amalan terbaik antara satu sama lain.
- Perkongsian maklumat dan kemahiran menangani isu jenayah seksual dalam kalangan murid sebagai sarana kepada ibu, bapa dan penjaga
Selain di peringkat daerah dan sekolah, rangkaian sokongan utama merujuk kepada tenaga pengajar, ibu bapa (terutamanya melalui PIBG), pegawai perhubungan sekolah (pihak polis) serta pakar dalam isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak (kaunselor, badan bukan kerajaan seperti Malaysians Against Pornography (MAP), JEWEL atau PS The Children). Setiap pihak yang terlibat disarankan untuk menjayakan Modul Intervensi Jenayah Seksual Kanak-kanak di Sekolah (Modul IHSAN) bagi meningkatkan kesedaran dan kerjasama di peringkat sekolah. Perkongsian maklumat dan kemahiran menangani isu jenayah seksual haruslah berlaku dalam kalangan murid sebagai sarana kepada ibu, bapa dan penjaga.
- Tindakan terhadap warga sekolah yang melakukan salah laku seksual terhadap murid-murid
Penguatkuasaan terhadap warga sekolah yang didapati bersalah dalam melakukan kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak adalah amat penting. Saranan dibuat agar individu yang telah disabitkan kesalahan disenarai hitamkan daripada terlibat dalam sebarang bentuk pekerjaan yang melibatkan kanak-kanak selaras dengan ketetapan undang-undang dan dasar sedia ada. Bagi kes yang disyaki dan masih berada dalam peringkat siasatan, adalah disarankan cold storage dan pengasingan individu tersebut tanpa sebarang interaksi dengan kanak-kanak sehingga kes selesai. Pihak kerajaan perlu menukarkan prosedur sedia ada untuk memastikan warga sekolah yang telah didapati bersalah dikenakan hukuman gantung kerja dan buang kerja.
- Pengemaskinian kurikulum serta pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Peers)
Peers dalam kurikulum Pendidikan Kesihatan yang dijalankan di sekolah rendah hingga sekolah menengah perlu disemak semula berdasarkan kepada kesesuaian mengikut piawaian antarabangsa seperti Panduan Teknikal Antarabangsa Mengenai Pendidikan Seksualiti (Unesco, 2018). Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM perlu mengambil langkah mengesan dan memantau pelaksanaan kurikulum Pendidikan Kesihatan untuk melihat sejauh manakah keberkesanan Peers yang dijalankan di sekolah sehingga kini. Perkara ini juga selari dengan keputusan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil. 1/2019 untuk mengetuai inisiatif pengukuhan Pendidikan Seksual Reproduktif dalam Kalangan Kanak-Kanak, Remaja dan Masyarakat.
Strategi 3: Pendekatan pemulihan mangsa berpaksikan murid (child-centered approach)
- Melalui pendekatan ini, kemaslahatan dan kebajikan kanak-kanak menjadi keutamaan, dan bukannya penjagaan nama baik guru, pengetua mahupun sekolah. Demi masa depan anak-anak, segala prosedur pelaporan, dan pendakwaan harus melihat kepada kepentingan kanak-kanak yang merupakan mangsa.
- Demi memulihkan keyakinan dan juga jiwa kanak-kanak yang menjadi mangsa, mereka perlu diberikan pendekatan kaunseling, dan perubatan yang sesuai dengan apa yang menimpa mereka, dan tidak menjadikan mereka sebagai mangsa kali kedua dengan prosedur yang menyusahkan serta menyalahkan mereka seperti yang berlaku pada sesetengah kes.
- Guru, terutamanya guru kaunseling dan juga guru-guru sokongan mestilah diberikan kesedaran, latihan dan pemahaman tentang prosedur serta struktur sistem sokongan juga perlu diwujudkan agar sistem pemulihan berpaksikan murid ini benar-benar dapat dijayakan. Kegagalan guru dan pihak sekolah untuk memahami pendekatan ini akan menyebabkan mangsa akan mengalami tekanan tambahan seperti yang banyak berlaku.
- Termasuk dalam strategi ni juga ialah proses memudahkan laporan dibuat oleh mangsa dan kepekaan pihak sekolah serta kepimpinan sekolah untuk bertindak segera dan tidak menyembunyikan kes yang berlaku, agar murid lebih berani untuk membuat pengaduan dan tidak merasakan bahawa mereka hilang punca.
Kesimpulan
Adalah amat dikesalkan apabila apa yang telah dirancangkan ini tidak dapat dilaksanakan di dalam tempoh pentadbiran kerajaan lalu kerana perubahan tampuk kekuasaan. Walau bagaimanapun, isu ini merupakan isu yang penting dan perlu ditangani segera melalui polisi yang sesuai. Harapan saya ialah, apa yang telah dirancangkan ini, hasil daripada perbincangan dan kajian yang tuntas, dapat diteruskan demi masa depan anak-anak di sekolah dan juga masa depan negara. Diharapkan melalui langkah yang dicadangkan dan pernah cuba dijalankan ini dapat membantu kerajaan semasa untuk melaksanakannya demi merapatkan jurang dalam pencegahan dan intervensi kes salah laku seksual dan pemahaman tentang Peers dalam kalangan murid dan pihak-pihak yang terlibat. Tidak terlambat bagi pihak KPM untuk meneruskan apa yang telah dimulakan ini demi kesejahteraan dan keselamatan anak-anak kita sebagai generasi penerus, dan juga demi menjadikan sekolah sebagai tempat yang paling selamat untuk anak-anak dan warga sekolah yang lain.