Dr. Maszlee Malik
Mantan Menteri Pendidikan Malaysia | Pengerusi IAIS

Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi

Sempena Hari Guru pada 16 Mei yang amat bermakna hari ini, saya merakamkan ucapan setulus penghargaan kepada semua guru di mana jua anda berada. Terima Kasih Cikgu atas segala jasa, bakti dan sumbangan yang diberikan.

Mewakili seluruh warga Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya para pendidik, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang disanjungi dan dikasihi kerana sudi hadir meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan dan seterusnya merasmikan majlis tersebut.

Sesungguhnya kehadiran YAB Perdana Menteri bersama-sama kami membuktikan keprihatinan, pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan terhadap peranan dan sumbangan guru dalam pembinaan negara yang kita cintai.

Pencapaian Yang Membanggakan

Saya berhasrat untuk meluahkan penghargaan yang sekian lama terbuku di hati saya buat guru yang telah memberikan impak yang sangat signifikan dan bermakna dalam sejarah profesion keguruan negara kita.

Kita sangat berbangga atas kejayaan guru di peringkat antarabangsa iaitu guru cemerlang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji, Cikgu K A Razhiyah Mohamed Khutty, yang telah menerima Anugerah Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019 di Persidangan Special Education Network and Inclusion Association (SENIA) di Hong Kong pada 24 Februari lalu. Beliau juga tersenarai antara 50 guru dunia dalam anugerah Hadiah Guru Global 2018 anjuran Yayasan Varkey, di London, United Kingdom (UK). Tahniah Cikgu K A Razhiyah!

Saya bagi pihak KPM juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu Dr. Muhamad Khairul Anuar bin Hussin, SMK Taman Universiti 2, Johor Bahru, Johor yang menjadi wakil tunggal negara tersenarai Top 40 finalists dalam Global Teacher Prize 2019. Beliau yang bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, antaranya telah menganjurkan program intervensi awal membabitkan kunjungan ke rumah keluarga OKU di beberapa daerah di Johor. Program itu adalah inisiatif beliau yang bertujuan memberi penerangan mengenai keperluan dan peluang pendidikan kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU. Tahniah Cikgu Dr. Muhamad Khairul Anuar. Semoga kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada semua guru lain.

Selain ibu bapa, golongan guru dianggap individu penting yang banyak membantu murid sehingga berjaya ke peringkat tertinggi. Di sebalik kejayaan murid dalam sesebuah pertandingan, tentu ada seseorang yang paling banyak berkorban segalanya dalam memastikan murid itu berjaya. Terima kasih kepada semua guru yang telah memberi sumbangan besar atas kemenjadian murid dalam;

Anugerah Top in the World dari Cambridge Assessment International Education yang telah diterima oleh pelajar sains dari Kolej Universiti KDU Pulau Pinang, Teh Yu Xuan kerana mendapat markah penuh dalam kertas matematik A-Level. Outstanding Cambridge Learner Awards adalah anugerah yang diperkenalkan oleh pihak Cambridge Assessment sejak tahun 2004 yang mengiktiraf pencapaian pelajar mengikut subjek.

Tahinah juga saya ucapkan kepada guru-guru dan warga sekolah Labuan International School yang telah terpilih mewakili Malaysia di World Robotic Olympiad di Chieng Mai pada November 2018.

Tidak dilupakan, kepada tiga pelajar SMK Kuala Besut yang telah mengharumkan nama Malaysia melalui projek persembahan mereka yang bertajuk ‘100 Perkara Mengenai Sains Nuklear dan Kehidupan (100 Things About Nuclear Science And Life)’. Siapa sangka sebuah perkampungan nelayan di Besut mampu melahirkan juara dunia dalam Pertandingan Pembangunan Sumber Manusia untuk Tenaga Nuklear yang diadakan di Gyeongju, Korea Selatan pada 30 Mei 2018.

Lebih istimewa, dua daripada tiga pelajar tersebut adalah anak kampung yang nekad mahu mencipta sejarah dunia dalam pertandingan itu. Terima kasih dan tahniah kepada Guru Penyelaras Projek ini, Cikgu Wan Zul Azri Wan Mohd. Shatar atas kejayaan tersebut.

Saya dan Pihak KPM sangat berbangga di atas kejayaan dan pencapaian yang diraih oleh mereka. Mereka merupakan contoh adiwira yang sentiasa sahaja mahu melakukan sesuatu lebih daripada kebiasaannya, seperti kata pepatah “ada biduk, serempu pula” atau sentiasa sahaja “angan-angan menerawang langit.”

