Guru: Adiwira Sepanjang Zaman
Pertanyaan pertama yang dilontarkan oleh Maharaja Hirohito selepas Hiroshima dibom ialah berapa banyak guru yang masih hidup?
Bukan pertanyaan tentang berapa jumlah tentera, doktor, peguam, arkitek, jurutera yang mati atau berapa kerugian material yang dialami.
Bila ditanya kenapa bertanya tentang guru? Jawab Hirohito, hanya guru yang boleh melahirkan ribuan doktor, peguam, arkitek, jurutera untuk pembangunan semula bangsa Jepun.
Justeru, pada tanggal 16 Mei setiap tahun, warga pendidik akan diraikan sebagai menghargai jasa, sumbangan dan pengorbanan mereka. Guru sentiasa berada di tempat yang istimewa di hati kita semua.
Jasa dan bakti guru sukar untuk dibalas, namun sebagai imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan profesion keguruan.
Dalam konteks ini, pelbagai anugerah dan penghargaan dalam perkhidmatan telah dirangka oleh pihak Kementerian untuk mempertingkatkan profesionalisme keguruan. Ini termasuklah mempromosi kejayaan guru di dalam dan di luar negara.
Guru: Obor Hemah Menyinari Pertiwi
Tema hari guru pada tahun ini ialah Guru: Obor Hemah Menyinari Pertiwi yang menunjukkan peri pentingnya peranan guru sebagai obor yang menerangi dunia pendidikan.
Sesungguhnya guru amat dipandang mulia dan berperanan penting dalam membina dan membentuk kualiti anak didik dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bagi memenuhi aspirasi pendidikan. Gurulah yang menjadi tunjang utama dalam merealisasikan kesejahteraan diri insan yang dipimpinnya.
Gelaran obor hemah kepada guru menggambarkan tentang kemuliaan, keikhlasan, pengorbanan, tanggungjawab, cabaran, peranan dan komitmen dalam profesion keguruan. Tema ini diangkat daripada sajak tulisan Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said berjudul Obor Hemah.
Masyarakat sentiasa memberikan penghormatan dan penghargaan yang tidak terhingga terhadap tugas dan peranan guru. Pengiktirafan ini menandakan harapan dan keparcayaan yang sangat tinggi terhadap komitmen dan kemampuan guru dalam menyumbang ke arah pembangunan potensi holistik pelajar dengan nilai, sahsiah dan jati diri selaras dengan keperluan masa depan pelajar yang perlu bersaing di peringkat global. Justeru, amat wajar jika Sambutan Hari Guru memberi kedudukan istimewa kepada insan yang bergelar cikgu.
Guru berperanan mencungkil dan menggilap potensi murid. Guru harus sentiasa bersedia untuk berubah, melaksanakan tugas daripada cara biasa kepada yang luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras tinggi serta berfikir pada tahap dunia atau “world class thinking” dan bertindak sebagai murabbi kepada anak-anak.
Memanusiawikan Pendidikan dan Revolusi 4.0
Hala tuju pendidikan KPM pada era baharu ini adalah untuk memastikan kemenjadian murid berteraskan 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan manusiawi. Matlamat utama kita adalah untuk melahirkan murid yang dinamik, fleksibel dan berdaya tahan dalam menghadapi apa-apa jua situasi serta berjaya mendepani cabaran kehidupan pada era Revolusi Industri Keempat.
Untuk mendepani Revolusi 4.0 peranan guru ditagih demi melahirkan pelajar yang ‘Global Player’ agar dapat bersaing dalam perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi pantas yang telah mengubah dunia dan kecanggihan mesin menjadi persaingan fungsi manusia.
Guru perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan melalui strategi dalam pendidikan secara optimum dan berterusan. Strategi yang telah terbukti berjaya pada masa lampau tidak semestinya berkesan untuk masa kini dan masa hadapan. Justeru, guru-guru mestilah sentiasa dinamik dan progresif untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman.
Dalam merangka Pendidikan Holistik, KPM memberikan penekanan khusus kepada hala tuju mengembalikan cinta ke dalam pendidikan dengan memberi tumpuan kepada tiga nilai dan budaya teras iaitu cinta (love), kegembiraan (happiness) dan saling menghormati (mutual respect).
Saya yakin bahawa guru-guru mampu untuk menterjemahkannya dalam pembelajaran demi melahirkan insan yang mencintai satu sama lain, mencintai masyarakat dan akhirnya mencintai negara.
Saya yakin, di tangan adiwira-adiwira yang penuh dedikasi inilah letaknya harapan untuk membangunkan modal insan yang benar-benar berbudi luhur, berakhlak mulia, berjaya dan cemerlang.
Dalam konteks untuk merealisasikan perubahan ke arah membina dan membangunkan modal insan yang gemilang, seseorang pendidik itu seharusnya kaya ilmu, segar dan subur ciri kependidikannya malah harus memiliki ciri-ciri kepimpinan yang berupaya membawa perubahan untuk melahirkan kemenjadian murid seperti yang dihasratkan.
Bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua guru-guru di atas segala pengorbanan dan sumbangan besar mencurahkan ilmu dan memberi tunjuk ajar sehingga kini.
“Terima Kasih Cikgu” atas segala usaha, kesungguhan dan pengorbanan bukan sahaja dari segi masa dan tenaga, malah dengan wang ringgit yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab mulia ini.
Akhir sekali, ingin saya tekankan, guru mempunyai potensi besar mempengaruhi dan merubah pemikiran pelajar. Menurut Imam Al Ghazali, guru mesti ada tanggungjawab, ada rasa belas kasihan dan mampu memperlakukan mereka sebagai anak sendiri.
Imam Al Ghazali juga pernah berkata, hak seorang guru adalah lebih besar daripada hak seorang bapa. Ibu bapa menjadi sebab mereka lahir ke dunia sedangkan guru menjadi sebab anak itu memperolehi hidup kekal abadi.