Hang Tuah Berguru

Saya ingin memetik cebisan kisah epik sekali gus menyelusuri akar sejarah dan hikayat bangsa, kisah tentang Hang Tuah dan guru-gurunya.

Sekiranya kita membaca sebuah karya agung turun-temurun, iaitu Hikayat Hang Tuah, kita akan mengetahui kisah perjalanan Hang Tuah yang penuh dengan kehebatan dan tragedi, namun jarang kita mengenali bagaimanakah Hang Tuah menjadi seorang ‘Hang Tuah’. Dan mungkin kita juga tidak menyedari, betapa seorang Hang Tuah bukanlah siapa-siapa tanpa guru-gurunya.

Ilmu kepahlawanan hanya sebahagian daripada ilmu-ilmu yang Hang Tuah kuasai. Jika kita boleh pecahkan, ada tiga bidang ilmu yang Hang Tuah kuasai. Satunya, ilmu kepahlawanan. Dua, ilmu firasat; termasuklah ilmu sains dan strategi peperangan, dan yang ketiganya ialah ilmu agama.

Setiap daripada ilmu ini ada gurunya. Ilmu kepahlawanan, adalah ilmu yang paling awal Hang Tuah belajar daripada gurunya yang bernama Aria Putera, atau digelar orang sebagai Sheikh Wali Lanang. Sheikh Wali Lanang ini telah menitipkan nasihat yang sangat penting buat perjalanan hidup berguru Hang Tuah, beliau berpesan kepada Hang Tuah:

Hai cucuku Hang Tuah, aku ini tiga bersaudara, yang muda menjadi pegawai, Raden Aria Sina, di Majapahit. Yang tua itu duduk bertapa di Gunung Wirana Pura, namanya Sang Persanta Nala. Ada pun cucuku, kala datang umur dua puluh tiga tahun, engkau pergi ke Majapahit, jangan tiada engkau berguru padanya, kerana saudaraku itu banyak ilmunya daripadaku, kerana ia dari kecil bertapa. Tidak merasai dunia (tidak merasai hal-hal keduniaan).”

Atas nasihat inilah, Hang Tuah terus mengembara mencari Sang Persanta Nala. Hang Tuah pernah menceritakan tentang gurunya Sang Persanta Nala ini. Kata Hang Tuah;

Maka Laksamana dan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu pun diajar oleh Sang Persanta Nala akan ilmu segala penjurit (kepahlawanan) dan hulubalang, tetapi terlebih juga Laksamana, diajarnya pelbagai ilmu dan syarat hulubalang dan ilmu penjurit itu, kerana Laksamana, selama duduk di gunung itu, tiada ia tidur dan makan, dan tiada ia bercerai dengan Sang Persanta Nala itu, barang dipintanya oleh Laksamana diberinya oleh Sang Persanta Nala. Sang Persanta Nala pun terlalu suka dan kasih akan Laksamana.”

Melalui dua orang guru ini, Hang Tuah menjadi ‘Hang Tuah’ seperti yang kita kenali. Dan ini menggambarkan betapa berakarnya tradisi berguru dalam nuansa sejarah-budaya masyarakat kita.  Baik Sulalatus Salatin sehinggalah Hikayat Hang Tuah, elemen berguru itu sentiasa diangkat malah menjadi leluhur yang sangat penting.

Guru Dalam Pelbagai Tradisi

Sebutlah dari tradisi mana sekalipun, seorang guru tetap adiwira terulung nan disanjung senantiasa. Kita mengenal Confucius misalnya dalam tradisi Cina yang mempunyai ribuan murid malah menjadi seorang cendekiawan yang ulung sehingga hari ini.

Dan sebelum saya terlupa, perkataan gu-ru yang kita sebut hari ini juga sangat sinonim dalam tradisi falsafah Hindu kerana perkataan ini berasal dari bahasa Sanskrit. Gu bermaksud kegelapan dan Ru bermaksud yang menyelamatkan seseorang dari kegelapan. Disebabkan makna inilah, perkataan guru merujuk kepada insan yang mencerahkan, yang memberi cahaya, ilmu, petunjuk, teladan dan hikmah, malah seorang guru jugalah yang menabur makna dalam kehidupan kita semua.

Seorang penyair Arab, Asy-Syauqi pernah menuturkan suatu syair yang maha indah tentang guru. Kata Asy-Syauqi:

قُم لِلمُعَلِّمِ وَفِّهِ التَبْجِيْلًا … كادَ المُعَلِّمُ أَن يَكونَ رَسُوْلًا

“Bangunlah dan sambutlah seorang guru, lalu berikanlah penghormatan terhadapnya. Percayalah, hampir-hampir sahaja seorang guru itu menjadi seorang Rasul.”

Tinggi sekali darjat seorang guru sehingga bagi Asy-Syauqi, hampir-hampir sekali seorang guru itu menjadi seorang Rasul. Begitulah berharganya seorang guru di hati kita semua. Sesungguhnya, guru adalah nadi penggerak utama yang sentiasa berkorban tenaga dan masa hanya kerana mahu memastikan setiap daripada kita tidak mendewasa dengan kejahilan.

Beban Guru: Inisiatif Terkini

Sebagai Menteri Pendidikan, sehingga ke hari ini, saya sendiri mendapat beribu pandangan berkaitan masalah beban guru yang saya tahu isunya sangat meruncing. Awal tahun ini sahaja kita sudah memulakan inisiatif ini secara agresif dan kita akan gerakkan lagi supaya masalah ini selesai secara tuntas.

Oleh hal yang demikian, seperti semua sedia maklum bagi inisiatif jangka pendek, semasa Majlis Amanat Tahun Baharu 2019, saya telah mengumumkan lima (5) inisiatif untuk dilaksanakan seawal Januari 2019 yang berkuatkuasa serta-merta.

KPM berharap, dengan adanya inisiatif baharu ini sedikit sebanyak dapat meringankan tugas-tugas guru. Antara inisiatif yang telah diumumkan melibatkan penambahbaikan pengurusan fail, pelaporan dan dokumentasi; penambahbaikan proses pengurusan data dan sistem online, autonomi pelaksanaan linus dan pentaksiran tahap 1, penyeragaman borang dan proses pemantauan serta penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah.

Bagi inisiatif jangka sederhana yang dilaksanakan bermula seawal Januari 2019 sehingga ke akhir tahun, ada beberapa isu yang akan ditangani, antaranya:

  1. Bagi mengurangkan isu beban tugas guru berkaitan pelaksanaan SKPMg2 di mana guru perlu membuat semakan berkala terhadap tugas mereka dan menyediakan dokumen atau eviden berkaitan tugas tersebut, Jemaah Nazir telah memperkenalkan beberapa tindakan untuk menangani isu ini;
  2. Pelaksanaan Audit SKPMg2 oleh pihak Jemaah Nazir telah diberhentikan dan sekolah hanya perlu melaksana audit kendiri bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan masing-masing.
  3. Fasa semakan dan penilaian kendiri dibuka dua kali setahun iaitu pada bulan Januari hingga Mac (Fasa 1) dan Ogos hingga November (Fasa 2) berbanding tiga (3) kali sebelum ini. Sistem Online sentiasa dibuka untuk dikemaskini dan pemantauan oleh PGB.
  4. Bagi isu pengawasan peperiksaan pada waktu cuti sekolah, bermula tahun 2019, pengawasan peperiksaan SPM dilaksanakan secara dua fasa iaitu pada bulan Oktober dan November iaitu semasa waktu persekolahan.
  5. Bagi analisis Peperiksaan Awam, Lembaga Peperiksaan juga telah mengambil inisiatif dengan menyediakan analisis peperiksaan awam yang dijana secara automatik untuk memudahkan sekolah mendapatkan maklumat tentang prestasi mata pelajaran dan sekolah.
  6. Bagi mengatasi isu beban tugas berkaitan guru mengisi pelbagai maklumat kesihatan murid iaitu mata, berat dan tinggi murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) telah membina sistem Rekod Kesihatan Murid secara dalam talian (e-RKM). Dalam sistem ini, guru tidak lagi mengisi data profil murid dan waris kerana data tersebut dapat diperoleh daripada Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).
  7. Bagi isu kesukaran pelaksanaan Ujian Aptitud Tahun 3 di sekolah yang tiada guru Bimbingan dan Kaunseling, pentaksiran tersebut telah dimansuhkan melalui Surat Siaran KPM Bil. 14 Tahun 2018, selaras dengan pemansuhan pentaksiran murid Tahap 1.
  8. Bagi memenuhi keperluan penggantian guru yang bercuti, cuti bersalin dan cuti sakit melebihi 28 hari, sebanyak RM35.2 juta peruntukan guru ganti telah disalurkan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri agar sekolah boleh menggunakan khidmat guru ganti. Dari semasa ke semasa Kementerian akan terus memohon peruntukan yang mencukupi untuk tujuan tersebut.
  9. Bagi inisiatif jangka panjang pula yang selewat-lewatnya akan dilaksanakan hujung tahun ini, beberapa inisiatif telah dirangka termasuklah mengatasi masalah guru terpaksa keluar atas beberapa faktor sehingga menyebabkan mereka sukar memberikan penumpuan dalam bilik darjah.

Selain daripada itu, Kementerian juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif jangka panjang yang melibatkan isu yang lebih kompleks dan memerlukan kajian semula dasar dan peraturan sedia ada, penambahbaikan infrastruktur dan infrastruktur ICT, dan pengoptimaan perjawatan dan pengisian sumber manusia di sekolah.

KPM berharap melalui pelaksanaan inisiatif yang melibatkan pengoptimaan perjawatan dan pengisian sumber manusia di sekolah nanti, ianya dapat memastikan sekolah dapat berfungsi secara maksimum serta agihan guru yang seimbang supaya tidak berlaku kekurangan dan lebihan guru di sesebuah sekolah.

Dalam masa yang sama, kita juga sangat prihatin terhadap kebajikan guru ketika membawa murid keluar daripada sekolah. Oleh hal yang demikian, SOP keselamatan guru juga telah siap disemak dan digubal secara menyeluruh, antara inisiatif yang akan diberikan ialah Perlindungan Insurans Guru yang akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan.

Saya bersama-sama pengurusan tertinggi KPM sekali lagi merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Pulau Pinang, 16 Mei semalam.

Saya menyeru kepada semua pihak berkepentingan agar terus memberi sokongan dan bantuan kepada pihak guru dan sekolah sama ada daripada segi pandangan, kemahiran dan sebagainya untuk melonjakkan prestasi pendidikan anak-anak kita.

Teruslah memberi komitmen jitu demi memartabatkan sistem pendidikan negara agar menjadi sistem yang terunggul di dunia. Semoga kerjasama erat dan padu serta sokongan dari semua stakeholders akan meningkatkan taraf pendidikan negara untuk kejayaan generasi masa hadapan dan kemajuan negara kita.

Sesungguhnya program Majlis Sambutan Hari Guru dan Festival Guru 2019 yang buat julung-julung kalinya paling terbesar kita anjurkan tahun ini mencerminkan kesepakatan dan komitmen KPM dalam meraikan peranan dan sumbangan para guru yang menjadi tulang belakang dalam mendidik anak bangsa bermula di peringkat prasekolah dan rendah hingga lepasan menengah.

Akhir sekali, saya lampirkan semula puisi ‘Obor Hemah’ karya A. Samad Said bagi sama-sama menghayati kedalaman makna tema hari guru kita pada tahun ini yang diinspirasikan dari puisi ini.

Guru adalah awan indah terbang rendah, 
melimpahkan hujan pada musim gersang, 
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah; 
ia renjis embun pada tanah bakat, 
suara ihsan ketika manusia kalah, 
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru – atap ganti ketika pondok bocor, 
ketika sejarah dalam bilik darjah, 
senyum penyembuh bagi wabak sengsara, 
ia – sungai rangsang sentiasa tenang, 
menghantar bahtera ke segara dharma, 
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun, 
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah, 
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia, 
ia mengemudi biduk, melepaskannya, 
atas lambungan laut, merangsangkan 
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru – minda segar dan kukuh akar, 
menghidupkan batin yang bersih 
di daerah dunia cemar kasih, 
dan pada ketika tak tersangkakan, 
walau diambilnya kembali semua buku, 
sempat ditinggalkan asas ilmu.

Guru adalah batin suci hati nurani, 
penjunjung budi, manusia yang takwa, 
obor hemah kehidupan bangsa.


A. SAMAD SAID, 2 APRIL 1988

Selamat Hari Guru. Terima kasih cikgu.

Leave a Reply

Dr. Maszlee Malik adalah mantan Menteri Pendidikan Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan.

Hakcipta Terpelihara © Dr. Maszlee Malik.

Laman web oleh Grocern.